Tuesday, December 30, 2014

Banjir: Cerita Duka Penduduk Manik Urai Lama

Penduduk kampung terperangkap atas bukit ketika banjir menenggelami rumah
Published: 30 December 2014 - TMI
Penduduk kampung di Manek Urai, Kelantan mula pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 30 Disember, 2014

Di pedalaman Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, di Kelantan beratus orang kampung terus terperangkap beberapa hari di atas bukit, setelah lari ke sana apabila air banjir melanda rumah mereka tanpa sebarang amaran.

Pemindahan itu dilakukan dengan cara yang menakutkan dan mengejut, tanpa bantuan pihak berkuasa, menurut Hayati (bukan nama sebenar) antara mangsa yang mendapatkan perlindungan di atas bukit itu selepas banjir memusnahkan rumahnya.

“Bila kami sangat memerlukan mereka, polis, anggota bomba, kecewakan kami," katanya, sambil air matanya bergenang.
Tiada sesiapa di kampung itu menjangka air banjir akan sampai ke rumah mereka. Jadi, apabila air tiba-tiba masuk pada jam 3 pagi Selasa lalu, mereka bertempiaran lari sambil membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa untuk menyelamatkan mereka.
Tetapi pasukan bantuan tidak dapat datang dan penduduk kampung terpaksa menyelamatkan diri sendiri.
“Air naik sangat laju. Apabila polis kata mereka tidak dapat datang, saya fikir, habislah kita, terpaksalah kita panjat bumbung.
“Tetapi, Alhamdulillah, seseorang di kampung itu mempunyai sampan, jadi saya cepat-cepat menyelit naik dalam sampannya dengan bayi saya yang baru berusia dua bulan untuk pergi ke rumah di atas bukit," katanya.
Malam itu, setiap rumah di bukit itu mempunyai kira-kira lima keluarga berlindung dengan selamat di dalamnya. Semuanya terpaksa tidur di atas lantai, dengan makanan yang terhad kepada apa yang mampu disediakan tuan rumah, katanya.
“Walaupun terlalu ramai kami di sini yang mencari perlindungan, tuan rumah menyambut kami dengan tangan terbuka. Mereka sangat meraikan kami, mereka kata nasib baik mereka baru saja pergi ke kedai sebelumnya, jadi ada cukup makanan untuk semua,” katanya.
Hanya dua hari kemudian lebih banyak bekalan tiba apabila helikopter dan bot menghantar bantuan dalam bentuk pakaian dan makanan kepada penduduk kampung di atas bukit itu.
Akhirnya, banjir mula surut semalam dan mereka perlahan-lahan meninggalkan bukit itu menuju rumah mereka bagi melihat tinggalan banjir.
“Tidak ada apa lagi yang tinggal,” kata Hayati menggelengkan kepalanya.
Beliau sedang membersihkan rumahnya ketika ditemui The Malaysian Insider. Walaupun rumahnya masih ada, tidak roboh, tetap tidak boleh didiami. Setiap inci rumahnya diseliputi kotoran dan lumpur basah sementara perabot habis musnah.
"Habis semuanya. Perabot, pakaian, makanan. Tidak ada apa yang tinggal," katanya, sambil adik-beradik lelakinya mengangkat almari yang dipenuhi lumpur tebal dan membuangnya ke atas jalan.
"Saya tidak tahu bagaimana anak saya hendak sekolah beberapa hari lagi, semua yang saya belikan untuk mereka sudah rosak," katanya dalam suara yang bergetar.
Bahagian bawah kampungnya hampir keseluruhan disapu air. Ada rumah, seperti milik Hayati, terselamat daripada dimusnahkan air banjir, tetapi ada yang hanyut dibawa arus air yang deras dan kuat.
Sebuah rumah kayu terangkat terus daripada asasnya kelihatan terhempas pada sebuah rumah batu di seberang jalan.
Serpihan papan berwarna kuning - dari ruang tamu rumah kayu itu - hampir menutupi rumah jiran itu yang masih mampu berdiri tegak.
Yang tinggal dari rumah kayu itu, hanya sebuah tilam berwarna merah jambu, yang basah lencun dikotori lumpur, tergantung di bumbung rumah batu itu, serta rangka besi katil dan buku sekolah yang mukasuratnya sudah kembang akibat ditenggelami air sebelumnya.
Suhaimi (bukan nama sebenar), 41, bersyukur rumah itu kosong ketika dihanyutkan air; rumah kayu itu milik ibu mertuanya, yang ketika itu berada di Kuala Lumpur.
“Saya tinggal di rumah itu selama 20 tahun, dan sekarang walaupun saya tinggal di Bachok, saya balik sini seminggu sekali. Tetapi semuanya musnah sekarang, berapa banyak duit sekalipun tidak mampu mengembalikannya," katanya.
Di sebelahnya, ibu mertuanya yang tidak mampu berkata apa-apa melihat keadaan rumahnya yang musnah teruk.
Ini kali pertama keluarga itu pulang ke Kampung Manek Urai Lama sejak banjir melanda. Sejak beberapa hari lepas, jalan masuk ke kampung tu tidak dapat dilalui, menjadikan ia pulau kecil yang terputus hubungan dari dunia luar. – 30 Disember, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa