Friday, October 23, 2015

Isu pindaan Perlembagaan PAS: Jawapan Khalid

Khalid Samad
6C, 3rd Floor, Blok 1, Worldwide Business Centre, Jalan Tinju 13/50, Seksyen 13, 
Shah Alam  
+60355111066 

Thursday, October 22, 2015

Pindaan Perlembagaan PAS Yang Ingin Diusahakan Sebelum Ini
Merujuk kepada tulisan saya bertajuk ‘Ke Mana Hilangnya Kebijaksanaan dan Keikhlasan?’, saya telah berjanji untuk mendedahkan cadangan pindaan perlembagaan yang telah diusahakan untuk PAS tempoh hari. Presiden PAS telah menuduh bahawa pindaan ini bertujuan untuk mengambil alih kuasa Al-Quran dan Sunnah yang berada dengan Majlis Syura Ulama. Ia kononnya bertujuan untuk menjadikan PAS sebuah parti sekular.

Sepertimana saya sebutkan sebelum ini, saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS, tetapi memandangkan tuduhan ini merupakan satu pembohongan yang bertujuan untuk memburukkan kami supaya tindakan menjatuhkan kami dapat diterima ahli PAS; maka penjelasan adalah diperlukan bagi menangkis pembohongan ini.

Untuk mendedahkan perkara ini, saya telah meminta Saudara Asmuni Awi untuk menyerahkan kepada saya segala nota yang ada pada dirinya berhubung pindaan yang ingin dicadangkan. Saudara Asmuni adalah pengerusi JK pindaan perlembagaan tempoh hari. Saya sertakan sebahagian dari cadangan berkenaan di penghujung tulisan saya ini sebagai rujukan. Keseluruhan cadangan pindaan yang telah disiapkan adalah 74 dari 88 fasal.

Sebelum ada pihak bijak-pandai mula bertanya, maka elok saya jelaskan bahawa cadangan pindaan ini bukan ‘rahsia parti’ kerana ianya persoalan Perlembagaan yang mencakupi pentadbiran biasa parti.

PINDAAN YANG INGIN DILAKUKAN

Perlu difahami bahawa keputusan membentuk JK Pindaan Perlembagaan dan perlantikan Saudara Asmuni sebagai Pengerusinya adalah keputusan AJK PAS Pusat. Begitu juga perkara yang ingin dipinda telah dibincang secara umum dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Cadangan pindaan itu apabila siap hendaklah dikemukakan kepada AJK PAS Pusat untuk persetujuan. Selepas dipersetujui AJK PAS Pusat, ianya hendaklah dibawa ke muktamar untuk kelulusan. Oleh itu pindaan perlembagaan ini bukanlah satu konspirasi atau usaha rahsia yang boleh dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan ahli parti sendiri.

Di antara perkara yang ingin dipinda adalah tempoh pemilihan pimpinan yang ingin dilanjutkan kepada setiap 3 tahun dan bukan setiap 2 tahun seperti sekarang. Ini terdapat dalam fasal 25 (2).

Begitu juga jumlah AJK PAS Pusat yang dipilih ingin ditambah dari 18 ke 24 orang. Jumlah AJK PAS Pusat yang dilantik turut ingin ditambah dari 6 ke 8 orang. Ini bermakna jumlah AJK PAS Pusat keseluruhannya ditambah dari 24 ke 32 orang. Ini terdapat dalam fasal 25 (5).

Maka kesemuanya merupakan perkara biasa, tiada perubahan dasar, sepertimana boleh dibaca di dalam lampiran yang disertakan.

Selain dari itu, turut ditimbulkan untuk dipinda adalah keanggotaan Ahli Majlis Syura Ulama (Fasal 8). Perkara yang ingin dilakukan adalah untuk menentukan mereka yang dilantik oleh AJK PAS Pusat bukan terdiri dari AJK PAS Pusat itu sendiri. Begitu juga yang dilantik oleh Dewan Ulama Pusat semestinya selain dari anggota Dewan Harian Dewan Ulama Pusat. Ini bertujuan untuk mengelak dari berlakunya pertindihan dan ‘conflict of interest’ atau pertembungan kepentingan.

Pindaan lain yang ingin dilakukan jelas berhubung penggunaan bahasa yang lebih semasa atau kontemporari agar mudah difahami.

PENJELASAN DIPOHON

Berdasarkan semua yang dijelaskan dan nota cadangan pindaan yang dikemukakan, adalah dipohon supaya Presiden PAS memberikan bukti terhadap pertuduhan berat yang beliau lemparkan terhadap kami. Sekiranya beliau tidak mampu maka amat jelas beliau bercakap tanpa usul periksa demi tercapai matlamat yang diingini beliau. Ini yang dikatakan “matlamat menghalalkan cara”.

Harap maklum bahawa Presiden PAS telah menuduh kami “ingin pinda perlembagaan sehingga hilang kuasa Al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas dalam PAS”. Sedangkan apabila dilihat kepada cadangan pindaan berhubung ‘Hukum dan Kekuasaan’ iaitu Fasal 7, kedudukan Al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qiyas kekal sebagai hukum tertinggi. Adakah mungkin Presiden PAS berbohong apabila tuduhan itu dibuat? Atau mungkin juga beliau dibohongi dan tanpa usul periksa memanjangkan fitnah tersebut?

Sila kemukakan bukti untuk menyokong tuduhan tersebut. Amat besarlah harapan agar tidak digunakan pula hujah “saya tak sebut nama”, bagi menghalalkan cara tersebut.

KESIMPULAN

Sekali lagi saya nyatakan, perbezaan antara kami yang telah memilih Amanah dan PAS adalah soal pendekatan bukan aqeedah. Akan tetapi pendekatan baharu yang ingin dibawa Presiden PAS dan kumpulannya tidak mampu dipertahankan melalui perbahasan dan penghujahan. Oleh itu memerlukan pendekatan fitnah dan berbohong untuk digunapakai?

Sila rujuk kepada cadangan pindaan yang disertakan untuk dimuat turun bagi mendapat bukti muktamad dalam persoalan ini. Sekira ada fasal tertentu yang ingin dirujuk, sila tuliskan dalam bahagian komen dan akan cuba saya sertakan.

Cadangan Pindaan Perlembagaa Fasal 1 - 9
Cadangan Pindaan Perlembagaan Fasal 25 - 27

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

4 comments:

  1. Jangan bazir nyawa dan rezeki dengan bebende tak ber faedah macam PAS ini

    Bila dah tua tunggu KIOK akan menyesal nanti

    PAS ini lakonan penipu saja

    Renungi lah.....

    ReplyDelete
  2. Orang, kalau hatinya dah memang busuk...diberikan kek pun akan dikatakannya belacan! Itu sahaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yoep... belacan tu baguih apa. Jgn la bandingkan dgn belacan. Banding ngan taik babi atau taik anjing itu lebih baik krn dua-dua ekoq mughallazah ni jadi mainang mulut 'ulamak' tu... cth.." ... bagai anjing menyalak babi dalam bukit"..

      Delete
  3. Anon 11:38am, dengan jujur diakui cadangan anda itu adalah lebih tepat berbanding dengan apa yang saya katakan di atas.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa