Tuesday, October 27, 2015

Abdul Ghapur Salleh sekolahkan Jailani Johari tentang tanggungjawab

Ahli Parlimen BN bela Muhyiddin, selar timbalan menteri berkenaan 1BestariNet
Published: 27 October 2015 1:14 PM
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata sebarang kelemahan yang timbul dari pelaksanaan 1BestariNet perlu dipikul bersama oleh Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Oktober, 2015.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh daripada Barisan Nasional (BN) menegur sikap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang meletakkan tanggungjawab kelemahan pelaksanaan projek 1BestariNet di atas bahu bekas menteri pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ghapur sebaliknya berkata, kelemahan yang timbul tidak seharusnya dipersalahkan atas bahu seseorang, sebaliknya Putrajaya perlu memikul tanggungjawab tersebut.
“Timbalan menteri kata ada projek (1BestariNet) daripada mantan menteri pendidikan. Kita satu kerajaan, jangan cari mantan, kementerian bukan mantan.
“Kalau begini, lain kali orang akan cakap mantan punya...mana ada mantan punya, mantan itu kerajaan punya, itu kerajaan punya,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat ketika sidang Parlimen, hari ini.
Jailani sebelum itu ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berkata, projek 1BestariNet yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications bukan dibawah tanggungjawab kementeriannya, sebaliknya ia merupakan projek di bawah kementerian pendidikan.
“Kementerian ini, iaitu di bawah program pelaksanaan jalur lebar, tidak mengkhususkan mana-mana pemberi perkhidmatan untuk memberi perkhidmatan di suatu tempat, maknanya tidak ada elemen eksklusiviti.
"Sebenarnya program 1BestariNet bukan di bawah kementerian ini. Ia adalah projek seluruh negara yang diterajui oleh mantan menteri pendidikan yang dahulu di bawah Kementerian Pendidikan di mana projek itu dikhususkan kepada syarikat yang diberi nama YTL Communications,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan projek runding terus 1BestariNet bernilai RM663 juta itu. – 27 Oktober, 2015.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa