Sunday, June 22, 2014

Nafsu Orang Kaya

Banglo mewah di udara
Susunan Nurul Nadiah Md Azam
Bilionair yang ingin terbang dengan penuh gaya dan pada masa sama dikeli­lingi oleh rakan kini beralih kepada pengeluar pesawat komersial, tidak lagi jet peribadi kecil.
Mereka kini memilih kapal terbang besar yang dilengkapi segala kemewahan. 
Menurut laporan Wired, pengeluar jet jumbo seperti 747 dan A380 berbesar hati untuk mengubahsuai pesawat mereka bagi memenuhi keperluan dan cita rasa orang kaya seperti putera Arab Saudi dan bilionair Russia. 
Malah, syarikat pengeluar utama pesawat seperti Airbus begitu teruja untuk berkecimpung dalam perniagaan ini sehingga mereka menjalankan ‘kajian mengenai bilionair’.
Hasil kajian itu menunjukkan, taikun minyak Asia Barat dan pemimpin industri China gemar melancong secara berkumpulan lebih 12 orang.
Ini bermakna pesawat seperti Gulfstream atau Bombardier, meskipun mewah, sudah tidak sesuai. 
Sebaliknya, pesawat komersial yang biasa digunakan penumpang kebanyakan kini menjadi pilihan, tetapi selepas dilengkapi meja makan, kerusi kulit, bilik tidur utama dan pusat hiburan. 
Bagi mereka yang berminat, wang bukan penghalang. Ia tidak mustahil. 
Wired menganggarkan Boeing 737 yang dijadikan pesawat peribadi dijual dengan harga AS$80 juta (RM259 juta) sementara Boeing 747 yang lebih besar berharga AS$280 juta (RM905 juta) dan Airbus dua tingkat A380 mungkin menjadi milik anda dengan harga AS$300 juta (RM970 juta). 
Wired melaporkan, setakat ini Airbus menjual 170 pesawat sejak membuka cawangan jet peribadi­nya pada 1997. 
Setiap pembeli berpeluang memilih pelbagai spesifikasi reka bentuk mengikut cita rasa masing-masing untuk menjadikannya milik peribadi mereka. 
“Mereka ingin berasa seperti di rumah atau pejabat ketika di udara. Kamu boleh bayangkan bagaimana seorang bilionair berbelanja sedikit wang untuk mempunyai pejabat dan rumah yang cantik dan me­ngaplikasikan gaya itu di udara,” kata Pengarah Pemasaran Airbus, David Velupillai kepada media. 
Perabot seperti meja makan gergasi untuk makan malam sekeluarga, sofa mewah, malah ada juga yang melengkapkannya dengan ruang bermain boling. 
Ia bukan perkara luar biasa memandangkan kuasa membeli yang dimiliki si pembeli. 
“Pasaran kami khusus untuk bilionair, bukan jutawan atau orang kaya biasa,” kata Velupillai.

1 comment:

  1. jutawan tak cukup duit nak pakai kapai ni hanya yang kaya meliana yang mampu

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa