Friday, February 28, 2014

Artis: Perbelanjaan Resepsi RM90,000 - Tak Membazir Ke Riz?

Riz Amin berbelanja besar
Oleh Georgie Joseph
Mengabadikan detik bahagia perkahwinan pastinya perkara paling besar dalam kehidupan semua orang. Biarpun terpaksa menempuh kepayahan untuk memastikan perkahwinan seindah diimpikan tetapi itulah sebenarnya kemanisan untuk menamatkan zaman bujang.


Mungkin ini yang dialami pelakon berbakat besar, Riz Amin, 29, yang selamat diijab kabul dengan wanita pilihannya, Sharifah Fazlina Syed Fuad, 28, di Kuala Lumpur pada November lalu.

Baru-baru ini, Riz meleng­kapkan majlis di sebelah keluarganya di Jitra, Kedah.

Menyulam cinta hampir sembilan tahun bersama Sharifah Fazlina, selesainya majlis itu barulah pelakon filem 29 Februari ini lega.
 
Mana tidaknya, selepas majlis pernikahan dan bersanding di sebelah perempuan November lalu, dia perlu kembali ke set penggambaran melunaskan kerja yang tertangguh. Pada masa sama dia kena memikirkan pula persediaan majlis bertempat di sebelah keluarganya pula.
Tentu sekali berkecamuk fikirannya, namun Riz sebaliknya mengakui rasa bimbang itu berkurangan kerana selain keluarga yang banyak membantu, dia turut mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.
“Perasaan tidak tenang itu memang ada memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan menjelang majlis itu. Bagaimanapun, tidaklah sampai mengganggu fokus di lokasi penggambaran.
“Sebenarnya persediaan sudah hampir siap sepanjang tempoh itu cuma saya lebih risaukan kelancaran majlis nanti. Syukur ada beberapa pihak sudi menaja majlis berkenaan dan sekali gus memudahkan lagi persiapan kami,” katanya yang mendapat penajaan pelamin daripada De’Zarra Wedding Gallery Jitra, Multiduo Production dan Fauzi Chocomalt.
Mengetengahkan konsep tradisional, majlis yang dihadiri lebih 900 tetamu itu bukan dibuat ala kadar saja. Menurutnya makanan perlu ditambah pada majlis bermula jam 12 tengah hari hingga 4 petang itu.
Tidak mahu berahsia mengenai perbelanjaan keseluruhan, Riz yang berbelanja kira-kira RM90,000 jelas sangat berpuas hati apabila baik majlis di sebelah perempuan dan lelaki kedua-dua­nya berjalan lancar.
“Maklumlah, ini detik bahagia saya dan pastinya mahu menjadikan ia kenangan terindah dalam hidup.
“Sekarang barulah rasa lega sepenuhnya selepas maj­lis semua selesai. Itu juga bermakna tanggungjawab sebagai suami sudah pun bermula,” katanya. 
Menyedari ia bukan tanggungjawab mudah, Riz nyata sudah cukup bersedia sepenuhnya.
Bahkan, pada saat ini pun dia dan isteri sudah mula teruja untuk mendapatkan zuriat secepat mungkin.
“Saya dan isteri sudah berbincang dan kami rancang mendapatkan dua zuriat.
“Kalau boleh memang nak sepasang, lelaki dan perempuan tapi kalau dapat lebih lagi bagus,” katanya.
Harap rezeki bertambah murah
Riz juga berharap selepas ini rezekinya akan bertambah lagi dalam bidang lakonan dan berharap mendapat tawaran membintangi filem berunsurkan realiti dan menjurus kepada cerita berdasarkan kisah benar.
“Selepas banyak terbabit dalam drama, selepas ini saya bakal muncul dalam filem berlatarbelakangkan era 1970-an berjudul 7ujuh.
“Saya sangat suka dengan filem ini kerana ia benar-benar menggambarkan kehidupan realiti pada zaman berkenaan. Maknanya, impian saya kiranya sudah tercapai untuk berlakon dalam filem sedemikian.
“Bagaimanapun, saya tentunya masih mengimpikan watak dalam filem berunsurkan kisah benar yang semestinya pasti memberikan kepuasan tersendiri kelak,” katanya.
Bakal kembali ke set penggambaran untuk siri berjudul Separuh Jiwaku, beberapa drama lakonannya juga kini sedang ditayang­kan termasuklah Ratu Syuhada di TV1 dan me­nyusul Yem Rempit di Astro Warna.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa