Saturday, November 22, 2014

Perhimpunan Agung UMNO: Demokrasi bakal berakhir? Kenapa?

Demokrasi bakal berakhir dalam Perhimpunan Agung UMNO?
08:30PM Nov 21 2014

KOMEN: Persembahan-persembahan terbaik di Malaysia bukannya dimainkan di Istana Budaya, tetapi tidak jauh dari situ di Pusat Dagangan Dunia Putra.

9 November ini, Pusat Dagangan Dunia Putra akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Umno, hiburan terbesar negara, iaitu 'wayang' politik.

Perhimpunan itu sentiasa membawa persembahan yang menghiburkan, dengan ucapan retorik berapi-api, lakonan-lakonan dramatik, dan demonstrasi emosi seperti pemain sandiwara yang dapat menyaingi filem-filem Hindustan terbaik.

Siapa yang boleh lupa edisi 2002, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan yang beliau akan meletakkan jawatan, yang disambut dengan rasa terkejut keseluruhan parti itu. Dan oh, air mata bercucuran pada hari itu! Persembahan itu masih belum dapat disaingi, dengan aksi cium keris Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiga tahun selepas itu, ditinggalkan jauh di tempat kedua. 

Plot-plot wayang ini jarang berbeza dari kebiasaan setiap tahun, dan hampir sama dengan skrip filem-filem bencana.

Dikelilingi oleh ancaman bahaya dari pihak-pihak yang tidak diketahui, nasib keseluruhan bangsa menjadi pertaruhan, namun tiada seorang pun daripada mereka menyedari ancaman yang mereka hadapi ini. Kesemuanya terserah kepada beberapa orang yang berani – bersenjatakan pengetahuan, semangat dan rahmat tuhan – untuk menyedarkan mereka yang sedang tidur dan meyakinkan orang ramai yang ragu-ragu mengenai bahaya yang jelas ini.

Dengan suara yang lantang mereka akan mengisytiharkan ancaman dan mengutuk dalang-dalang bersembunyi ini, dan sewaktu orang ramai mendengar dengan asyik, mereka disinari cahaya kemasyhuran dengan menawarkan diri mereka sebagai pembela sebenar, seorang pejuang yang memastikan kelangsungan hidup bangsanya. 

Dan hadirin pasti menggila – sorakan dan sahutan tanda setuju berkumandang. Umno kekal juara, dan segala-galanya baik semula dalam dunia.

Jadi apa yang boleh kita harapkan melalui persembahan tahun ini?

Melihat kepada ‘iklan’ yang telah kita nampak setakat ini, presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya sudah bersedia untuk memberi rakyat Malaysia suatu persembahan mengenai Akta.

Petunjuknya banyak dan semakin jelas sewaktu perhimpunan itu semakin hampir.

Bangkangan terhadap keputusan Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan telah berkembang dengan semakin kuat, dan kini korus suara telah pun berbunyi. Orang-orang kuat Umno dan kumpulan-kumpulan sayap kanan, dari Mahathir ke bawah, telah mula menyatakan sokongan bagi Akta Hasutan.

Lain-lainnya, seperti Datuk Kadir Jasin, telah secara terbuka menyatakan bahawa ia adalah satu kesilapan bagi Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menarik undi bukan Melayu menjelang PRU13. Pemansuhan itu tidak menghalang tsunami Cina yang membawa kepada kekalahan paling besar yang pernah dialami BN. 

Tidak mengejutkan, Wanita Umno telah muncul dan melancarkan kempen di seluruh negara bagi mengekalkan akta itu. Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bercadang untuk menghantar memorandum kepada Najib bagi meminta penangguhan dalam memansuhkan akta tersebut, sementara menunggu perbincangan dilakukan dengan pihak-pihak yang berkaitan.

Dan pentas telah disiapkan bagi Najib memainkan peranannya sebagai pelindung dan juara tertinggi semasa perhimpunan agung itu.

Seperti Mahathir, Najib juga adalah pakar dalam 'wayang' politik. 

Beliau dan timbalannya membentuk gabungan 'bertentangan' yang menggerunkan, seorangnya liberal progresif– Melayu moden – dan seorang lagi tradisionalis konservatif – pejuang Melayu. Jangkakan yang mereka akan melengkapi – bukannya menentang – satu sama lain semasa perhimpunan agung ini.

Nantikan seruan untuk melindungi negara sekali lagi daripada serangan ke atas raja-raja, bangsa dan agama. Dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, hanya Akta Hasutan yang memisahkan mereka dengan kekecohan secara total. Siri tangkapan, siasatan dan dakwaan yang difailkan di bawah Akta itu baru-baru ini, hanyalah bertujuan untuk mengenengahkan kepentingannya dan memperkukuhkan dakwaan mereka.

Jadi, Najib yang ibarat wira yang berat hati akan muncul semasa perhimpunan agung, akhirnya bersedia untuk memenuhi takdirnya. Beliau akan mengorbankan pandangan peribadi liberal progresif-nya dan 'melakukan apa yang sepatutnya' demi kebaikan keseluruhan negara - bersetuju untuk mengekalkan Akta Hasutan.

Mustahil?

Berikut adalah sesuatu yang lebih baik. Bagaimana jika dia memutuskan untuk mengatasi persembahan Mahathir 2002 dan mengumumkan kemunculan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri?

Jika mana-mana ini berlaku, maka berakhir sudah persembahan Malaysia sebagai sebuah negara berdemokrasi dunia pertama. - sumber

1 comment:

  1. UMNO.... Bahalol

    Bebende Bahalol tak tahan lama lah.

    Bukan semua orang Bahalol selama lama nya...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa