Thursday, June 19, 2014

Kalau Dikawal, Untuk Apa Wujudkan Jawatan MB?

Ada ke mana-mana MB di bawah kawalan Sultan?

"Saya Tidak Dikawal Oleh Sultan Dalam Mentadbir Negeri Johor," - Khaled Nordin
Diterbitkan: Khamis, 19 Jun 2014 12:10 PM - Oleh: ROZAID A. RAHMAN

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hubungannya yang baik dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menjadi asas kepadanya untuk memberi nasihat tanpa rasa gentar atau pilih kasih.
Sebaliknya, Khaled menegaskan, sebagai ketua pegawai eksekutif negeri, beliau "tidak di bawah kawalan" Sultan.
"Kalau hubungan tidak baik, MB hendak bertemu dengan Sultan pun akan menjadi masalah.Tuanku Sultan menghormati saya sebagai menteri besar dan saya memberi kesetiaan kepada baginda. Tuanku adalah seorang yang sangat mengambil berat akan hal ehwal kerajaan negeri dan juga negeri Johor tetapi baginda tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri sejak saya menjadi menteri besar.
"Tugas saya bukanlah untuk mengawal selia aktiviti Sultan tetapi untuk memberi nasihat kepada baginda," ujarnya dalam pertemuan eksklusif dengan mStar dan The Star di sini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab cakap-cakap yang mengatakan yang beliau tidak berupaya untuk 'mengawal' dan menasihati Sultan selaku menteri besar berhubung kontroversi Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 baru-baru ini.
Enakmen tersebut telah diluluskan dengan beberapa pindaan pada 8 Jun lalu (Lihat Nota Kaki Di bawah berita ini sebagai rujukan).
Sebelum itu ia telah mencetuskan kontroversi apabila media-media massa utama negara mengenegahkan kebimbangan orang-ramai berhubung enakmen tersebut berhubung klausa yang memberi kuasa tertentu kepada Sultan untuk membuat pelantikan dan memeriksa kewangan lembaga yang hendak dibentuk di bawah enakmen tersebut.
Khaled berkata, tidak dinafikan yang Sultan berasa kecewa dengan persepsi negatif yang dilemparkan kepada baginda berhubung isu yang melibatkan enakmen tersebut.
Ini kerana apa yang terkandung di dalam deraf asal pindaan ke atas enakmen tersebut adalah selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.
"Ia adalah sama sepertimana semasa kita hendak menubuhkan Johor Corporation (JCorp) dahulu. Sedikit pun tidak berubah. Jadi kalau di dalam pindaan ke atas enakmen ini kita tidak memasukan apa yang sepatutnya kita masukkan iaitu peranan tertentu Sultan sebagai pemerintah negeri, maka Tuanku akan menganggap yang kita mahu mengikis kuasa-kuasa tertentu yang ada pada baginda.
"Sama juga sepertimana ketika saya mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dahulu, kita hendak menubuhkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pelantikan anggota lembaga, pengerusi, ketua eksekutif semuanya mestilah dilakukan atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di negeri, Sultan yang memainkan peranan tersebut.
"Tapi oleh kerana enakmen baru jarang-jarang dilakukan di peringkat negeri, orang sangka, kita hendak masukkan elemen baru yang memberi kuasa tertentu kepada Sultan sedangkan ia adalah sama sepertimana sebelum ini dan sama juga di peringkat persekutuan yang memberi kuasa-kuasa tertentu kepada Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
Jelas Khaled, tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan kerana Sultan tahu dan memahami peranannya selaku pemerintah negeri, oleh yang demikian tidak timbul soal campur tangan baginda dalam hal ehwal pentadbiran negeri.
Beliau turut menafikan cakap-cakap yang mengatakan Sultan Ibrahim enggan menandatangani enakmen yang baru diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Johor itu sebaliknya kata beliau, Sultan akan menandatanganinya selepas beberapa program penjelasan berhubung isu enakmen itu selesai dalam tempoh dua bulan ini.
Malah kata Khaled anggota Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor itu akan dilantik sebelum suku pertama tahun hadapan.
"Saya tidak faham dari mana datangnya cakap-cakap ini...semuanya tidak benar," tegasnya.
Khaled juga berkata yang beliau sedar akan cakap-cakap yang mengatakan kononnya beliau tidak berupaya untuk “menasihati” Sultan.
"Di hujung tempoh saya berkhidmat sebagai menteri besar nanti, hanya sejarah yang akan menentukan apakah menteri besar yang dikatakan tidak dapat menasihati Tuanku ini boleh membawa manfaat kepada rakyat," ujarnya dalam nada sinis.
Tambah Khaled lagi, sebagai ahli politik, tidak ada apa yang harus beliau khuatiri selagi beliau tidak melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Johor.
NOTA KAKI:
Berikut adalah senarai 10 pindaan dalam lapan fasal Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014:
Fasal 4 (1) (d) Keanggotaan Lembaga:
Lembaga hendaklah terdiri tidak lebih empat orang wakil daripada apa-apa perbadanan, agensi atau mana-mana orang yang membawa manfaat kepada lembaga yang dilantik oleh Raja.
Dipinda
Lembaga hendaklah terdiri tidak lebih empat orang wakil daripada apa-apa perbadanan, agensi atau mana-mana orang yang membawa manfaat kepada lembaga yang dilantik oleh Raja atau Menteri Besar.
Fasal 4 (2) Keanggotaan Lembaga:
Seseorang anggota Lembaga kecuali sesiapa yang disebut dalam perenggan (a), (b) dan (c) hendaklah memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan adalah layak dilantik semula, melainkan jika dia tidak terlebih dahulu meletak atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu diberhentikan oleh Raja.
Dipinda
Seorang anggota Lembaga kecuali sesiapa yang disebut dalam perenggan (a), (b) dan (c) hendaklah memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan adalah layak dilantik semula, melainkan jika dia terlebih dahulu meletak atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan oleh Raja atau Menteri Besar.
Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga:
Ahli-ahli Lembaga bolehlah dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Raja.
Dipinda
Ahli-ahli Lembaga bolehlah dibayar saraan atau elaun yang ditentukan oleh kehendak Pihak Berkuasa Negeri.
Fasal 7 Kuasa Untuk Menubuhkan Perbadanan:
Lembaga bolehlah dari semasa ke semasa, dengan keputusan Raja, menubuhkan suatu perbadanan menurut Jadual Kedua dengan apa-apa nama yang ditentukan oleh Lembaga untuk menjaga, membangun atau mengurus apa-apa rancangan pemajuan, projek, skim atau perusahaan sebagaimana ditentukan Lembaga.
Dipinda
Lembaga bolehlah dari semasa ke semasa dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, menubuhkan suatu perbadanan menurut Jadual Kedua dengan apa-apa nama yang ditentukan Lembaga untuk 

menjaga, membangun atau mengurus apa-apa rancangan pemajuan, projek, skim atau perusahaan sebagaimana ditentukan oleh Lembaga.

Fasal 12 (2) Pelantikan Pengarah, Pegawai dan Pengkhidmat;

Segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja.

Dipinda
Segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.
Fasal 26 (2) Kewangan:
Lembaga hendaklah sebelum permulaan Julai menyerahkan kepada Raja dan Pihak Berkuasa Negeri anggaran perbelanjaan untuk tahun hadapan dalam bentuk berserta butir-butir yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah sebelum permulaan September setiap tahun memberitahu Lembaga berkenaan jumlah yang dibenarkan untuk perbelanjaan secara amnya ataupun untuk jumlah yang dibenarkan setiap perbelanjaan.
Dipinda
Lembaga hendaklah sebelum permulaan Julai menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri anggaran perbelanjaan untuk tahun hadapan dalam bentuk dan berserta butir-butir yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah sebelum permulaan bulan September memberitahu Lembaga berkenaan jumlah yang dibenarkan untuk perbelanjaan am atau untuk jumlah yang dibenarkan setiap jenis perbelanjaan.
Fasal 32 (3) Tahun Kewangan dan Akaun Beraudit:
Lembaga hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengauditkan akaunnya dan menghantar kepada Raja dan Pihak Berkuasa Negeri bersama-sama satu salinan atau kebenaran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau juru audit yang dilantik di bawah sub Seksyen (2) atas apa-apa kenyataan akaun Lembaga dengan satu salinan laporan dirujuk dalam Seksyen 34.
Dipinda
Lembaga hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengauditkan akaunnya dan menghantar kepada Pihak Berkuasa Negeri, bersama-sama satu salinan atau kebenaran yang dibuat oleh Audit Negara atau juru audit yang dilantik di bawah sub Seksyen (2) atas apa-apa kenyataan akaun Lembaga dengan satu salinan laporan merujuk Seksyen 34.
Fasal 33 (1) Siasatan Terhadap Akaun:
Raja atau Pihak Berkuasa Negeri boleh pada bila-bila masa mengarah orang tertentu yang dilantik olehnya untuk membuat penyiasatan terhadap buku, akaun dan urusniaga Lembaga.
Dipinda
Pihak Berkuasa Negeri boleh pada bila-bila masa mengarah orang tertentu yang dilantik olehnya untuk membuat penyiasatan terhadap buku, akaun dan urusniaga Lembaga.
Fasal 34 (1) Laporan Tahunan:
Lembaga hendaklah, tidak lewat daripada 30 Jun setiap tahun kewangannya, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Raja dan Pihak Berkuasa Negeri suatu laporan menyentuh kegiatan Lembaga pada tahun yang lepas.
Dipinda
Lembaga hendaklah, tidak lewat daripada 30 Jun setiap tahun kewangannya, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Pihak Berkuasa Negeri suatu laporan menyentuh kegiatan Lembaga pada tahun yang lepas.
Fasal 43 (1) Penggulungan dan Pembubaran:
Raja boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan supaya Lembaga digulung dan dibubarkan.
Dipinda
Pihak Berkuasa Negeri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan supaya Lembaga digulung dan dibubarkan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa