Saturday, November 28, 2015

Legenda keropok lekor dan penyu

ADAM A KADIR21 NOVEMBER 2015

LAZIMNYA, Terengganu dan Kelantan dirujukkan sebagai Pantai Timur Semenanjung. Benar, tetapi bukan benar sepenuhnya. Pengenalan geografi ini boleh dikatakan didasarkan kepada pertuturan Pantai Timur.

Di Kelantan, sebutan makan menjadi 'make', ikan menjadi 'ike'. Di Terengganu pula, masing-masing menjadi 'makang' dan 'ikang'.

Dua kelainan pertuturan ini terdapat juga di kampung-kampung nelayan di timur Pahang dan Johor seperti Kuala Pahang, Rompin, Endau dan Mersing. Jelas sekali segala itu berlaku ekoran daripada penghijrahan nelayan-nelayan Terengganu dan Kelantan demi mencari rezeki di laut, terutama pada zaman sebelum motor sangkut menjadi kemudahan biasa, iaitu pada zaman penggunaan layar.

Ini membawa kita kepada dua pemakanan dan perlembagaan di Pantai Timur: Keropok lekor dan penyu. Dari utara ke selatan, ke Singapura, Sabah dan Sarawak, kehadiran keropok lekor adalah lumrah.

Jika dahulu keropok lekor hanya dibuat oleh orang Melayu, sama ada nelayan sendiri atau sanak saudara mereka, kini orang Cina turut rancak membuatnya, justeru terdapat banyak kilang keropok lekor di kawasan industri di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bharu.

Keropok lekor yang suatu ketika dulu dibuat di tepi lambur nelayan, direbus dan dijemur di tengah panas, kini dikilangkan.

Prosesnya dari awal hingga akhir dilakukan oleh mesin, dengan campur tangan manusia sedikit saja. Ia dibuat daripada ikan (tamban menjadi keutamaan), tepung ubi atau sagu.

Jika lebih tepung, ia terlebih kembang apabila digoreng dan tidak sedap rasanya.

Sebagai seorang yang membesar dengan keropok, saya sering terasa macam dicoket di pinggang mengenangkan bagaimana sebutan di tempat asalnya yang berbunyi 'kerpok' menjadi keropok.

Sebaliknya, lidah Terengganu pula menyebut 'lekor' untuk maksud lengkar.

Walaupun banyak keropok dibuat di Besut, Dungu dan Kemaman di Terengganu dan pesisiran pantai Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, kita bertumpu saja di Kuala Terengganu untuk bercerita lebih panjang tentang keropok. Sehingga awal 1960an, keropok lekor bertumpu di Kampung Tanjung dan sekitar.

Kebanyakan yang dijual ialah keropok keping yang harus digoreng dulu. Ia dimakan ratah dengan cecahan cuka berlada seperti sos cili kini.

Ataupun sebagai penambah selera ketika makan nasi. Sebelum dipanggil keropok lekor, ia dipanggil keropok gonde yang bererti keropok lembik melentok selepas direbus.

Ia boleh dipotong dan dimakan terus begitu saja. Dari keropok rebus ini, sama ada bersaiz timun atau petola, ia dihiris untuk dijadikan keropok keping selepas dijemur.

Dekat dengan Pasar Tanjung terletak Kampung Kolam. Di situ sebuah rumah papan besar di tepi jalan, menyampingi sebuah gerai 'kerpok' yang sangat popular pada waktu malam. Kita boleh makan 'kerpok rebus' dan 'kerpok goreng' berkeping di situ atau boleh dibawa balik.

Namun sebarang perubahan harus melalui penentangan. Pesaing-pesaing yang enggan menjadikan 'kerpok rebus' sebagai 'kerpok gonde' mula berkempen dengan mengatakan 'kerpok gonde' itu 'kerpok basi' yang tidak laku.

Perubahan berlaku juga, diterima orang dan akhirnya berkembang seperti yang kita saksikan hari ini - dengan panggilan keropok lekor di mana-mana. Kalau tidak silap saya, rumah dan gerai di Kampung Kolam itu sudah tidak ada lagi.

Bagaimana pula penyu? Inilah gelaran untuk pasukan bola Terengganu. Walaupun penyu tidak mendarat di banyak tempat di pantai Terengganu, namun tempat penyu yang paling terkenal adalah Rantau Abang. Ia menjadi tarikan pelancong dalam dan luar.

Seingat saya, sebiji telur penyu berharga 10 sen, tetapi kini beringgit-ringgit. Amalan kerajaan sekarang adalah memberikan pawahan kepada individu untuk sekian jarak pantai. Jika penyu mendarat dan bertelur dalam jarak itu, pemegang pawah itu ialah pemiliknya. Ini berlainan dengan amalan lama.

Dulu pantai dianggap terbuka. Jika perantau (panggilan untuk pencari telur penyu) mendapat penyu bertelur, atau telur yang ditinggalkan penyu, dialah pemiliknya jika tiada orang lain lagi. Jika kebetulan ada orang lain datang, maka hasilnya mesti diagihkan sama rata. Ini adalah norma adat resam turun-temurun.

Bagaimana jika keropok lekor @ lengkar dibawa sejabir penuh di Pantai Rantau Abang sambil menunggu penyu naik bertelur hingga ke dini hari?

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa