Sunday, March 22, 2015

Najib tidak akan mampu dijatuhkan?

Jangan mengharap perubahan, Najib kukuh menerajui Umno
10:30AM Mac 21
oleh Ahmad Mustapha Hassan
SUARA LANTANG: Datuk Seri Najib Razak, walau apa jua tuduhan yang dilempar ke arahnya, akan kekal sebagai Perdana Menteri selagi Umno Baru berkuasa!

Terdapat spekulasi demi spekulasi bahawa Najib tidak mungkin dapat bertahan lama. Beliau dilanda pelbagai macam kemelut. Di antaranya melibatkan kes Altantuya serta krisis 1MDB. Pada mesyuarat hujung minggu lalu, beliau bertemu ketua-ketua bahagian Umno Baru dan berjaya mendapatkan sokongan mereka. Penjelasan yang diberi Najib nyata menyakinkan ketua-ketua bahagian Umno Baru itu.
Bagi mereka yang menjangkakan Najib tidak dapat bertahan, tentu sekali mereka tidak mengerti budaya di dalam Umno Baru. Amalan di dalam parti tersebut menyebabkan ahli yang berkelayakan dan banyak bertanya tidak akan kekal lama. Hanya pengikut yang menurut kehendak akan kekal di dalamnya.
Ia tidak lagi seperti Umno yang asal. Malah Tunku Abdul Rahman, perdana menteri yang pertama pernah dikritik teruk kerana mengenepikan kebajikan masyarakat Melayu dan hanya berminat bersuka ria. Seorang pengkritik mendesaknya meletak jawatan, tetapi dibuang keahlian.
Dalam kes Najib, pengkritiknya memang akan mendesaknya, tetapi kedudukan Najib tidak akan terjejas kerana mereka tidak berpengaruh ke atas ahli Umno. Beliau dikelilingi penyokong seperti naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang lantang mempertahankan presidennya.
Seorang lagi penyokong berkata 1MDB merupakan makhluk yang menghasilkan telur emas dan sewajarnya ia tidak dikritik. Inilah yang saya maksudkan dengan sifat ketaatan terhadap pemimpin di dalam Umno Baru.
Malah Khairy Jamaluddin, ketua sayap pemuda, sering sekali menunjukkan sifat taatnya kepada pucuk pimpinan parti. Beliau gembira melakukan siri jelajah bagi menerangkan keputusan mahkamah memenjarakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menjadikan ini keutamaan berbanding menghasilkan bakat sukan berkelas dunia 
Umno Baru ditubuhkan bagi menjayakan agenda seorang pemimpin. Umno yang dahulu terlalu demokratik dan mereka menunjukkan sikap tidak gembira dengan mencabar bagi jawatan presiden. Ini dilakukan pemimpin tak ternama Sulaiman Palestine ke atas presiden ketika itu Tun Hussein Onn. Walaupun tewas, bibit kekecewaan telah disemaikan.
Dalam pusingan seterusnya, Tengku Razaleigh Hamzah berpakat dengan Tun Musa Hitam bagi mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini menyebabkan krisis di dalam parti dan solusinya ialah dengan membubarkan Umno yang dilakukan mahkamah.
Tengku Razaleigh dan Mahathir kemudian mencadangkan parti dengan singkatan Umno tetapi kerana Mahathir perdana menteri, beliau dapat menubuhkan Umno Baru 
Ia tertubuh dengan asas tidak akan bertoleransi terhadap sebarang kritikan dan cabaran. Ia hanya mengangkat seorang pemimpin parti. Apa yang diputuskan presiden akan dipatuhi semua ahli. Tiada siapa yang mencabar bagi jawatan presiden di dalam Umno Baru sejak ia ditubuhkan.
Parti itu menerapkan konsep yang lama tersemai iaitu sistem feudal Melayu. Budaya “pantang lawan ketua” menjadi amalan.
Pengganti bagi memegang kepimpinan parti ditentukan presidennya. Tun Abdullah Ahmad Badawi terlalu lama di belakang tabir sehingga beliau tiada upaya menjawat tugas perdana menteri. Bagaimanapun, beliau senang hati kerana telah sampai ke kemuncak.
Najib tidak dicabar. Semua gembira dengan kepimpinannya. Pada perjumpaan dengan ketua bahagian Umno yang lalu, amalan feudal di dalam parti tersebut dibuktikan. Umno Baru tidak percaya kepada demokrasi ataupun meritokrasi. Ia tidak akan melayan pemimpin baru dan mereka yang bercita-cita untuk diangkat selaku pemimpin terpaksa menunggu lama bagi mendapat peluang. Atau mungkin ia hanya impian semata-mata.
Sesiapa yang mengharapkan dapat mengubah Umno Baru dari dalam pasti akan terpalit dengan budaya yang sama. Mereka menjadi seperti ahli lain di dalam parti itu.
Bekas Hakim Almarhum Tan Sri Harun Hashim, yang membuat keputusan membubarkan Umno memberitahu saya suatu ketika dahulu di Padang Kelab Selangor, “Kami hakim dikenali sebagai Yang Ariff, dan wakil rakyat dikenali sebagai YB - Yang Bodoh”.
Ahmad Mustapha Hassan merupakan bekas setiausaha akhbar bagi perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein serta penulis buku, "The Unmaking of Malaysia”.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa