Friday, March 27, 2015

Memalukan!

Di saat SKMM gagal, wakyat Malaysia berjaya padam laman FB melampau
11:30AM Mac 27
oleh Sonia Ramachandran

PETALING JAYA:  Sebuah gambar “superimposed” menggabungkan patung emas Dewan Murugan di Batu Caves yang dijilat api, serta imej ahli Perkasa yang membawa kepala lembu dan diiringi dengan kenyatan rasis yang menghina telah menjadikan mereka di sebalik laman Facebook “Ayahnda Raja Provokasi” menjadi “persona non grata” di kalangan rakyat Malaysia.
Posting Facebook mereka menyebabkan Pemuda MIC dan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama membuat laporan polis, dan polis kini sedang menyiasat pihak yang menjadi dalang laman Facebook itu dan berjanji akan mengambil tindakan.
Namun nampaknya bukan itu sahaja penghinaan oleh “Ayahnda Raja Provokasi” ini.
Walaupun laman Facebooknya telah ditutup, dalang di sebaliknya sebelum ini pernah membuat posting ini: “Ayah Razak dijemput menandatangani  1 surat perjanjian dari Queen Elizabeth yang menjanjikan Ayah menjadi pemimpin tertinggi Tanah Melayu selpas semua KAFIR HARBI iaitu Cina & India dihalau keluar nanti.
“Ini menjadikan Ayahanda Khalifah YDP Razak Dahaman berkedudukan lebih tinggi dari Agong.”
Bukan sahaja pemilik laman ini menghina orang Cina dan India, namun juga monarki – sesuatu yang tidak boleh diterima di negara ini.
Mereka juga menghina Razak Dahaman yang sejak itu telah menjelaskan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan laman Facebook itu.
Persoalannya, di manakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika ini berlaku?
Sebab mengapa soalan ini ditanya adalah, Semut Harian pada tahun lalu menerbitkan artikel berhubung laman Facebook yang mempergunakan gambar gadis India tempatan, yang kebanyakannya tanpa pengetahuan dan keizinan mereka.
Isu itu dibangkitkan Presiden Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Malaysia (MCEO) Jeevithan P Ganasan yang membawa isu itu ke SKMM selepas gagal membuatkan Facebook memadamkan akaun tersebut.
Timbalan Pengarah SKMM di pejabat wilayah utara memaklumkan kepada Jeevithan dalam satu mesyuarat yang SKMM tiada kuasa untuk bertindak.
“Selepas saya menjawab soalan mereka, saya diberitahu yang mereka tidak boleh membantu, kerana isu ini memerlukan mereka menulis secara rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk tindakan selanjutnya.
“Saya diberitahu yang Amerika akan membantu SKMM mencari identiti pemilik akaun Facebook tersebut jika ia melibatkan ancaman, perkauman dan isu sensitif melibatkan raja.
“Namun, oleh kerana posting bersifat seksual dan gambar bogel tidak menjadi kesalahan di Amerika, hal itu menjadi sedikit rumit. Saya diberitahu yang SKMM perlu memulakan proses perundangan di mahkamah Amerika untuk mecari pemilik akaun Facebook seumpama itu,” kata Jeevithan kepada Semut Harian tahun lalu.
Bukankah posting di laman “Ayahnda Raja Provokasi” berbau perkauman dan hal sensitif melibatkan monarki, malah Yang Di-Pertuan Agong?
Justeru, bukankah ia menjadi lebih mudah untuk mengenalpasti pemilik akaun tersebut?
Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua baru-baru ini berhadapan masalah selepas beliau menulis di Twitter: “Bastards. Real bastards. Royal my foot”, sebagai respon terhadap penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada 16 Mac lalu, atas tuduhan menghasut?
Oleh kerana itu, Pua kini disiasat atas tuduhan sama apabila twitnya dikatakan menyerang monarki di negara ini. Ia menunjukkan betapa seriusnya kesalahan bagi menghina golongan diraja.
Pada masa sama, nampaknya rakyat biasa yang akhirnya berjaya memadamkan laman Facebook jelik ini dengan melaporkannya kepada Facebook.
Ruangan sokongan di Facebook menyatakan: “Anda telah melaporkan ‘Ayahnda Raja Provokasi’ kerana mengandungi simbol dan ucapan kebencian,” dan statusnya bertulis: “Laman ini telah dipadam.”
Namun, ia menunjukkan tarikh laporan adalah pada 4 Februari 2015, manakala posting rasis terbaru oleh “Ayahnda Raja Provokasi” adalah bertarikh 23 Mac.
Maklumat di ruangan sokongan menyatakan: “Kami menilai laman yang anda laporkan kerana mengandungi simbol dan ucapan kebencian. Oleh kerana ia melanggar Standard Komuniti kami, kami telah memadamnya. Terima kasih atas laporan anda. Kami hanya memaklumkan Ayahnda Raja Provokasi bahawa laman mereka telah dipadam, tetapi tidak pihak yang membuat laporan.”
Sementara tugas mengenalpasti dan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab terletak di tangan pihak berkuasa, amat bagus untuk melihat rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama tidak menyokong kebodohan dan ekstremisme jenis ini.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa