Wednesday, May 27, 2015

Hanya di Malaysia!

Warga tempatan tak dihargai tapi orang asing diberi gelaran – hanya di Malaysia
09:30AM Mei 27 2015
oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Jika anda membahayakan nyawa anda untuk negara, anda mungkin tidak akan dihargai dan mati papa kedana.
Walau bagaimanapun, jika anda seorang selebriti asing, anda mungkin akan dihargai dengan pangkat.
Selamat datang ke Malaysia, benar-benar Asia.
Kerajaan kita terkenal kerana tidak mengiktiraf orang-orang yang telah mempertaruhkan segala-galanya demi negara, tetapi pada masa yang sama, menghujani anugerah, gelaran dan pangkat terhadap selebriti-selebriti yang tidak tahu pun makna pangkat itu.
Berapa ramaikah daripada anda masih ingat mengenai Black Hawk Down?
Tidak, saya tidak bercakap tentang sebuah filem blockbuster Hollywood oleh Ridley Scott, tetapi sebuah kejadian sebenar yang mengilhamkan sebuah buku dengan nama yang sama, yang kemudiannya diolah menjadi sebuah filem?
Saya merujuk kepada "Pertempuran Mogadishu" di mana dua buah helikopter Black Hawk AS telah ditembak jatuh oleh militia Somalia, pada Oktober 1993. Berapa ramai daripada anda tahu bahawa tentera Malaysia juga terlibat dalam operasi menyelamatkan tentera AS yang terperangkap di balik barisan musuh, dan salah seorang tentera kita juga telah meninggal dunia dalam usaha itu?
Saya tidak menyalahkan anda kerana tidak mengetahuinya, kerana peranan Malaysia dalam operasi itu tidak didedahkan oleh media global. Malah Amerika Syarikat hanya melakukannya dua tahun yang lalu, mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh tentera kita.
Salah seorang yang terselamat dalam pertempuran itu, bekas Pegawai Waran II Sabri Adun, baru-baru ini memberitahu akhbar berbahasa Melayu Berita Harian mengenai rasa marah dan kecewanya kerana diabaikan oleh kerajaan.
Sabri berkata walaupun dipanggil untuk temuduga dua kali oleh Kementerian Pertahanan (pada tahun 1997 dan 2002), beliau tidak disenarai pendek untuk Pingat Gagah Berani (PGB), sebuah pingat keberanian yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.
Ini merupakan anggota sama yang terpaksa bertempur dengan militia selama tujuh jam berterusan, dan terpaksa mengangkat rakan anggotanya yang cedera ke perlindungan sambil ditembak musuh. 
"Saya sudah penat, kecewa, dan ada kalanya marah setiap kali memikirkan perkara ini. Ketika masih dalam perkhidmatan dulu (bersara pada 2013), boleh dikatakan setiap tahun saya menanti berita atau surat penghargaan daripada pihak berkenaan.
"Sehinggalah saya memilih untuk bersara tiga tahun lalu, tidak ada apa-apa pun yang saya terima. Cuma ada kawan yang mengenali dan mengetahui kisah sebenar, sering memuji saya atas keberanian. Itu sahajalah yang boleh saya jadikan kenangan manis," katanya.
Malah Sabri yang kini berusia 43 tahun, pernah menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menggadaikan cincin isterinya untuk menyara keluarga.
"Saya masih ingat pada tahun 1997, Kementerian Pertahanan meminta saya menghantar gambar untuk rekod mereka dan kononnya untuk pertimbangan dalam senarai penerima anugerah. Saya terpaksa menggadaikan cincin isteri kerana kesempitan kewangan untuk memenuhi permintaan mereka.
"Namun selepas itu tidak ada khabar berita langsung diterima daripada pihak berkenaan," katanya kepada akhbar itu. Sabri kini berkhidmat sebagai jurulatih persenjataan di DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) di Pekan, Pahang.
"Ia bukan soal mendapat anugerah atau pingat. Apa yang merunsingkan saya adalah mengapa saya diperlakukan seperti saya tidak kelihatan, dan seolah-olah saya tidak memainkan peranan langsung dalam kejadian itu."
Malah anggota yang cedera teruk yang beliau bawa ke tempat selamat, Prebet Rizal Ismail, telah dianugerahkan PGB pada tahun 1994.
Ini bukan kes terpencil. Pihak kerajaan telah gagal untuk memberi penghargaan kepada orang-orang yang benar-benar layak mendapat pengiktirafan.
Ingat lagi M Magendran dan N Mohanadas? Ya, rakyat Malaysia pertama yang tiba ke puncak Gunung Everest, dalam bulan Mei 1997?
Mereka mempertaruhkan nyawa dan anggota badan mereka untuk mengejar impian mereka dan meletakkan nama negara di peta dunia, tetapi nama mereka tidak pernah dipaparkan di mana-mana, termasuk buku-buku teks sekolah.
Malah carian Google bagi "rakyat Malaysia pertama yang mendaki Everest" tidak memaparkan nama-nama mereka dahulu.
Kedua-dua mereka telah dikurniakan "anugerah datuk" Persekutuan pada tahun 2010 – 13 tahun selepas pendakian mereka. 
Sebaliknya, kita mempunyai kerajaan (kedua-dua persekutuan dan negeri) yang menghujani anugerah datuk kepada selebriti-selebriti asing, orang-orang dengan kabel dan juga mereka yang mempunyai kelayakan yang diragui.
Ini pernah dikatakan sebelum ini, tetapi saya akan tanya lagi, kerana saya belum mendapat jawapannya – apa gunanya gelaran Datuk kepada superstar Bollywood, Shahrukh Khan?
Atau pelakon aksi, "Datuk" Jackie Chan?
Adakah mereka memahami pangkat itu, dan nilainya? (yang tidak begitu tinggi pun dalam zaman ini)
Apakah yang kerajaan kita harapkan mereka akan lakukan dengan gelaran mereka? Ia tidak membawa apa-apa makna di negara asal mereka!
Sudahlah, cukuplah obsesi kita terhadap selebriti asing dan.
Ada ramai wira tempatan yang layak mendapat anugerah – maksud saya mereka yang telah benar-benar menyumbang secara positif kepada negara, dan bukannya pemilik perniagaan besi terpakai yang boleh 'membeli' gelaran mereka.
Sudah tiba masanya untuk kita mengenali mereka. Tidak perlu diberi anugerah datuk – pastikan sahaja bahawa pengorbanan mereka diingati dan dihargai, dan berikan mereka peluang-peluang pekerjaan yang baik untuk memastikan bahawa mereka dan keluarga mereka tidak kesempitan.

1 comment:

  1. Bg kat org melaka le... Depa akan bg kat selebriti lain plk lps ni... Silap ari bulan obama dan arnold pun boleh dpt... Geng amno dah sure dapat...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa