Saturday, October 24, 2015

UMNO tidak pentingkan moral pemimpin mereka?

24 October 2015
Najib telah hilang kelayakan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi
Jika negara kita dan kepimpinannya mengambil etika dan moral sebagai penentu kepada kewibawaannya untuk terus memimpin atau bersara negara kita tidak akan berada dalam situasi yang kita alami sekarang. Sesungguhnya Najib dan ramai lagi yang berada dipesada kepimpinan negara kita sekarang sepatutnya tidak berada diatas itu dari dahulu lagi.

Menjadi pemimpin bukannya perkara mudah terutamanya bagi sebuah negara yang berdaulat dan maju. Seseorang yang hendak menjadi pemimpin mesti bersih dari isu peribadi yang buruk kerana peribadinya itu akan membuahkan persepsi samada baik atau buruk bagi seseorang yang memimpin itu. Persepsi buruk terhadap pemimpin utama itu akan membuatkan negara tidak dihormati oleh masyarakat antarabangsa dan ia juga akan membawa padah yang tidak baik bagi negara dan rakyat di dalamnya.

Di sini kita telah lalai dan tidak mengambil perhatian tentang etika dan moral ini walhal negara kita lah yang paling hampir kepada moral dan etika yang tinggi semasa kita mula-mula mendapat kemerdekaan dahulu. Kita telah menjadi negara utama bagi Asia dan Asia Timur. Kita lebih maju dari Korea pada suatu ketika dahulu tetapi sekarang kita telah diletakkan di belakang Vietnam dan banyak negara membangun yang lain.

Najib terpalit dengan isu-isu mungkar lama sebelum beliau dijadikan Perdana Menteri dan ramai yang berfikir kenapa Najib lepas dari halangan untuk menjadi pemimpin utama walaupun beliau telah dipersepsikan sebagai seorang pemimpin yang tidak bersih yang diperlukan untuk memimpin sebuah negara berdaulat yang sedang berada dalam proses membangun yang pesat suatu ketika dahulu.

Isu besar yang dipalitkan terhadap beliau sepatutnya tidak melayakkan beliau memanjat tangga kepimpinan negara kerana itulah etika sebenarnya yang perlu kita semua terima untuk memimpin. Isu pembunuhan Altantuya, isu Scorpene dan berbagai-bagai lagi telah melekat kepada batang tubuh Najib dan menjadi stigma yang payah untuk di hilangkan. Tetapi ramai pemimpin UMNO terutamanya 'warlords' UMNO tidak mengindahkan etika dan moral seseorang yang hendak dijadikan pemimpin itu. 'Warlords' UMNO yang berpengaruh tidak menggunakan pengaruh mereka untuk memilih pemimpin yang bersih tetapi memilih untuk menaikkan pemimpin yang boleh bersama dan selari dengan kemahuan peribadi mereka sendiri.

Akhirnya inilah yang kita hadapi. Kita telah mendapat pemimpin yang tidak langsung memahami perasaan rakyat. Muka-muka tebal mereka tidak mempedulikan moral dan etika-etika penting bagi seseorang pemimpin yang baik untuk sesebuah negara. Apa yang berlaku dalam kepimpinan Najib ini sebenarnya bukan perkara yang 'unpredictable'. 

Najib telah dipersepsikan sebagai pemimpin yang lalai dan tidak menjadikan moral dan etika itu isu penting untuk menjadi pemimpin. Kalau beliau mempunyai moral dan etika kepimpinan yang baik dari dahulu lagi beliau tidak akan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri, dan 'warlords' yang menaikkan beliau ketahap kepimpinan tertinggi itu tidak akan menyokong untuk menaikkan Najib ini.

Dengan sikap yang ditunjukkan oleh Najib dan barisan kepimpinan beliau sekarang ini, sepatutnya menjadi pelajaran kepada semua mereka yang berpengaruh dan bertanggungjawab menaikkan pemimpin seperti Najib ini. Kita perlu serius dan jangan bermain-main dalam memilih dan menaikkan pemimpin ini. Kita tidak boleh memilih hanya orang yang boleh bersesuaian dengan kita sahaja. Pemimpin perlu dipilih dari mereka yang berkemampuan untuk membina negara dan rakyat dan bukannya pemimpin yang kita rasakan boleh kita pengaruhi semasa mereka memimpin. 

Jika kita memilih pemimpin yang kita rasakan boleh mendengar cakap kita sahaja maka negara akan menjadi kucar kacir kerana pemimpin seperti ini selalunya adalah pemimpin yang lemah dan tidak boleh dipercayai. Akhirnya apa yang kita hajati itu pun tidak akan tercapai kerana mereka akan lebih menumpukan kepada keseronokan menjadi pemimpin yang beliau tidak pernah layak untuk memegangnya. Contohnya Mahathir sekarang menjadi buruan oleh 'protege' nya yang beliau didik dan jadikan Perdana Menteri sekarang ini.

Akhirnya Dr Mahathir di siasat oleh pihak berkuasa dengan berbagai-bagai tuduhan sedangkan semua orang tahu apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir untuk mengenepikan Najib itu adalah usaha yang sepatutnya mendapat sokongan kerana lagi lama Najib bergayut kepada kuasa lagi besar musibah yang akan rakyat rasakan nanti.

Najib sebaliknya menuduh pemimpin yang ingin beliau berundur itu sebagai 'api dalam sekam,' dan 'gunting dalam lipatan' seperti yang beliau sebut semasa membentangkan bajet 2016 semalam.

Bagi saya sebelum Najib melemparkan tuduhan seperti itu beliau kena sedar yang beliau telah sebenarnya 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan' itu. Beliau telah di amanahkan memimpin negara dengan baik tetapi beliau menggunting dalam lipatan dengan mengambil kesempatan dengan kuasa untuk menjadi kaya raya dan tidak mempedulikan parti dan kerajaan yang beliau pimpin.

Beliau terus dan terus menggunting dalam lipatan. Akhirnya kita rasakan sekarang musibah kepimpinan beliau ini dan beliau masih menebalkan muka untuk terus memerintah walaupun beliau sendiri tahu beliau sudah hilang segala kelayakan jika dipandang dari sudut etika dan moral kepimpinan.

Najib sepatutnya terus meletakkan jawatan beliau setelah beliau didapati memasukkan RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi beliau kerana ia tidak bermoral dan beretika dan sekali gus menghilangkan kelayakan dari segi moralnya untuk menjadi pemimpin.

Etika dan moral seperti ini sememangnya di guna pakai di mana-mana negara yang maju. Negara ini adalah rakyat yang punya dan penyandang jawatan Perdana Menteri itu tidak perlu bersungut apabila di desak untuk meletakkan jawatan setelah beliau tidak dapat menafikan jumlah wang yang begitu besar itu di dapati dengan cara yang tidak bermoral apatah lagi wang itu di sitar oleh Singapura sebaik sahaja beliau memindahkan wang itu ke negara tersebut. Sebenarnya tidak payah sesiapa menggunakan isu lain untuk memaksa Najib meletakkan jawatan.

Perlakuannya sememangnya tidak meletakkan beliau memimpin kita lagi. Membiarkan Najib meneruskan mentadbir negara ini adalah tindakan mendayuskan kita rakyat Malaysia yang berdaulat ini.

2 comments:

  1. Amat bersetuju dengan pandangan Aspan Alias ini, yang tergolong sebagai otai penuh pengalaman sepak terajang politik tanah air.

    Najib memang tidak layak menjadi ahli politik dari awal apatah lagi sebagai pemimpin. Satu-satunya sebab dia mula dipilih sebagai ahli politik di Pekan Pahang, adalah kerana rakyat mengenangkan jasa bapanya. Najib juga tidak menghabiskan pengajiannya di England berikutan kematian bapanya, diikuti dipilih sebagai ADUN Pekan lalu dilantik sebagai MB Pahang. Di sinilah ia bermula, seorang yang tidak kompeten diberikan tanggungjawap sebagai pemimpin. Sejarah seterusnya, ramai yang tahu, tidak lain tidak bukan jeng jeng jeng...kena queen control le! Dengan Jho Low budak mentah itu pun, boleh kena main. Haprak betul!!!

    ReplyDelete
  2. UMNO ini poltik rasuah hamba kan duit

    Dah orang Melayu bangsa malas , apa ada kesah dengan moral dan alam kubor

    Yang penting ada BILYON BILYON

    Bahalol saja

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa