Friday, June 27, 2014

Misteri Akan Terus Menjadi Misteri?

Misteri MH370 belum terungkai selepas tiga bulan
DR ROSLI YAAKOP
SUDAH lebih tiga bulan berlalu, pencarian pesawat MH370 yang hilang pada awal pagi 8 Mac lalu masih di jalan buntu.

Tiada apa-apa tanda yang boleh dikaitkan dengan pesawat ditemui di zon pencarian untuk membantu pasukan mencari dan menyelamat mengesan pesawat. Sudah timbul kekecewaaan.
Sudah ada suara yang menyatakan pencarian mungkin berlanjutan berdekad lamanya.

Baru-baru ini, dunia mendapat sedikit pencerahan baru hasil dari penemuan pasukan penyiasat yang menyiasat mengenai kehilangan pesawat MH370. Zon pencarian sudah lebih “precise”.

Menurut sumber yang dipetik dari akhbar The New York Times News Service (Selasa, 24 Jun 2014), pasukan penyiasat yang menyiasat kehilangan pesawat MH370 membuat kesimpulan bahawa pesawat telah berpatah balik – membuat pusingan U – dan terbang secara “kemudi otomatik” (atau di dalam perkataan yang digunakan oleh para penyiasat “controlled flight”) sejak ia terputus hubungan dengan sistem kawalan udara sehinggalah ia terhempas di suatu lokasi; dipercayai di selatan Lautan Hindi.

Berikut adalah beberapa penemuan daripada siasatan yang telah diumumkan di Canberra, Australia baru-baru ini:

Pertama: Penelitian ke atas data dari sumber radar milik tentera Malaysia dan penelitian semula dengan lebih terperinci ke atas data-data dari sumber satelit Inmarsat mengesahkan bahawa bahawa pesawat MH370 telah berpatah ke arah barat laut dari arah asal yang ditetapkan, iaitu arah timur laut menghala ke Beijing.

Pusingan U ini berlaku di ruang udara Teluk Siam. Ia kemudian terbang menghala ke arah barat merentasi Semenanjung Malaysia dan Selat Melaka sehinggalah ia terkeluar dari jeda kawalan radar selepas merentasi bahagian utara Pulau Sumatera.

Oleh yang demikian, dakwaan awal yang menyatakan pesawat terbang merentasi ruang udara Thailand ke arah Kazhakstan adalah tidak tepat. Juga dakwaan bahawa pesawat terbang ke arah laut Andaman juga tidak benar.

Kedua: Di sepanjang penerbangan dalam arah baru itu, pesawat telah terbang mendaki sehingga ke ketinggian 45,000 kaki. Ini melebihi ketinggian maksimum yang dibenarkan, iaitu, 43,100 kaki. Ia kemudian terbang menurun dan terbang rendah ketika merentasi banjaran pergunungan di ruang udara Malaysia sebelum ia terbang mendaki semula ke ketinggian 23,000 kaki ketika merentasi ruang udara Selat Melaka.

Ketiga: Berasaskan data dari denyutan elektronik (ping) atau dikenali juga sebagai “salam perpisahan terakhir elektronik” (electronic handshake), pasukan penyiasat membuat kesimpulan bahawa pesawat berakhir di dalam laut di bahagian barat Australia dalam satu zon yang dikenali sebagai gerbang ketujuh (seventh arc) kerana di dalam lingkongan zon inilah radar satelit merekodkan salam perpisahan elektronik terakhir pesawat. Sebulat suara penyiasat menyatakan bahawa di dalam zon itulah pesawat kehabisan bahan bakar dan terjadilah apa yang terjadi ke atasnya.

Analisis yang dibuat oleh penganalisis komunikasi swasta juga membuat kesimpulan yang sama, iaitu, pesawat berakhir di zon gerbang ketujuh. Jeda zon gerbang ketujuh ini adalah kira-kira 400 batu panjang dan 60 batu lebar. Kini, operasi mencari dan menyelamat ditumpukan di zon ini sahaja.

Keempat: Di sepanjang penerbangan sejak ia berpatah balik sehinggalah ia kehabisan bahan bakar, pesawat terbang secara kemudi automatik. Apabila kehabisan bahan bakar, enjin pesawat terhenti dan ia jatuh dengan kederasan tinggi ke permukaan laut dan pada tabiienya, berkecai.

Dalam keadaan biasa, iaitu, pesawat masih di dalam kawalan juruterbang, pesawat boleh dipandu menggelongsor sehingga sejauh 100 batu sebelum menyentuh permukaan air laut dan badan kapal terbang berkemungkinan tidak berkecai.

Kelima: Ada di kalangan para penyiasat menyimpulkan bahawa salah sorang daripada juruterbang telah bertindak memesongkan hala penerbangan pesawat berniat untuk membunuh diri. Penemuan ini mendapat liputan meluas oleh media massa antarabangsa.

Dalam responsnya, Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia telah menyatakan ketidakpersetujuan beliau dengan kesimpulan ini dan menganggapnya sebagai “khabar angin”.
Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan termakan dengan khabar angin ini.

Namun, beliau tidak pula membuat apa-apa pendedahan mengenai hasil penyiasatan pihak berkuasa Malaysia sendiri mengenai dakwaan bahawa juruterbang berkait dengan kehilangan pesawat.

Keenam: Ada anggota-anggota pasukan penyiasat yang membuat kesimpulan bahawa berlaku kebakaran kecil di dalam pesawat mengakibatkan semua penumpang dan anak kapal tidak sedarkan diri di keadaan pesawat dalam mod kemudi otomatik sehinggalah ia kehabisan bahan bakar dan terhempas.

Nampaknya, hasil penyiasatan masih tidak mampu merungkai pelbagai persoalan, di antaranya, kenapakah pesawat berpatah balik? Kenapakah pelbagai alat kemunikasi pesawat dimatikan dan siapakah yang mematikannya?

Dalam keadaan di mana tiada apa-apa bahagian dari badan pesawat dan benda-benda yang boleh dikaitkan dengan pesawat ditemui di kawasan lautan di mana ia dipercayai berakhir, usaha mencari dan menyelamat tetap melalui jalan sukar dan mencabar.

Mungkin kehilangan pesawat MH370 akan kekal menjadi misteri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa