Wednesday, March 26, 2014

MH370: Menunggu Jawapan Sebenar

Tiba masanya bertanyakan soalan dan mencari jawapan
SEKILAS PANDANG: Perlu dinyatakan yang komentar ini ditulis dengan rasa penuh hormat dan simpati kepada keluarga dan saudara-mara 239 orang penumpang dan anak kapal MH370 yang sedang berkabung.
Lagipun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan "dengan kesedihan dan simpati yang mendalam, saya mesti memberitahu anda bahawa menurut data terbaru, penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi".
Najib terpaksa membuat keputusan yang menyakitkan untuk mengumumkan berita buruk ini, berdasarkan perkembangan terbaru yang menggunakan data dari satelit untuk mengesan laluan penerbangan pesawat malang ini.
Telah 18 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mencari petunjuk di Laut China Selatan, kemudian di Selat Melaka dan Laut Andaman, dan kini Lautan Hindi, kira-kira 2,500 km di barat daya pantai Perth.
Najib telah memilih untuk mengumumkan bahawa pesawat ini telah berakhir di Lautan Hindi dan kesemua penumpang dan anak kapal telah terkorban.
Pengakuan ini dibuat di tengah-tengah ketiadaan apa-apa petunjuk yang ketara bahawa pesawat MAS ini telah terhempas ke dalam laut.
Sewaktu seluruh dunia, keluarga dan rakan-rakan penumpang dan anak kapal meratapi kehilangan orang yang mereka sayangi, pencarian bangkai MH370 dan kotak hitam atau perakam penerbangan terus dijalankan.
Satu soalan yang menarik dan penting telah diajukan di rangkaian sosial popular, Facebook.
Ia berbunyi:
"Tidak ada sesiapa, dan saya maksudkan SESIAPA boleh mengawal pesawat moden dan menghilangkannya tanpa apa-apa bantuan dari darat.
Maknanya:
TIADA SESIAPA boleh menaiki kapal terbang, dan merampasnya tanpa ada sebarang isyarat kecemasan diberikan.
TIADA SESIAPA boleh menundukkan 2 orang juruterbang, 10 anak kapal dan 227 penumpang tanpa senjata di atas kapal (atau tanpa mengganggu sistem pesawat sewaktu pesawat itu masih di darat) untuk merampas kapal terbang semasa dalam penerbangan .
TIADA SESIAPA yang tidak terlatih dan memiliki kepakaran dapat mematikan semua sistem komunikasi kapal terbang semasa dalam penerbangan.
TIADA SESIAPA tanpa latihan dan kepakaran penerbangan boleh menerbangkan pesawat di laluan yang dirancang rapi bagi mengelakkan dikesan radar negara dan ketenteraan, dengan semua alat komunikasi dimatikan.
TIADA SESIAPA boleh membuat kapal terbang hilang dalam senyap tanpa kesan.
Dan, TIDAK ADA SEBAB untuk menghempaskan kapal terbang di salah satu bahagian yang paling terpencil Lautan Hindi melainkan SESEORANG MAHUKAN MH370 hilang, dan membuatkan usaha SAR amat mustahil sehinggakan punca kehilangannya kekal misteri.
BERHENTI BERDOA DAN MULA BERTANYAKAN SOALAN"
Ini adalah soalan sangat mudah yang perlu dijawab dengan meyakinkan oleh kedua-dua pihak industri penerbangan dan angkatan pertahanan semua negara.
Semua soalan-soalan ini masuk akal tetapi tiada jawapan telus yang diberikan, terutamanya dari tentera.
Dalam krisis yang melibatkan nasib 239 nyawa ini, pihak tentera masih enggan menjelaskan atau cuba menerangkan apa yang salah atau bagaimana mereka boleh terleka dengan pencerobohan ruangan udara.
Atau adakah ia disebabkan mereka, atas kepentingan sendiri, tidak mahu mendedahkan keupayaan mereka atas alasan keselamatan negara?
26 negara telah mengambil bahagian dalam pencarian ini, tetapi tiada satu pun daripada mereka telah mengesan yang pesawat MAS ini telah menceroboh ruang udara mereka selama sekurang-kurangnya enam jam.
Soalan-soalan ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan, untuk pakar-pakar penerbangan dan angkatan tentera.
Sementara itu, bekas Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat sewaktu menyampaikan ucapan takziah ikhlas kepada semua keluarga dan rakan-rakan penumpang dan anak kapal MH370, berkata bahawa tugas penting sekarang "adalah untuk mencari perakam penerbangan untuk menentukan sebab-sebab mengapa pesawat itu hilang".
Ong menyambut baik penerimaan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein terhadap cadangan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) yang terdiri daripada wakil-wakil kedua-dua BN dan PR untuk meneliti tragedi ini.
"Ia menunjukkan Hishamuddin telah meninggalkan politik kepartian bagi menumpukan terhadap ketelusan, pencarian fakta, penambahbaikan yang berterusan, dan memulihkan keyakinan terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Ong mencadangkan bahawa selain PSC, yang beliau harap akan mendapat kelulusan Kabinet, kerajaan juga perlu membentuk satu jawatankuasa berkuasa tinggi untuk menguruskan kejadian ini.
"Dengan berbuat demikian, ia bukan sahaja akan dapat membantu memulihkan keyakinan antarabangsa terhadap kita selepas tragedi ini, tetapi ia juga akan bertindak untuk membawa hubungan pelbagai hala kita ke tahap yang lebih baik.
"Rakyat Malaysia mesti meninggalkan politik kepartian. Apabila PSC dibentuk, ia akan menyediakan satu forum yang membina dan sesuai bagi kita meneliti peristiwa-peristiwa yang membawa kepada tragedi itu dan yang berkaitan dengannya. Akan ada banyak pengajaran untuk Malaysia dan seluruh dunia dari kejadian ini, jadi marilah kita mengambil masa untuk melakukannya dengan betul," katanya - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa