Thursday, August 28, 2014

Tun Musa Tahu Apa Yang Mahathir Mahu!

Seronok aku tengok bila banyak yang Mahathir kata membuka pekungnya sendiri!

Dr M hanya puas hati jika ‘Dr Mahathir’ ambil alih Putrajaya, kata Musa Hitam 
Published: 27 August 2014
Tun Musa Hitam yakin matlamat utama kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah untuk menyingkirkannya dari Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2014.

Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan berpuas hati jika terdapat klon beliau mentadbir Putrajaya, kata bekas timbalannya Tun Musa Hitam, merujuk kepada serangan terbaru bekas perdana menteri itu terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Musa yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 1981 hingga 1986 bersama Dr Mahathir berkata, bekas majikannya itu tidak akan berpuas hati dengan mana-mana pemimpin.
"Beliau hanyak akan berpuas hati jika terdapat klon Mahathir yang menjadi pemimpin berkuasa di Malaysia," kata Musa dalam satu temubual eksklusif dengan The Malaysian Insider.
Musa merujuk kepada kritikan Dr Mahathir baru-baru ini ke atas Najib, di mana bekas perdana menteri tersebut memberi 7 sebab mengapa Najib gagal.
"Lihat kepada semua timbalan yang bekerja dengan Mahathir sepanjang 22 tahun. Saya antara yang dianggap sebagai merbahaya," katanya.
"Tun Ghafar Baba (1986-1993) dianggap sebagai baik, setia. Datuk Seri Anwar Ibrahim (1993 -1998) boleh dianggap sebagai pengikut beliau paling teruk, Anwar dikatakan tidak setia dan buat itu dan ini.
"Tun Abdullah Ahmad Badawi (1999-2003) pula dianggap seorang yang baik," katanya.
Bagaimanapun, Musa berkata Abdullah juga senasib apabila disingkirkan Dr Mahathir daripada tampuk kuasa kerana dianggap lemah.
"Tapi selepas seketika, Mahathir melihat Abdullah sebagai perdana menteri Malaysia paling teruk dan lemah.
"Mahathir tidak gembira kerana Abdullah tidak mengikut telunjuknya, jadi beliau disingkir," katanya.
Selepas Najib dipilih sebagai pengganti Abdullah, Dr Mahathir secara terbuka memuji perdana menteri pilihannya itu dan menasihati Najib dalam banyak perkara.
"Tapi selepas Najib mula mentadbir mengikut caranya sendiri dan mengambil keputusan mentadbir tanpa gangguan, ia menjadi lebih buruk dan buruk kepada Mahathir.
"Mahathir berasa Najib tidak mendapatkan nasihatnya dalam isu yang penting tetapi dikatakan terpengaruh dengan orang luar," katanya.
Musa berkata, alasan Dr Mahathir yang mengatakan kritikan tersebut hanya sekadar nasihat lembut tidak boleh dipercayai memandangkan sudah mengenali strategi bekas majikannya itu.
"Itu adalah Mahathir, jangan percaya dengan kata-kata beliau mengatakan kritikan ke atas Putrajaya adalah bertujuan untuk nasihat yang baik.
"Matlamatnya adalah untuk menyingkirkan Najib dari Putrajaya," katanya memberi amaran.
Bercakap kepada The Malaysian Insider di pejabatnya di Hampshire Place, Kuala Lumpur, Musa kelihatan tenang dan membangkitkan banyak isu yang berlaku khususnya mengenai pentadbiran Najib.
"Satu-satunya cara untuk memuaskan hati Mahathir ialah dengan meletak klon yang sama dengan beliau di tampuk kuasa," katanya.
Musa berkata, isu di sini bukan mengenai demokrasi dalam Umno, tetapi ia sebenarnya adalah tentang bekas perdana menteri tersebut.
Beliau berpendapat, keterbukaan yang dipamerkan Najib dalam pentadbirannya lebih baik berbanding sebelum ini, malah sepanjang di tampuk kuasa tidak ada lawannya yang dipenjarakan.
"Najib sudah memperlihatkan kesanggupan menerima kritikan dari dalam dan luar Umno," katanya.
"Jika semasa zaman Mahathir, sebarang kritikan dalam media arus media perdana dibuat ahli politik Umno maka kariernya akan tamat serta-merta," katanya.
Musa menyifatkan kritikan dan komen buruk Dr Mahathir hanya mewujudkan rasa tidak selamat dan hilang arah tujuan di kalangan ahli Umno sendiri.
"Malaysia mengamalkan negara demokratik dengan had tertentu, ia mungkin tidak sempurna tetapi Umno perlu belajar menghadapinya.
"Setakat ini ia kelihatan baik walaupun banyak kritikan, Najib kelihatan tenang dan tidak tergugat," katanya.
Berbeza ketika zaman Dr Mahathir, kritikan yang banyak seperti diterima Najib sekarang tidak dihadapi bekas perdana menteri tersebut, kata Musa.
"Mahathir tidak pernah hadapi sebarang kritikan sama seperti Najib hadapi sekarang ini," katanya.
Musa menyifatkan perkara ini sebagai sesuatu yang positif bagi Najib, menerima kritikan yang bertimbun khususnya daripada laman portal.
"Jika kamu tidak tahu untuk menghadapi demokrasi, ia akan memakan diri kamu semula," katanya.
Minggu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau menarik balik sokongannya kepada Najib dengan berkata segala tegurannya dalam pelbagai isu hanya sampai ke telinga yang pekak.
"Saya tidak ada pilihan melainkan menarik balik sokongan saya. Ini tidak berkesan, jadi saya kritik," katanya sambil menambah Najib bukan lebih baik berbanding Pak Lah.
"Banyak polisi, pendekatan dan tindakan kerajaan di bawah Najib memusnahkan hubungan antara kaum, ekonomi dan kewangan negara," katanya.
Antara isu yang disenaraikan ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sikap 'lemah' Najib terhadap negara jiran dan penggunaan wang negara untuk mendapatkan sokongan rakyat setiap kali pilihan raya.
Sehingga kini, pemimpin Umno sangat berhati-hati dengan reaksi mereka terhadap kritikan pedas dan terbuka Dr Mahatahir terhadap Najib. – 28 Ogos, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa