Thursday, February 27, 2014

'Pejuang Islam' Tapi Buta Sebelah Mata!

Mengapa tiada protes terhadap 'dosa' yang dibenarkan BN?
Hazlan ZakariaDikemaskini 10:19PM Feb 26 2014


KOMEN: Ketika sebilangan umat Islam bertindak mempertahankan agama mereka, jelas terdapat jurang perbezaan apabila mereka lantang bersuara terhadap tindakan pembangkang tetapi mendiamkan diri jika Barisan Nasional (BN) atau Umno yang terlibat.
Kelantangan mereka menentang keputusan yang dilihat anti-Melayu atau anti-Islam amat nyata, tetapi mereka tidak bersuara apabila amalan bersifat tidak Islamik diamalkan pemerintah.
Samada tradisi atau amalan ritual (bersifat keagamaan) dengan menggunakan nama Parlimen; atau amalan berjudi, minum arak serta penyalahgunaan kuasa, pemerintahan BN dilihat sarat dengan aktiviti-aktiviti ini.
Malah, personaliti dari kalangan umat Islam yang rapat dengan pemerintah juga kerap melibatkan diri.
Arak dijual di kejiranan bagi umat Islam elit serta di perkampungan. Syarikat perjudian samada berlesen atau sebaliknya bercambah. Aktiviti tidak bermoral ini tidak pula diprotes pertubuhan NGO Islam yang lantang bersuara.
Anehnya, terdapat satu pertubuhan NGO Islam yang membangkitkan isu pegawai kerajaan mengenakan baju batik sutera dan berkata, ini menandakan kiamat semakin hampir.
Hal ini lebih kecil berbanding masalah besar seperti penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah yang jelas melanggar prinsip-prinsip Islam.
Jika pertubuhan-pertubuhan ini tidak ditaja dan bebas menghentam sesiapa, mengapa mereka mengambil pendirian mendiamkan diri di dalam beberapa perkara yang jelas menyalahi Islam?
Mereka mendakwa bahawa agenda mereka hanya bagi mempertahankan agama namun tindakan mereka menimbulkan persoalan, kerana tidak melambangkan ciri-ciri yang ditekankan Islam.
Baru-baru ini, beberapa pertubuhan Islam menganjurkan tunjuk perasaan bagi membantah klip video Teresa Kok berjudul “Onederful Malaysia” yang didakwa menghina Melayu dan Islam.
Sehingga hari ini, mereka gagal menjelaskan bahagian mana pada klip tersebut yang didakwa menggugat sensitiviti umat Islam.
Video parodi itu menyindir pemimpin MCA serta isteri seorang pemimpin BN dan ia jelas tidak menghina Islam atau bangsa Melayu.
Yang tidak ‘Islam’nya, tunjuk perasaan membantah klip video tersebut menyaksikan penyembelihan ayam dan darahnya dicalit pada imej pemimpin Pakatan Rakyat. Tawaran RM500 juga dibuat kepada sesiapa yang dapat menempelang Teresa Kok dan merakamnya.
Kemudian, cat merah disimbah sebagai tanda ‘darah’ dan bangkai ayam ditinggal di premis ahli politik serta organisasi media sebagai tanda ugutan.
Minggu lepas, ahli akademik pro-Umno pula menyelar tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi sebuah gereja di Kajang -- tempat beliau bakal bertanding di dalam pilihan raya kecil bagi kerusi dewan undangan negeri – yang juga dikenali sebagai bandar satay.
Ya. Dan lebih tepat, Anwar berucap di dewan komuniti dan bukan dewan sebahyang di dalam gereja berkenaan.
Tokoh akademik Ridhuan Tee menyeru calon Melayu bagi pilihan raya kecil itu supaya tidak “mengorbankan maruah agama, bangsa dan negara” dengan mengunjungi sebuah gereja.
Beliau kecewa kerana satu ketika dahulu, orang Melayu amat berhati-hati dan hanya berdiri di luar gereja atau kuil. Jika ke pasar, orang-orang Melayu tidak memandang daging babi dan risau jika lalat yang hinggap pada daging babi terbang ke bahagian barangan halal.
“Tetapi hari ini, orang Melayu mengunjungi gereja tanpa rasa malu, kerana kuasa politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka juga bakal menimbang daging babi,” katanya.
Pembangkang mendakwa BN hanya mahu mengapi-apikan konflik keagamaan melalui proksi mereka di dalam usaha mengekalkan kuasa politiknya. Nampak seperti dakwaan itu ada benarnya.

1 comment:

  1. Macam pepatah Melayu dulu2 ' kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak".Tapi rakyat yang cerdik sudah sedia maklum akan perangai dan tujuan sebenar kumpulan2 hipokrit(munafik) ini.Yang setuju dan menyokong mereka juga adalah dari gulongan yang sama2 hipokrit.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa