Thursday, April 24, 2014

Cucu angkat teman atuk sunyi

Melaka: Tindakan seorang lelaki warga emas menjadikan gadis berusia 16 tahun sebagai cucu angkatnya mengundang padah apabila dicekup kerana tinggal sebumbung dengan gadis itu di sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini.
Dalam serbuan jam 1.30 tengah hari kelmarin, lelaki berusia 69 tahun itu dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas didapati berkurung bersama remaja perempuan berkenaan di rumah sewa setinggan berhampiran Sungai Melaka.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM Rahimin Bani berkata, berdasarkan aduan sepasukan anggotanya pergi melakukan siasatan dan sejurus tiba seorang lelaki warga emas keluar dari rumah itu.
Katanya, apabila memperkenalkan diri, anggotanya masuk untuk melakukan pemeriksaan dan menemui gadis itu sedang duduk di satu bahagian di dalam rumah terbabit.
“Soal siasat mendapati gadis itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan hanya memberitahu sebagai cucu angkatnya. Gadis itu mendiami rumah berkenaan sejak seminggu lalu tetapi bukan sepanjang masa dan hanya datang untuk bermalam atau mencuci pakaian,” katanya, di sini, semalam.
Rahimin berkata, berdasarkan siasatan remaja terbabit mengenali warga emas yang tinggal bersendirian itu ketika mereka bertemu berhampiran kawasan air pancut di tepi Sungai Melaka.
Katanya, warga emas itu menawarkan gadis berkenaan tempat perlindungan dan mahu menjadikannya sebagai cucu angkat.
“Gadis itu mendakwa terabai selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai dan menerima pelawaan warga emas terbabit. Lelaki warga emas itu memahami tinggal sebumbung dengan bukan mahram walaupun individu berkenaan masih muda boleh mendatangkan syak serta menjuruskan kepada perbuatan maksiat,” katanya. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa