Friday, February 21, 2014

YB Gila Tanah......

YB kemaruk mahu beli tanah orang kampung?
 | February 20, 2014
Hati YB sudah jatuh cinta pada tanjung yang menghadap lautan luas Laut China Selatan itu.
KOTA BELUD : Tersebutlah kisah tiga orang bergelar Yang Berhormat dari Kota Belud dikatakan sedang meroyan untuk membeli atau memohon kawasan tanah-tanah di tepi pantai termasuklah pulau sehinggakan mereka sendiri dikatakan berani turun padang menanya-nanya orang kampung di pesisiran pantai sekitar daerah ini.
Beberapa penduduk pesisir pantai di Kampung Buah Pandai yang ditemui FMT mendakwa mereka didatangi beberapa orang kenamaan termasuklah beberapa ahli Yang Berhormat pada hari berlainan bertanyakan kawasan tanah yang boleh mereka beli atau pohon.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Adin mendakwa mendengar pakciknya ditanya seorang YB apakah tanah nun di hujung tanjung milik orang atau bagaimana sebab hati YB sudah jatuh cinta pada tanjung yang menghadap lautan luas Laut China Selatan itu.
“Saya tanya pakcik saya dan memang YB itu ada hajat tapi pakcik saya seorang bukan boleh buat apa-apa keputusan sebab itu kawasan tanah orang kampung,” katanya.
Menurut Adin, dua orang YB lain yang datang serentak ke kampung mereka baru-baru ini pula turut menunjukkan minat mendalam terhadap beberapa kawasan sekitar kampung.
“Seorang YB itu dikatakan bertanya sama ada beliau boleh membuat rumah peranginan di tepi gigi air, kononnya dapat juga menolong orang kampung mendapat pekerjaan, tapi sekali lagi pemilik tanah bersebelahan tidak menyukai idea itu,” dakwa Adin.
“Bila seorang pakcik tawar kawasan atas bukit, YB itu kurang berminat pula. Mungkin dia mahu buat pusat peranginan termasuk restoran atas air, kita pun tidak tahu apa dia mahu buat, tapi macam orang kampung tidak setuju,” katanya.
Seorang penduduk suku Ubian lain dari Buah Pandai pula berkata ketika melawat secara tidak rasmi itu, YB-YB berkenaan memang ada minat mendalam pada kawasan pesisiran pantai sekitar Buah Pandai dan Kampung Kuala Abai termasuklah sekitar pelabuhan Usukan yang dulunya digunakan kapal Jepun untuk mengangkut tanah dari Lombong Mamut di Ranau yang mengandungi bijih tembaga dan emas.
Lombong itu sudah lama ditutup dan jeti pelabuhan Usukan kini dijadikan jeti kapal-kapal kecil termasuk bot membawa pelancong ke Pulau Mantanani.
“YB-YB ini pun menunjuk ke beberapa arah termasuk Pulau Usukan di hadapan kampung kami dan juga sekitar pesisiran pantai. Memang mereka membincangkan sesuatu tapi kami pun tidak tahu sebab itu bukan lawatan rasmi,” katanya lagi yang enggan namanya disiarkan.
Sementara itu seorang penduduk lain memberitahu FMT beberapa orang kampung mendengar kawasan sekitar pelabuhan itu akan dimajukan oleh kerajaan sama ada melalui agensinya seperti Yayasan Sabah sebagai pusat servis kepada beberapa pelantar minyak yang berada tidak jauh dari pantai Kota Belud.
Sebuah pelantar minyak itu boleh dilihat, terutama sekali waktu malam bila ia membakar gas, dari pesisir pantai di Buah Pandai.
“Ada juga orang kampung dengar berbagai cerita. Antaranya kononnya banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan di kawasan ini bila pelabuhan dimajukan, pusat-pusat peranginan diwujudkan dan berbagai lagi lah.
“Tapi kami rasa mereka akan ambil pekerja dari luar, bukan dari kalangan penduduk kampung kecuali kerja-kerja buruh bergaji rendah mungkin mereka ambil kami lah tetapi mana kami mahu kalau hanya jadi tukang kutip sampah atau tukang kimpal besi sahaja,” katanya lagi.
Menurut mereka, ada juga mereka dengar orang kenamaan sudah pun ada feri dan bot untuk membawa pelancong ke kawasan pantai yang relatifnya belum terusik dan atas sebab itulah mereka pun mungkin ingin melabur membuat pusat peranginan di kampung-kampung berkenaan.
“Mereka berduit, bolehlah buat macam-macam projek. Bagus juga, sekurang-kurangnya pelancong datang ke kampung kami, kami ini hanya boleh tangkap ikan, jual dan untuk makan sendiri,” kata seorang pakcik pula.
Ditanya kenapa orang kampung tidak cadang buat projek kerjasama dengan orang kenamaan supaya boleh dapat untung, pakcik itu mendakwa “manalah orang besar mahu kami, tiada modal lagipun mana mahu cari duit untuk bikin pusat peranginan. “Dia orang boleh lah, kami tiada duit,” tegasnya lagi sambil menambah mungkin orang kenamaan berkenaan sudah pun mendapat tanah yang mereka mahu.
Tinjauan FMT ke Buah Pandai baru-baru ini, mendapati ada penduduk kampung turut menyediakan perkhidmatan bot kepada pelancong malah ada juga menyediakan tarikan seperti “banana boat” kepada para pengunjung.
Mereka juga sudah mula berjinak-jinak menyediakan rumah “chalet” pada kadar RM50 semalam, sesuatu yang membanggakan tetapi masih memerlukan bimbingan lanjut. Ada juga yang mula berniaga gerai makan untuk para pengunjung yang setakat ini merupakan pelancong tempatan. Pelancong kulit putih juga kadang-kadang muncul berbasikal, kata mereka.
Namun menurut penduduk kampung, satu masaah besar di kawasan itu, seperti juga banyak kawasan pesisir pantai lain di sini, ialah ketiadaan bekalan air bersih. Yang ada hanyalah perigi yang rasa airnya payau.
“Kerajaan patut bagi air dari dulu lagi, ini keadaan kami sangat susah tiada air, air tidak cukup, apalagi bila ada pelancong nanti,” kata seorang makcik.

2 comments:

  1. kalu ada yb nak beli tanah jgn jual... sbb diorang ni sebenarnya da tahu apa plan masa depan untuk tanah tersebut... kesian orang2 kampung yang tak tahu hujung pangkal, inilah dia contoh pagar yg memakan padi.

    ReplyDelete
  2. kalu ada yb nak beli tanah jgn jual... sbb diorang ni sebenarnya da tahu apa plan masa depan untuk tanah tersebut... kesian orang2 kampung yang tak tahu hujung pangkal, inilah dia contoh pagar yg memakan padi.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa