Tuesday, November 25, 2014

Hanya Umno dan elit Melayu yang berisiko diancam dan bakal menjadi 'Red Indian'!

Hanya Umno, elit Melayu berisiko jadi Red Indian
mk - 5:00PM - 25 Nov 2014

Ahli panel forum ajuran DAP malam tadi bersetuju bahawa hanya Umno dan golongan elit Melayu yang berisiko diancam dan bakal menjadi 'Red Indian' seperti di Amerika Syarikat.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kajian menunjukkan Melayu merasa terancam kerana kesan daripada perang psikologi.

Beliau mendakwa bahawa Umno telah memainkan perang psikologi itu sehingga bangsa Melayu benar-benar rasa terancam.

“Tetapi minda mereka (Melayu) telah menerima perang psikologi yang dibawa Umno sehingga mereka merasakan mereka sememangnya terancam,” katanya.

Katanya, ekoran perang psikologi itu wujud badan bukan kerajaan (NGO) pelampau yang menakut-nakutkan orang Melayu dan tentang kedudukan Islam di negara ini.

Bercakap dalam forum bertajuk ‘Adakah Melayu dan Islam diancam’ malam tadi, Husam berkata keadaan itu akan berterusanselama Umno memerintah Malaysia.

Sebaliknya, tegas Husam, Melayu tidak terancam memandangkan kerusi Parlimen Melayu akan tetap kekal majoriti meskipun Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.
“Sekarang dari 222 kerusi, majoriti 52 kerusi lebih adalah Melayu, kita tidak boleh tukar kerusi, tiada siapa yang ada kuasa tukar kerusi kecuali dengan persempadanan pilihan raya.

"Apa yang PERKASA dan bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad paling gerun, bukan Melayu menjadi Red Indian, tetapi Umno yang menjadi Red Indian,” kata Husam lagi.

Katanya, menurut kajian Merdeka Center, sebelum ini perasaan Melayu rasa terancam cuma 26 peratus pada 2008 dan meningkat kepada 55 peratus pada 2014.

Mengulas kenyataan Abdul Hamid supaya PAS bergabung dengan Umno bagi mengelakkan orang Melayu terpinggir seperti Red Indian, Husam membidas:

"Pada pendapat saya, lebih lama Umno memerintah Malaysia, lebih cepat Melayu akan jadi Red Indian."

Sementara itu, Sasterawan Negara, A Samad Said berkata fenomena Melayu dan Islam terancam datang secara “bermusim” iaitu ketika pilihan raya dan perhimpunan agung Umno.

“Sebelum ini, ia sudah timbul. Mereka tanya saya, adakah Melayu terancam.

"Saya jawab sejak lima dekad yang lalu, semua menteri sebelum ini adalah orang Melayu, timbalan perdana menteri, kementerian dalam negeri, menteri besar dan kebanyakan ahli parlimen adalah Melayu.

“Selain itu kita ada, Raja Melayu dan Tentera Melayu. Jadi dengan kekuatan yang kukuh, apakah alasan untuk menyatakan bahawa orang Melayu terancam?" soalnya.

Beliau yang mesra dipanggil Pak Samad berasa hairan kerana yang sepatutnya berasa diancam dan terancam adalah kaum bukan Melayu.

Beliau turut menjelaskan selama 57 tahun, negara ini hanya dipimpin golongan bangsawan kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari pula berkata kedudukan Melayu dan Islam kini lebih selamat berbanding sebelum ini.

Ini kerana, katanya, kebanyakan pindaan perlembagaan yang melindungi Bumiputera dan Islam memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen dan juga memerlukan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.

“Jadi, kembali kepada soalan sama ada Melayu dan Islam terancam, saya fikir tidak. Cuma pemimpin yang memerintah selama ini gagal menjalankan tanggung jawab mereka,” katanya.

3 comments:

  1. Post terbaik. Sekurang-kurangnya dengan penerangan golongan pfofesional tersebut sekurang-kurangnya umat Melayu tak ditipu seumur hidup oleh para pemimpin mereka yang merompak harta dan wang negara dengan menggunakan senjata yang bernama "keistimewaan Melayu". Bangsa Melayu adalah bangsa yang mudah ditipu dan amat susah untuk berhijrah walaupun hijrah itu adalah suruhan Rasullulah SAW.

    ReplyDelete
  2. Abe

    Saya baru mengetahui bahawa dikalangan red indian amerika zaman penjajahan bangsa eropah dulu, sudah terdapat puak-puak red indian yang berugama Islam. C++ menulis kom3n pendek mengenai perkara ini dalam blog yong suka kuning. Saya terus google dan jumpa artikel ini.

    http://www.islam101.com/history/cherokee.htm

    ReplyDelete
  3. bat8

    Sebenarnya abe pernah terjumpa satu article dulu yang abe lupa siapa penulisnya yang Amerika terlebih dahulu ditemui oleh pelayar Islam lama sebelum colombus menemui benua itu.

    Jadi dari situ ramai puak-puak indian turut memeluk islam bila ketua-ketua puak mereka memeluk Islam.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa