Monday, July 27, 2015

Apa Khabar Muhyiddin, Masihkah Takut Dengan Tuhan?

Sunday, 26 July 2015
Jika berdasarkan ucapan Muhyiddin Yassin kepada pemimpin akar umbi UMNO di Janda Baik sebagaimana videonya tersebar luas sebelum ini, beliau semacam boleh disandarkan harapan  untuk bertindak berani menegakkan kebenaran berkaitan isu 1MDB yang kini semakin merimaskan rakyat.

Dalam rakaman curi itu, Muhyiddin bukan saja melontarkan beberapa cadangan yang rasional dan objektif dalam menangani kemelut 1MDB, malah yang lebih mencairkan kita ialah ungkapannya, "saya tidak takut sesiapa kecuali Tuhan."

Sebagai pemimpin nombor dua negara dan lahir pula daripada keturunan ulama yang agak terkenal di Muar Johor, tersebarnya video itu bukan saja mencambahkan harapan tentang titik-titik perubahan yang menjadi dambaan semua dan semoga kebenaran tidak terus disembunyikan, malah seperti "sinar semakin menghampiri hujung terowong".

Namun dengan perjalanan masa, ramai yang mulai ragu-ragu dengan keberanian sebenar Timbalan Perdana Menteri itu kerana beliau akhirnya didapati lebih banyak berdiam diri dan tenggelam begitu saja, meskipun jelas kemelut dalam negara berkaitan 1MDB kian hari kian kronik jadinya.

Lebih dari itu, beberapa saranannya  untuk menyelesaikan isu tersebut dan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, tidak pun dipedulikan oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Saranan Muhyiddin agar Ahli Lembaga Lembaga Pengarah 1MDB dipecat, CEOnya disiasat dan dan polis dibenarkan masuk menyiasat syarikat pelaburan itu, hanya "masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saja"  buat Najib.

Penubuhan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan PDRM kemudiannya pula tiada kena mengena dengan permintaan Muhyiddin itu, sebaliknya ia berikutan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Berkaitan pendedahan WSJ itu, Muhyiddin hanya ada mengeluarkan kenyataan media yang antaranya mahukan Najib memberi penjelasan lebih meyakinkan atau membuat penafian kerana ianya merupakan tuduhan yang bersifat peribadi kepadanya.

Muhyiddin juga mahukan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ jika terbukti dakwaan itu suatu fitnah bagi membersihkan namanya dan mengembalikan semula kredibiliti ketajaan.

Sekali lagi, permintaan Muhyiddin diabaikan oleh Najib, sebaliknya penafian dan penjelasan Perdana Menteri mengenai wang RM2.6 bilion itu hanyalah dengan kata-kata "saya tidak pernah ambil wang 1MDB untuk kegunaan peribadi" dan "saya tak akan khianati amanah rakyat."

Betul atau tidak wang RM2.6 bilion pernah mengalir masuk ke dalam akaun perubadinya, langsung tidak berani diakui oleh Pahlawan Bugis itu.

Tindakan saman terhadap WSJ pula belum diketahui entah jadi atau tidak, meskipun surat tuntutan penjelasan yang dihantar oleh peguam Najib sudah dijawab oleh penerbit akhbar perniagaan itu yang memaklumkan mereka tidak berganjak walau sedikit pun daripada laporan yang sudah disiarkan yang tentunya memberi gambaran mereka cukup bersedia bertarung di mahkamah.

Muhyiddin pula, selepas mengeluarkan kenyataan media itu, terus senyap sepi tanpa berita dan seolah-olah sudah putus idea untuk bercakap lagi atas nama kebenaran berkenaan 1MDB.

Berbanding hutang RM42 bilion yang ditanggung oleh 1MDB yang menyebabkan Muhyiddin mahukan Ahli Lembaga Pengarahnya dipecat, CEO disiasat dan polis dibenarkan menyiasat sambil berkata, "saya tidak takut sesiapa kecuali Tuhan", isu wang RM2.6 bilion yang sehingga ini tidak dinafikan secara konkrit oleh Najib, adalah bala yang jauh lebih besar untuk ditangani.

Jika benar, ia bukan saja berkaitan rasuah, penyonglapan wang dan perbuatan berunsur jenayah, tetapi juga tentang amanah seorang pemimpin.

Tetapi selepas mengeluarkan kenyataan medianya pada 4 Julai lalu, kita tidak mendengar apa-apa bunyi lagi daripada Muhyiddin.

Jika berkaitan hutang RM42 bilion, beliau dengan gah meminta Ahli Lembaga Pengarah dipecat dan CEO 1MDB dipecat, kenapa dalam hal wang RM2.6 bilion yang didakwa masuk ke dalam akaun Najib, tidak diminta Perdana Menteri bercuti atau berehat sementara misalnya, kalau pun tidak cukup berani untuk memintanya berundur dan berhenti?

Lalu, apa agaknya khabar Muhyiddin sekarang ini? Masihkah takut lagi dengan Tuhan?

Atau sebenarnya lebih takut kehilangan jawatan? (SH 26/07/2015)

1 comment:

  1. Takut TUHAN itu pastijika Muhyiden tak tinggal sholat waktu nya

    Takut Mat Bahalol bila mana tak takut TUHAN

    Muhyiden Muhyiden

    KIOK nanti kena soal sekongkol dengan Mat Bahalol aniaya Rakyat

    Belajar lah dari Presiden SBY Indonesia

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa