Wednesday, January 14, 2015

Dua orang ini masih belum boleh selesa?

Najib, Musa Safri saksi kes tuntutan saman keluarga Altantuya terhadap Putrajaya
OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA‎
Published: 13 January 2015
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khasnya DSP Musa Safri adalah saksi yang berpotensi untuk dipanggil memberi keterangan dalam tuntutan sivil difailkan Setev, bapa kepada model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Setev, berkata tuntutan undang-undang yang tertangguh sekian lama kini boleh diteruskan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mendapati dua anggota polis berkenaan bersalah atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.
“Najib dan Musa akan disapina untuk memberi keterangan dalam kes ini. Tetapi tidak tahu sama ada mereka akan cuba membuat permohonan untuk dikecualikan daripada datang ke mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Ramkarpal berkata dia akan menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menetapkan pengurusan kes bagi membolehkan perbicaraan diadakan secepat mungkin.
“Tuntutan itu ditangguhkan kerana Mahkamah Tinggi mahu perbicaraan jenayah diselesaikan dulu,” katanya.
Beliau berkata sabitan bersalah terhadap Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar memberi kelebihan kepada Setev.
“Pendakwaan membuktikan kes mereka melangkaui keraguan munasabah iaitu beban lebih tinggi untuk memastikan sabitan. Dalam tuntutan sivil kami, ia atas keseimbangan kebarangkalian lebih rendah,” katanya.
Setev memfailkan tuntutan saman RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah, Sirul dan kerajaan Malaysia pada Jun, 2007.
Razak, yang mempunyai kaitan rapat dengan Najib, pada awalnya didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Setev memfailkan saman itu bagi pihak isterinya Altantsetseg Sanjaa dan 2 cucu lelakinya Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, yang masih di bawah umur.
Pasangan itu adalah penjaga bagi anak Altantuya. Anak yang bongsu menghidapi penyakit yang memerlukan rawatan yang mahal.
Keluarga itu memohon ganti rugi atas “kesengsaraan, kesedihan, dan keseksaan fizikal dan mental”.
Panel 5 hakim di Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakarian menjatuhkan hukuman mati terhadap 2 anggota polis itu selepas membenarkan permohonan rayuan kerajaan daam kes pembunuhan itu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang membacakan keputusan itu berkata pihak pendakwaan membuktikan wujud keraguan munasabah dalam kes itu.
“Keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Perintah sabitan dan hukuman mati mandatori terhadap 2 anggota polis itu oleh Mahkamah Tinggi dikembalikan,” katanya.
Pada 23 Ogos, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan Azilah dan Sirul dan membebaskan kedua-duanya.
Empat tahun sebelumnya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaki Mohd Yassin dalam keputusannya mendapati kedua-duanya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati.
Keterangan dalam mahkamah mendedahkan penterjemah warga Mongolia itu sama ada dibunuh oleh letupan C4 atau dibunuh dulu dan mayatnya kemudian dihancurkan pada 18 Oktober, 2006, di Shah Alam, Selangor. – 13 Januari, 2015.

2 comments:

  1. Kalau dah buat bebende tak baik , hidup tak akan berkat.

    Bebudak Bahalol saja...

    Semua pasal Lubok Sumbat !!!!!

    Lubok Lembu Kambing Keldai tak de pulak nak di kejar tuk sumbat.


    Bahalol saja.

    ReplyDelete
  2. Tidakkah amat pelik lagi janggal sekali, dua anggota UTK itu melakukan pembunuhan tersebut tanpa sebarang sebab? Tak kan lah kedua-duanya gila serentak dan berpakat melakukan jenayah secara bersama. Sudahlah begitu, gilanya hanya sementara iaitu ketika melakukan jenayah bunuh itu shj. Amat malang bagi Malaysia kerana memiliki sistem perundangan yg benar2 haprak!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa