Friday, March 20, 2015

Malaysia lebih menyerupai Zimbabwe?

Lima tahun menuju 2020, M’sia lebih menyerupai Zimbabwe
08:30AM Mac 20
oleh Hazlan Zakaria

KOMEN: Pakar undang-undang Profesor Dr Aziz Bari pernah berkata kepada saya, Malaysia bersifat “tiada undang-undang” seperti Zimbabwe. Menyedihkan apabila enam tahun berlalu,kita masih kelihatan seperti selari dengan negara-negara Afrika yang bermasalah dalam beberapa aspek. Apa yang diberitahu beliau kepada saya masih ada kebenarannya.
“Malaysia is Zimbabwe by another name” adalah tajuk artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2009, di saat permulaan kerjaya saya sebagai wartawan politik di Malaysiakini.
Perbandingan ketika itu adalah terhadap keadaan menyedihkan badan kehakiman dan pemimpin berkuasa yang beliau gelar sebagai “samseng”, yang berbuat apa sahaja yang mereka suka tanpa menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Robert Mugabe yang memerintah Zimbabwe mendapat reputasi buruk di peringkat antarabangsa ekoran dasar negara yang dipersoalkan serta dakwaan manipulasi sistem perundangan untuk kekal berkuasa.
Dan memang, pada ketika itu Malaysia pun tidak jauh bezanya.
“Saya tidak tahu apa lagi nak panggil mereka, kadang-kadang kita kena panggil mereka apa adanya. Apa yang kita ada adalah negara yang tiada undang-undang, ia seperti undang-undang rimba,” katanya ketika itu.
Ramai pengkritik berpandangan negara masih lagi dalam keadaan sedemikian pada masa ini, dengan siri tangkapan akta hasutan dan hilangnya keyakinan terhadap badan kehakiman.
Ini termasuklah pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tindakan polis memburu tokoh pembangkang dan aktivis pro-demokrasi kerana terlibat dalam himpunan menuntut pembebasan Anwar.
Antara yang ditangkap untuk soal siasat adalah dua anaknya, anak sulung Nurul Izzah yang juga MP Lembah Pantai dan anak kedua Nurul Nuha.
Selain daripada itu, apa yang kedengaran serupa antara Malaysia dan Zimbabwe pada kali ini adalah kemelut yang dihadapi penerbangan negara dan gaya hidup mewah pemimpin kita.
Pertama,Mugabe dilaporkan mengadakan sambutan hari jadi mewah awal tahun ini, yang dikatakan menelan belanja berjuta dolar.
Acara itu menyaksikan ratusan di bawa menaiki bas untuk menghadiri gala di sebuah hotel dan kerbau, gajah, kudu dan impala dilaporkan telah disembelih untuk dihidangkan kepada Mugabe, pada jemputan dan tetamu.
Selain hidangan mewah, Mugabo juga dihadiahkan patung singa dan buaya yang menjadi haiwan kesukaannya.
Ramai mengutuk sambutan tersebut kerana dibuat di saat rakyat Zimbabwe menderita akibat kemiskinan dan kesukaran hidup, apatah lagi wang yang digunakan dikatakan diambil daripada warga dan peniaga secara paksa untuk membiayai majlis itu.
Letakkannya di sebelah kisah mutakhir berhubung pelancongan mewah di luar negara oleh pemimpin dan pegawai Malaysia, penggunaan jet kerajaan, cenderahati majlis yang mahal, dandanan rambut dan banyak lagi, bukankah kita tidak jauh sangat dengan Zimbabwe?
Perbelanjaan mewah menggunakan wang rakyat didokumenkan seperti sebelum ini, dalam Laporan Audit Negara.
Di sini juga, rakyat perlu membayar perbelanjaan kerajaan. Sementara perbelanjaan kerajaan meningkat, subsidi dipotong dan kos sara hidup meningkat.
Ini seperti biasa kedengaran, termasuklah majlis yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta gaya hidup mewah ahli keluarganya, walaupun Jabatan Perdana Menteri mempertahankannya dengan alasan menggunakan harta warisan.
Yang kedua adalah laporan oleh the Rakyat Post tentang penerbangan Air Zimbabwe yang “bangkrap” dan memerlukan bail-out sejumlah USD600 juta.
Ia memetik pengurus besar kewangan syarikat itu Nigel Chimudzi yang memberitahu Jawatankuasa Parlimen tentang Pengangkutan dan Pembangunan Infrastuktur bahawa syarikat itu sedang bangkrap.
“Penerbangan ini sebenarnya sedang bangkrap. Nasib baik apabila kerajaan terlibat. Jika ia adalah syarikat swasta, pengarah-pengarah patut didakwa kerana membut urus niaga yang cuai.”
Air Zimbabwe bergelut dengan legasi hutang berjumlah USD300 juta dan memerlukan dana baru USD260 juta untuk terus bertahan, memandangkan ia tidak mampu menjana hasli yang cukup untuk operasi dan pembayaran hutang.
Sama dengan apa yang berlaku terhadap Malaysia Airlines (MAS) kita, yang juga diancam bangkrap sebelum bail-out berjumlah kira-kira RM6 bilion daripada badan pelaburan kerajaan Khazanah.
Seperti Air Zimbabwe, MAS juga bergelut untuk menjada pendapatan di sebalik kos operasi yang tinggi, yang pengkritik dakwa berpunca daripada amalan pengurusan yang tidak betul yang memihak kepada kroni kerajaan dalam rantaian bekalan penerbangan itu.
Nah, keadaan Malaysia pada masa ini memang seperti Zimbabwe.
Ironinya semakin kita menghampiri tahun 2020 di mana kita dikatakan akan menjadi negara maju, kita seperti lebih mencerminkan negara dunia ketiga.
Ini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah Wawasan 2020 itu barangkali Wawasan Zimbabwe?

2 comments:

  1. Lahanat dia Maha Firaoun lah....

    Najib kan anak murid dia

    Dua dua keturunan Lahanat pun

    ReplyDelete
  2. Thanks for another magnificent article. The place else may just anyone get
    that type of info in such a perfect way of writing? I
    have a presentation subsequent week, and I'm at the
    look for such information.

    My weblog ... traveling Abroad solo

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa