Tuesday, November 17, 2015

Aku terpegun dengan tindakan ini......

Akhirnya PAS Akui "Bekerjasama" Dengan UMNO
16 Nov 2015
PAS sahkan Hadi bersama Najib dalam multaqa Disember ini 

PAS mengesahkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan yang dinamakan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 16 hingga 18 Disember depan. 

Ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan ia bukti PAS mengamalkan pendekatan politik baru yang matang dan berani dan tidak patut diputar belit sebagai 1 bukti kerjasama antara PAS dan musuh politik mereka. 

"Langkah berani menerokai seluruh segmen dakwah dan siasah. PAS tidak eksklusif seperti yang dituduh sesetengah orang," kata Sanusi, bekas setiausaha politik menteri besar Kedah ketika PAS memerintah Kedah pada 2008 hingga 2013. 

"Ini politik matang dan berani, bisa berhadapan dengan sesiapa saja, di mana juga. Inilah PAS!" kata Sanusi dalam kenyataan, mengucapkan tahniah kepada Hadi ekoran penyertaannya.

Katanya, mereka akan bersama dalam persidangan bertema "Perpaduan Ummah Merentas Idealogi" itu, yang akan diadakan di sebuah hotel di Putrajaya. 

Beliau mengesahkan sebuah poster yang kini disebarkan di laman sosial, yang didakwa mengesahkan lagi kerjasama antara PAS di bawah pimpinan Hadi dengan Umno. 

Hadi pada sidang media semalam mengesahkan akan bekerjasama dengan Umno, tetapi berkeras menyatakan PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN). 

Beliau menegaskan berulang kali kerajaan perpaduan bersama BN tidak akan berulang, namun kerjasama PAS dengan gabungan pemerintah itu akan tetap berjalan. 

"PAS tidak akan masuk BN tapi akan ada kerjasama. Kerjasama itu biasa. Kita tidak terikat," katanya. 

Katanya, definisi kerjasama yang dimaksudkan itu ialah seperti ketika berlaku pencerobohan negara asing ke atas Malaysia, daripada segi menangani jenayah, dadah dan pelarian. 

Menurut Sanusi, menyampaikan idea dan pandangan yang tegas dan berani berteraskan Islam dalam acara terbuka seperti ini ialah pendekatan baru dalam menyampaikan risalah kebenaran. 

"Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor juga pernah sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Palestin. Ia menjadi sejarah hebat gerakan Islam Malaysia," katanya. 

Kali ini, katanya, Hadi akan berucap di hadapan pembesar negara, menyampaikan ucap utama, melontarkan pandangan dan mutiara dakwah Islam atas dasar menjana kebaikan untuk ummah. 

"Sasaran program ini ialah cendikiawan Islam, mereka yang mudah memahami bahasa dakwah dan siasah Islam. 

"Umat Islam pasti bergembira, penentang PAS sejak puluhan tahun kini bersedia mendengar secara terus daripada presiden PAS," katanya dipercayai merujuk kepada Najib. 

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan atau dielak, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan senang dengan perkembangan ini. 

"Akan ada pihak yang sengaja memutar belit dan membuat tuduhan baru pula. Memang dasar mereka yang sudah menutup mata telinga dan hati. 

"Sakit hati terhadap golongan yang mahu tegakkan agama Allah adalah penyakit yang bahaya," katanya yang menang buat pertama kali sebagai AJK PAS Pusat dalam muktamar Jun lalu. 

"Ayuh! Jom kita sokong presiden PAS membawa pendekatan baru, matang dan konstruktif serta hebat seperti ini. 

"Islam ini, kedudukannya tinggi, maka tentulah jalannya tidak sempit," tegas Sanusi dalam kenyataannya. -TMI 

ULASAN GB 

Dah pun mengaku, "bersekongkol" PAS dengan UMNO, atau di dalam bahasa yang lunak sedikit - bekerjasama. 

Tak sertai BN tapi sekadar bekerjasama dengan UMNO! 

Presiden PAS mungkin sudah terlupa AMANAT yang pernah dikeluarkannya sendiri pada tahun 1981 yang telah menyebabkan umat Islam haru-biru ketika itu. 

Yang kita kasihankan ialah mangsa Memali, yang berpegang teguh kepada AMANAT berkenaan dan mempertahankan sehingga akhirnya mereka terkorban. Kini orang yang mengeluarkan amanat berkenaan yang ingin berbaik dengan UMNO yang pernah dikafirkannya. Bukankah sikap dan langkah Presiden PAS itu merupakan satu penghinaan terhadap mangsa Memali itu? 


Menggunakan nama Allahyarham Ust Fadzil Noor kononnya Ustadz Fadzil juga pernah sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Palestin adalah kenyataan melulu dan tidak tepat. 


Ustad Fadzil Noor hanya sepentas dengan TDM apabila Ustadz Fadzil sendiri yang menubuh dan mengukuhkan pakatan pembangkang melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan parti-parti pembangkang tidak sedikit pun mencurigai langkah yang diambil oleh Ustadz Fadzil berkenaan. Berbeza dengan Haji Hadi, orang yang bertanggungjawab merobek dan meruntuhkan pakatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat! 

Apa yang dilakukan oleh Haji Hadi dan PAS kini ialah seumpama memberikan talian hayatnya kepada UMNO yang kini sedang caca marba dan nazak itu. Najib sepastinya tersenyum puas. UMNO telah berjaya menipu PAS berkali-kali termasuklah isu hudud. PAS pula yang masuk lubang biawak berkali-kali. 

Kini, kata-kata almarhum TG Nik Aziz seperti sudah tidak diindahkan PAS lagi. 
Sekarang ini, nyatalah, satu undi untuk PAS sama seperti satu undi untuk UMNO vice-versa sebab PAS dan UMNO sudah isytiharkan mereka bekerjasama!


# Jadi sape yang bohong dan auta. Husam atau Hadi?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa