Saturday, August 23, 2014

Selepas kerusi melayang ketika pemilihan parti, hari ini Kongres Nasional PKR bermula

Irwan Muhammad Zain,Astro Awani |Kemas kini:Ogos 23, 2014
(Diterbitkan pada: Ogos 23, 2014 07:00 MYT)


Selepas kerusi melayang ketika pemilihan parti, hari ini Kongres Nasional PKR bermula
Pemilihan penuh kontroversi hingga kerusi melayang dan isu MB Selangor jadi tumpuan Kongres Nasional PKR ke-10
KUALA LUMPUR: Hari ini, PKR mengadakan Kongres Nasional yang ke-10, dalam keadaan parti itu dan Pakatan Rakyat diuji dengan krisis politik di Selangor dan juga perihal pemilihan parti yang baru sahaja selesai awal bulan lalu.

Banyak mata memberi tumpuan terhadap Kongres Nasional PKR kali ini kerana isu Menteri Besar Selangor dan kisah-kisah ketika proses pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang berlangsung sejak Mac lepas.

Selepas ada kerusi yang melayang, selepas ada ahli yang digantung dan dipecat serta selepas ada pemimpin yang dijangka menang akhirnya tewas pada pemilihan parti baru-baru ini, hari ini perwakilan PKR akan bersidang.

Selain itu, Kongres Nasional PKR ke-10 ini mencuri tumpuan disebalik isu Menteri Besar Selangor yang masih belum selesai, ketika nasib presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih belum pasti diperkenan atau tidak oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kisah pemilihan parti yang penuh kontroversi dan isu Menteri Besar Selangor tentunya akan menjadi perkara yang dibangkitkan oleh perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar presiden PKR.

PKR sebuah parti yang penuh kontroversi. Dari awal penubuhannya hingga hari ini, PKR tidak pernah lepas dari kontroversi demi kontroversi, hingga ada yang melabelkannya sebagai parti yang penuh 'drama'.

Jika tidak kerana isu Menteri Besar Selangor, tentunya kisah pemilihan parti akan menjadi perhatian utama perwakilan kali ini.

Cerita-cerita pemilihan yang ada kerusi melayang, peti undi dibawa lari dan macam-macam lagi dijangka akan sedikit tenggelam dengan isu Menteri Besar Selangor.

Dalam perbahasan, perwakilan dijangka akan menyentuh isu ini, isu tindakan terhadap Abdul Khalid, isu hanya mahu menamakan seorang calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor dan cakap-cakap di kalangan rakyat bahawa PKR lebih mementingkan anak beranak dari orang lain dalam parti biarpun ada individu yang tidak kurang jasanya dalam parti.

Namun, seperti kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, krisis menjadikan parti lebih kuat selain dapat menilai tahap semangat sesama ahli ketika menempuh saat-saat getir bersama.

Kata Mohamed Azmin, krisis yang berlaku memberi pengajaran dan pembelajaran dalam pengurusan krisis dalaman Pakatan Rakyat  sendiri.

"Kita perlu ada sikap tawadhu’ untuk terima pandangan dan teguran rakan. Tidak ada masalah untuk berbeza pendapat namun kita wajib menyokong keputusan yang dibuat oleh jemaah PR," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam.

Atas pesanan itu, perwakilan PKR yang akan bersidang bermula hari ini dan esok, perlu bijak dan matang untuk berbahas.

Mereka tidak seharusnya terperangkap dalam permainan musuh-musuh PKR dan Pakatan Rakyat yang berada di luar dan dalam parti.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa