Monday, February 24, 2014

Sakit Jiwa Rupanya Budak Ni!

Muhdalena kongsi delusi dengan 'Imam Mahdi'
7:11PM - 24 Feb 2014
Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini diberitahu bahawa bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhdalena Ahmad berkongsi delusi dengan lelaki yang mendakwa dirinya 'Imam Mahadi'.
    
Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hosital Bahagia, Ulu Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh, 58, berkata Muhdalena menghidap penyakit mental kemurungan psikotik dan pada hari kejadian emosinya tidak stabil.
    
"Pesakit (Muhdalena) berkawan dengan Khalil Afendi Abd Hamid melalui Internet dan terpengaruh dengan pemikiran Khalil Afendi," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes Muhdalena yang menghadapi empat pertuduhan berhubung kejadian amuk di perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas.
    
Dr Rabaiah berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Muhdalena, suaminya dan kenyataan beramaran Muhdalena, pada pandangannya Khalil Afendi merupakan orang utama yang menghidap sejenis penyakit mental yang serius, kemungkinan schizophrenia atau manic.
    
"Pesakit mencari ketenangan jiwa. Dia (Muhdalena) terpengaruh dengan ideologi Khalil Afendi dan pada hari kejadian, apa yang dilakukannya (Muhdalena) disebabkan dia taksub dengan kepercayaan yang dibawa Khalil Afendi," katanya.

Dr Rabaiah berkata pada masa kejadian, Muhdalena dalam keadaan tidak waras dan tidak sedar akan akibat perbuatannya disebabkan gejala psikosis.
    
"Apa yang dibuat (oleh Muhdalena) adalah perbuatan disebabkan pemikiran yang psikotik. Elemen psikotik adalah berkongsi delusi dengan Khalil Afendi iaitu delusi yang dia melakukannya kerana perlu membantu 'Imam Mahadi' untuk menyelamatkan dunia," katanya ketika disoal peguam M. Visvanathan yang mewakili  Muhdalena.
    
Katanya Muhdalena juga ada gangguan suara halus yang bercakap dengannya.
    
Dr Rabaiah berkata Muhdalena dimasukkan ke Hospital Bahagia pada 12 Okt 2012, berada di sana selama tiga minggu dan keluar hospital pada 5 Nov 2012.
    
Menurutnya sepanjang Muhdalena berada di hospital, beliau serta dua pegawai perubatan menemu bual, memeriksa dan membuat pemerhatian yang rapi terhadapnya.

Dr Rabaiah berkata beliau juga ada memberikan rawatan kepada Muhdalena iaitu memberi ubat antidepresan serta kaunseling.
    
"Hasil daripada temu bual, pemeriksaan dan pemerhatian yang rapi, laporan perubatan bertarikh 5 Nov 2012 dibuat dan saya membuat kesimpulan Muhdalena menghidap sejenis penyakit mental iaitu kemurungan psikotik dan semasa kejadian dia tidak waras dan tidak sedar akibat perbuatannya," katanya.
    
Dr Rabaiah tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar bahawa Muhdalena hanya melakukan malingering (kepura-puraaan).
    
Katanya, Muhdalena mengalami gejala penyakit kemurungan iaitu perasaan susah hati, masalah tidur, tiada masa depan untuknya, kurang selera makan dan kerap mengenangkan perkara negatif dalam kehidupan.
    
Pada 10 Januari lepas, Muhdalena, 29, diperintah oleh Mahkamah Sesyen membela diri terhadap empat pertuduhan iaitu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad serta memiliki sebilah parang.
    
Dia juga didakwa mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan di Kompleks B, JPM pukul 2.30 petang, 9 Julai, 2012.

Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar Kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.
    
Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, Muhdalena berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    
Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
    
Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959.
    
Hakim Mohamed Kamil Nizam menetapkan 7 Mac untuk sambung perbicaraan. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa