Sunday, February 16, 2014

Polis Jahat

‘Potong macam ais krim’
Chicago: Dua bekas pegawai polis merancang menculik dan menyeksa seorang ahli perniagaan termasuk memotong kemaluannya ‘seperti ais krim’ dalam usaha memeras wang daripada mangsa.
Rakaman video FBI menunjukkan Steven Mandell, 62, di dalam sebuah bilik yang didakwa dibina khas untuk tujuan itu bersama rakannya Gary Engel. 
Dalam rakaman itu yang ditayangkan di mahkamah, mereka menceritakan kepada ejen hartanah George Michael butiran perancangan memeras wang daripada Steve Campbell, ahli perniagaan yang meraih keuntungan daripada sewaan pelbagai hartanah miliknya.
Bilik itu dilengkapi peralatan khas untuk memudahkan mangsa dikelar dan anggota badan dipotong selepas dibunuh selain sinki besar untuk mengeringkan darah daripada mayat mangsa sebelum dibuang. 
Rakaman video itu diperoleh melalui Michael yang juga saksi utama kes perbicaraan terhadap Mandell. Engel membunuh diri dalam tahanan pada 2012. 
Mahkamah diberitahu Mandell dan Engel bercadang menculik serta menyeksa mangsa, Steve Campbell - yang meraih kekayaan daripada pelbagai hartanah dimilikinya - dan memaksanya menyerahkan sejumlah wang serta hartanah.
Mereka bercadang menyamar sebagai polis menggunakan dokumen palsu untuk ‘menahan’ mangsa sebelum melarikannya ke bilik penyeksaan itu. 
“Rakan saya (Engel) memang pakar dalam hal soal siasat dan memaksa orang memberi apa dikehendakinya,” kata Mandell kepada Michael dalam rakaman itu.
Mandell juga didengar berkata, mereka bercadang meminta sekurang-kurangnya AS$500,000 (RM1.7 juta) daripada Campbell. 
Mereka turut merancang menyeksa mangsa sehingga mati termasuk memotong kemaluannya seperti ais krim ‘banana split’ sebelum mengeringkan darah dan mengerat badannya untuk menghapuskan bahan bukti. 
Malah, dalam rakaman itu, Engel menceritakan kepada Michael bagaimana dia bercadang menyeksa Campbell - yang digelar ‘Soupy’ disebabkan jenama sup dengan nama sama - sehingga mendapat apa dimahukannya. 
Michael kemudian didengar bertanya bagaimana Mandell begitu yakin boleh berjaya mendapat apa dikehendakinya daripada ‘Soupy’ sebelum Mandell didengar menjawab: “Dia pasti mendedahkan segalanya” sambil membuat aksi seseorang menjerit ketakutan. 
Bagaimanapun, perancangan mereka itu sempat dihentikan apabila saksi terbabit bekerja sama dengan FBI. 
Ketika ditangkap, FBI menemui pelbagai dokumen palsu selain peralatan penyeksaan seperti pisau, senjata api dan gergaji. 
Mandell menghadapi dua tuduhan, termasuk satu membabitkan perancangan membunuh seorang pemilik kelab erotik dengan perancangan mahu mengambil alih perniagaan berkenaan. 
Mandell dan Engel masing-masing dipecat dari polis pada 1980-an kerana sering melakukan peras ugut.
Mereka juga pernah ditahan pada 1984 apabila didakwa merancang penculikan dan seorang pemilik kelab malam untuk memeras wang daripadanya. 
Bagi kes itu, Engel dipenjara 90 tahun pada 1991 manakala Mandell dijatuhi hukuman mati - anggota polis pertama mendapat hukuman sedemikian. 
Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas merayu keputusan itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa