Friday, February 21, 2014

Terjahan Yang Keras Dalam Lembut!

Pendekar pena Subky Latif
Kalau silat inilah jenis silat 'Tai Chi
Yang keras dalam lembut! (bagi yang fahamlah)

Bahkan depa kata saya nyanyuk
FEB 20, 2014  SUBKY LATIF

Justeru saya tulis tentang saya elak berbalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada pembaca sangka saya nyanyuk, bahkan ada yang kata saya benar-benar nyanyuk.
    
Saya tidak boleh bersangka buruk terhadap orang yang sangka dan rasa saya nyanyuk, kerana mungkin juga saya nyanyuk. Seperti gila. Orang gila tidak tahu dia gila. Kalau kita kata gila pada orang gila, nescaya dia kata pada kita, ‘Kamu gilakah kata aku gila?’
      
Yang tahu kita gila bukan kita, tetapi orang lain tahu kita gila.
      
Begitulah juga nyanyuk. Sehingga pada saat ini saya tidak tahu saya nyanyuk. Saya tahu apa yang saya tulis dan kebanyakannya saya ingat apa yang saya tulis. Ada juga yang saya kurang ingat. Adakah itu tanda saya sudah nyanyuk?
      
Yang betul tahu saya nyanyukkah atau tidak ialah orang lain. Mungkin betul mereka yang sangka dan kata saya nyanyuk. Mungkin seorang yang kata begitu, belum tentu saya betul nyanyuk, tetapi beberapa orang kata begitu, mungkin juga mereka betul.
     
Saya masih tidak seperti orang gila yang apabila dikata gilla, maka dikata balik pada orang itu dia yang gila. Saya tidak kata nyanyuk pada orang yang kata saya nyanyuk, supaya orang dapat sangka saya tidak nyanyuk. 
     
Mungkin yang kata saya nyanyuk itu belum nyanyuk dan mungkin juga ada yang nyanyuk, tetapi tidak nyanyuk saya kata nyanyuk, maka sahlah saya nyanyuk seperti orang gila kata  orang tidak gila yang kata  dia gila itu yang gila.
      
Tetapi yang kata saya nyanyuk itu mungkin tiada kata saya nyanyuk terhadap tulisan saya yang lain. Tidak ada yang respons kata nyanyuk. Saya dikata nyanyuk kerana menulis saya tidak mahu berbalah dengan Anwar yang mereka rasa banyak mengata baik tentang Anwar.
     
Setakat ini baru satu tulisan itulah dikatakan saya nyanyuk. Mungkin yang lain juga ada gejala nyanyuk, tetapi belum ada yang sanggup kata saya sudah nyanyuk.
    
Jika tulisan tentang Anwar yang satu itu dikata saya nyanyuk, yang lain tidak, maka tidak kuat bukti bagi kata saya nyanyuk. Atau belum tepat bagi mensabitkan saya betul-betul nyanyuk.
     
Nyanyuk itu lazim masalah yang menimpa orang tua. Tidaklah semua yang tua itu nyanyuk. Hanya setengah saja yang nyanyuk. Kebanyakannya mati tidak sempat nyanyuk. Tetapi ada juga yang muda sudah nyanyuk. Jika yang tua nyanyuk adalah benda biasa. Yang tidak biasa ialah kalau yang muda yang nyanyuk.
     
Adakah saya nyanyuk atau nyanyuk-nyanyuk? Apa beza antara dua itu? Seperti gila. Yang dikata gila betul dia gila. Yang dikata gila-gila belum gila. Jika saya dikata nyanyuk-nyanyuk ertinya tidak nyanyuk.
    
Maka sayugia saya berdoa, ‘Ya Allah! Jauhilah aku daripada nyanyuk. Dan matikanlah aku sebelum aku nyanyuk! Amin! Moga-moga sekalian pembaca menyahut Amin supaya saya terelak dari nyanyuk.
   
Ada yang kata, kalau Anwar jadi Perdana Menteri, saya nak jadi apa? Dan apa Anwar nak bagi? Satu  saja yang mahu daripadanya. Beri saya satu jawatan bergaji tetapi tidak perlu buat kerja. Dengan gaji tetap itu duduk di rumah menulis. Orang tak bayar pun tak apa, kerana dengan gaji tetap itu saya boleh hidup walaupun bayaran tulisan itu murah atau tidak dibayar.
     
Gilakah Anwar nak beri saya gaji tanpa kerja? Tidak dia gila. Dia boleh ikut cara Saidina Umar al-Khatab beri pencen kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang awal.
     
Adapun tulisan saya yang menguntungkan Anwar adalah analisis saya. Bukan saya memujanya tetapi analisis itu didapati begitu. Kedua, Anwar adalah orang yang ditindas. Saya bencikan penindasan, maka kita patut bela sesiapa saja yang  ditindas.
      
Membela orang yang ditindas tidak nyanyuk.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa