Wednesday, October 28, 2015

Liong Sik betul-betul membuktikan dirinya “roti canai bertelur”….

Liong Sik lebih layak digelar ‘roti canai bertelur’

 | October 28, 2015
Cabaran Ling Liong Sik yang tidak sabar menunggu saman daripada Najib Tun Razak menunjukkan beliau lebih berani berbanding Perdana Menteri yang layak dilabel 'roti kosong'.
ling-liong-sik_najib_Ling-Liong-Sik_600
PETALING JAYA: Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik lebih layak digelar ‘roti canai bertelur’ bukannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, Liong Sik lebih layak menerima gelaran itu kerana berani mencabar Najib supaya mempercepatkan saman terhadap dirinya.
Shahbudin berkata, gelaran ‘roti canai bertelur’ yang diberikan oleh Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad kepada Najib adalah tidak tepat.
Najib diberikan gelaran itu kerana keberanian beliau melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ketika negara sedang mengalami kegawatan ekonomi.
“Dengan kenyataan ini bermakna Ling sendiri mahu dirinya cepat disaman oleh Najib. Beliau jelas tidak sabar mahu berdepan dengan Perdana Menteri di mahkamah.
“Tidak ramai orang sebenarnya di dunia ini yang mahu atau suka kena saman, lebih-lebih lagi oleh seseorang yang berjawatan Perdana Menteri.
“Tapi Liong Sik betul-betul membuktikan dirinya “roti canai bertelur”….dan Najib sehingga ini masih lagi “roti kosong,” tulisnya di blog shahbudindotcom.blogspot.my.
Shahbudin turut mempersoalkan kenapa sehingga sekarang Najib masih tidak menyaman Liong Sik.
“Soalnya, bila lagi mahu disaman bekas Presiden MCA itu? Kenapa terlalu lambat dan terhegeh-hegeh dalam bertindak?
“Jika benar berani melaksanakan GST sebagai tanda “roti canai bertelur”, kenapakah dalam melakukan tindakan saman seperti tidak cukup keberanian sedangkan ia telah dilafazkan sebelum ini?,” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa