Tuesday, April 15, 2014

Memali: Menteri KDN Bertanggung Jawab Secara Individu Ke Atas Tindakan Polis

Menteri bertanggungjawab ke atas tragedi Memali
Aziz Bari
SUARA LANTANG: Isu tanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai Memali pada tahun 1985 timbul kembali selepas Tun Musa Hitam, bekas timbalan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara tahun 1981 dan 1986, bercakap mengenainya di Kelantan pada penghujung bulan lalu.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Musa membangkitkan isu ini. Seperti yang dikatakannya semasa forum itu di Kota Baru, beliau bersedia untuk memberikan butir-butir kejadian. Entah bagaimana, tidak seorang daripada organisasi media pun bersedia menyahut tawaran itu.
Saya bersetuju dengan peguam bela hak asasi manusia, Dr Kua Kia Soong bahawa peristiwa Memali sama buruknya dengan pembunuhan beramai-ramai Batang Kali, di mana 24 orang awam yang tidak bersalah telah dibunuh oleh tentera British pada tahun 1942. Insiden Memali menyaksikan 18 orang maut, termasuk empat anggota polis yang terkena tembakan angkatan mereka sendiri. Operasi yang dijalankan oleh sejumlah 400 polis bersenjata itu dijalankan bagi menahan Ibrahim Libya, yang menguruskan sebuah sekolah agama di Kampung Memali, di daerah Baling di Kedah .
Musa adalah Menteri Dalam Negeri pada masa itu dan pihak polis pula diketuai oleh Tan Sri Amin Osman. Amin adalah pemangku Ketua Polis Negara, menggantikan Tun Hanif Omar yang ketika itu sedang mengikuti pengajian undang-undang beliau di England.
Musa meletakkan jawatan sebagai timbalan Mahathir pada tahun 1986 dan kemudiannya bertanding menyaingi pasangan Mahathir dalam pemilihan parti UMNO pada tahun 1987, tetapi kalah. Jadi kita dapat merasakan adanya tindakan saling menyalahkan, apabila dia membangkitkan kembali isu Memali hampir tiga dekad selepas ia berlaku.
Musa berkata bahawa Memali kekal sebagai titik hitam dalam kerjaya politiknya. Entah bagaimana persaingan, dan pergeseran beliau dengan Mahathir pada akhirnya, tidak ada di atas kertas putih mengenai kejadian itu yang beliau bentangkan kepada Parlimen pada awal tahun 1986.
Dalam laporan itu Musa menyalahkan Ibrahim, yang kebetulan pada masa itu adalah seorang pemimpin PAS di Kedah. Harus diingatkan bahawa Umno pada masa itu gementar dengan pengaruh Ibrahim yang semakin meningkat di kawasan itu, dan perkara itu menjadi topik panas semasa perhimpunan tahunan parti itu di Kuala Lumpur. Oleh itu kita boleh memahami mengapa UMNO mengeksploitasi kejadian itu bagi memburukkan imej PAS yang dikatakan ganas, sesuatu yang telah berulang kali dimainkan di RTM oleh Menteri Penerangan, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang meninggalkan kabinet persekutuan pada tahun lepas.
Nampaknya orang ramai begitu bimbang sama ada Mahathir pada waktu itu berada di dalam negara – dan bukannya di Beijing seperti yang disangka umum – dan sama ada Musa adalah pemangku Perdana Menteri apabila pembunuhan beramai-ramai itu berlaku.
Apa pun, cara yang lebih baik untuk mengkajinya adalah dengan menggunakan doktrin tanggungjawab menteri, yang penting bagi mana-mana demokrasi Westminster. Penerapan doktrin ini dinyatakan dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan yang sama juga boleh didapati dalam semua perlembagaan negeri, yang mengawal kerja kabinet negeri, iaitu jawatankuasa eksekutif. Laporan Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa semua prinsip-prinsip yang berkaitan dengan doktrin ini adalah terpakai Malaysia. Ini adalah penting untuk mengisi jurang yang ditinggalkan peruntukan yang berkenaan.
Secara ringkasnya, doktrin tanggungjawab menteri adalah salah satu cara di mana Parlimen mengawal kabinet, cabang eksekutif dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen. Kawalan ini dilakukan secara kolektif dan secara individu.
Tanggungjawab bersama bermakna bahawa semua menteri perlu berkongsi beban; mereka mesti tenggelam dan berenang bersama-sama. Mereka perlu meletakkan jawatan jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar kabinet. Pernah berlaku keadaan di mana menteri-menteri meletakkan jawatan kerana perbezaan pendapat.
Di United Kingdom kita mempunyai contoh-contoh seperti peletakan jawatan Robin Cook yang tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Tony Blair mengenai perang Iraq. Di sini kita juga pernah berlaku kes-kes serupa seperti perletakan jawatan Tun Dr Ismail Abd Rahman semasa pemerintahan Tunku, atau Tun Ghafar Baba daripada pentadbiran Hussein Onn.
Di bawah doktrin ini, menteri-menteri diandaikan sebagai terlibat dalam membuat keputusan, walaupun mereka tidak mengetahuinya atau tidak hadir apabila keputusan tertentu telah diambil. Dalam hal ketua negara, ia diandaikan bahawa nasihat yang dikemukakan kepada pejabat oleh menteri adalah keputusan bersama atau pandangan seluruh kabinet.
Saya rasa semua ini adalah cukup untuk memberikan jawapan bagi soalan-soalan sama ada Mahathir berada di dalam negara, atau sama ada Musa sebenarnya adalah pemangku sewaktu itu. Dari segi perlembagaan, kedua-duanya bertanggungjawab dan tidak ada perbezaan jika Mahathir berada di luar negara dan dia sebenarnya telah meletakkan Musa sebagai pemangku Perdana Menteri. Dari sudut perlembagaan, isu-isu ini tidak diambil kira.
Ia perlu dikatakan bahawa pasukan polis, termasuk Ketua Polis Negara, bukan merupakan sebahagian daripada doktrin menteri kerana mereka bukan ahli dewan. Menteri yang menyelia kementerian adalah pihak yang bertanggungjawab secara individu ke atas tindakan polis. Tetapi ini tidak bermakna bahawa anggota polis akan terlepas begitu sahaja.
Jika terdapat bukti bahawa mereka telah melanggar SOP atau mereka telah menggunakan kekerasan yang berlebihan, mereka boleh dihukum. Ini boleh dilakukan melalui prosiding tatatertib atau mahkamah biasa.
Di sinilah letaknya kepentingan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan yang akan mencungkil fakta pembunuhan beramai-ramai itu. Memandangkan latar belakang politik serta jumlah mangsa yang terlibat, Memali nampaknya adalah sebuah kes penindasan hak asasi manusia terburuk selepas kemerdekaan.
Walaupun tanggapan mengenai tanggungjawab menteri menangani aspek politik tragedi itu, suruhanjaya siasatan akan membantu memberikan butir-butir yang diperlukan supaya tindakan lanjut dapat diambil di mahkamah, sama ada sivil atau jenayah.
Dr Abdul Aziz Bari merupakan bekas professor undang-undang UIAM yang kini mengajar di UNISEL. Beliau juga seorang felo kanan di IDEAS dan Institut Pulau Pinang, sebuah badan pemikir dimiliki kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa