Tuesday, February 18, 2014

Mungkir Janji: Najib Harus Letakkan Jawatan

Najib harus letak jawatan, kata Waytha Moorthy
OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
FEBRUARY 18, 2014
LATEST UPDATE: FEBRUARY 18, 2014 01:24 PM
Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 18 Februari, 2014

Datuk Seri Najib Razak harus meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana gagal menunaikan janjinya kepada masyarakat India yang miskin, kata Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy hari ini.
"Beliau sudah hilang kuasa moral untuk memimpin negara," kata Waytha Moorthy yang baru sahaja meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri minggu lalu.
Beliau meninggalkan sidang media tanpa melayan sebarang soalan daripada pemberita dan bercakap berdasarkan kenyataan yang disediakan.
Katanya parti komponen Barisan Nasional (BN) seharusnya malu dipimpin oleh pemimpin yang membuat pembohongan secara terbuka tentang kontrak yang dibuatnya dengan komuniti India.Timbalan Pengerusi Hindraf, V Sambulingam memberitahu pemberita, satu lagi sidang media akan diadakan pada Sabtu di mana Waytha Moorthy akan menjawab soalan pemberita.
"Kami meneruskan perjuangan. PM mesti faham, beliau boleh tipu kami, akan tetapi beliau tidak akan berjaya merampas maruah kami," katanya kepada pemberita yang memenuhi pejabatnya di Brickfields.
Anggota Hindraf yang hadir untuk menyokong Waytha Moorthy hadir dengan pakaian oren.
Waytha Moorthy mengatakan Najib menipu rakyat Malaysia apabila mengatakan "Saya tidak berbincang dengannya mengenai peletakan jawatan." – 18 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa