Sunday, August 23, 2015

Orang Umno sudah tidak sayang Najib

Najib jadi liabiliti Umno, akar umbi resah berdepan rakyat
OLEH MD IZWAN
Published: 23 August 2015 9:42 AM
Akar umbi Umno yang semakin resah untuk berdepan rakyat akibat skandal presiden parti Datuk Seri Najib Razak mengatakan tidak mahu kehilangan kepercayaan rakyat kerana masalah yang disebabkan beliau. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Ogos, 2015. 

Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal dan kontroversi dianggap liabiliti kepada Umno, kata ahli akar umbi yang resah untuk berdepan dengan rakyat ketika ini.
Kepercayaan kepada presiden Umno tersebut tercalar akibat beberapa kontroversi membabitkan  beliau bermula daripada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga wang RM2.6 bilion yang  penjelasannya sukar diterima, malah oleh ahli Umno sendiri.
"Rakyat hendak Najib letak jawatan. Kalau cakap baik-baik pun tidak mahu dengar, hendak cakap macam mana lagi?
"Orang Umno masih sayang Umno, tetapi orang Umno sudah tidak sayang Najib," kata bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh kepada The  Malaysian Insider.
Asrul, salah seorang pemimpin akar umbi yang meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Najib, menyifatkan perdana menteri itu punca rakyat kini tidak mempercayai parti Melayu tersebut.
"Kami tidak mahu disebabkan Najib, rakyat hilang kepercayaan kepada Umno," katanya.
Beliau juga bersetuju dengan formula dicadangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib disingkirkan, tetapi kerajaan sedia ada kekal.
Katanya, langkah itu bukan bermakna mahu menjatuhkan kerajaan tetapi hanya mahu perdana menteri diganti dengan yang baharu.
"Jika perdana menteri sudah tidak mendapat kepercayaan ahli Parlimen dan usul (undi tidak percaya) pula mendapat undian majoriti, maka beliau terpaksa turun.
"Kerajaan sedia ada tidak akan jatuh," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan dengan mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong usul tidak percaya kepada Najib.
Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan berada dalam senarai mahu menandatangani SD itu.
Sementara itu, bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Hulu Selangor, Moohamad Faizal Abdul Raub berkata, kemelut dalaman yang dihadapi Umno sekarang menyebabkan jentera untuk bertemu rakyat hilang keyakinan moral.
"Kami di bawah, akar umbi, sudah tidak berdaya berdepan cemuhan dan tohmahan orang ramai.
"Akar umbi terpaksa berdepan dengan rakyat di bawah, tetapi pemimpin atas tidak pernah mengetahui sentimen di bawah.
"Adakah ahli Umno lain rela melihat parti sendiri rosak akibat sikap pemimpin atas?" soalnya kepada The Malaysian Insider.
Berbeza sebelum ini, Faizal berkata, mereka dapat menangkis isu yang dimainkan pembangkang tetapi selepas isu RM2.6 bilion terdedah, ia melunturkan kepercayaan mereka.
"Masa awal dahulu, kata hendak saman (media yang membuat pendedahan) dan tidak mengaku tuduhan RM2.6 bilion itu.
"Selepas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru hendak mengaku. Mereka ingat rakyat di bawah tidak boleh menilai?" soalnya.
Faizal juga baru melepaskan jawatannya pada Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kemelut melanda parti itu.
Jentera Pemuda Umno adalah antara yang paling aktif dan banyak membantu dalam kempen pilihan raya, namun Faizal berkata, rata-rata rakannya dalam parti kini sudah tidak bersemangat dan berdaya untuk menjawab pelbagai isu yang timbul kebelakangan ini.
"Rakan Pemuda sudah luntur semangat, kami ini yang akan turun berkempen dan bertemu rakyat.
"Tetapi bila jadi macam ini, pemimpin di atas tidak mahu mendengar suara akar umbi," katanya.
Lebih mengecewakan, Asrul mendakwa, Najib selaku presiden parti banyak membuat keputusan yang mementingkan diri.
Contohnya dalam isu rombakan Kabinet, kata Asrul.
"Jika benar presiden membuat keputusan merombak Kabinet hanya dengan menggunakan WhatsApp, ini bermakna beliau tidak percaya dan yakin dengan barisan ahli Majlis Tertinggi.
"Bukan sahaja tidak yakin dan percaya, presiden juga tidak menghormati Majlis Tertinggi yang ada," kata Asrul mengulas khabar angin mengatakan rombakan Kabinet hujung bulan lalu dibuat dengan cara yang begitu mudah dan tergesa-gesa.
Bagi pemerhati Umno Shahbudin Husin pula, beliau tidak menolak kemungkinan poster Najib tidak akan dinaikkan ketika pilihan raya kerana persepsi buruk yang terpalit ke atas dirinya.
"Jangan hairan kalau ada pilihan raya kecil dalam masa terdekat, gambar Najib sendiri pun tidak akan digunakan semasa berkempen," katanya mengulas mengenai sentimen semasa orang ramai ketika ini terhadap perdana menteri.
Penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, Umno sekarang ini sedang berdepan krisis akibat isu kepimpinan dan 1MDB, yang menjadi sebati dalam parti itu.
"Yang utama dihadapi Umno ketika ini, adalah isu kepimpinan, dan pastinya isu utama 1MDB, yang menjadi darah daging dalam parti itu sendiri," katanya. – 23 Ogos, 2015.

3 comments:

  1. najib menyamun duit rakyat dia patut di tangkap dan di penjarakan.

    ReplyDelete
  2. MANA ADA ORANG OTAK WARAS SUKA PADA BEBUDAK BAHALOL GAYA MAT MONGOL

    Mat Mongol hanya me mentingkan diri sendiri saja

    Enjoy sakan habis 42 BILION dengan anak bini tapi Rakyat pulak di suroh bayar hutang nya

    Kepala Otak !!!!!!!!!

    Kalau di Zaman Nabi SAW dulu , orang orang macam ini sudah di buang ke Padang Pasir dah....

    Anak siapa lahanat Mat Mongol nih??????

    ReplyDelete
  3. Walaupun umporno tolak najib..tpi hadi awe gan haron ding ttp syg kt najib....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa