Friday, December 25, 2015

Badi PRU 2004 berulang di Kelantan?

Badi PRU 2004 berulang di Kelantan? – Nazri Noor
TMI - Published: 23 December 2015 11:06 AM


Orang Kelantan sering dikaitkan dengan sangat berahi (passionate) dengan politik. Ditambah lagi dengan perangai orang Kelantan yang sering dilihat membawa sentimen anti establishment, tidak takut mengambil risiko dan suka menukar kerajaan setiap 3 atau 4 penggal, percaturan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya lebih mencabar dan mengancam. Terpulang kepada di pihak mana anda berada. Sembilan PRU, 4 kali bertukar kerajaan.
Barisan Nasional (BN) (Parti Perikatan ketika itu) diberi mandat untuk mentadbir Kelantan pada PRU yang pertama pada 1955, tetapi bertahan satu penggal, setelah bertukar tangan pada PRU 1959 kepada PAS yang bertahan 4 penggal (18 tahun). BN berjaya merampas Kelantan pada PRU 1978, akibat krisis dalam politik PAS. Krisis perpecahan dalam Umno pula menyaksikan PAS (bersama S46, parti serpihan Umno) berjaya merampas kembali pada PRU 1990. Umno tewas pada penggal ketiga.
Pada 2004, setelah 14 tahun memerintah, PAS melalui pertarungan paling getir dalam sejarah memasuki penggal ketiga pada PRU11. Secara logik, mengambil kira Terengganu yang lumpuh (selepas diberi peluang memerintah bermula pada PRU 1999), dan juga aura Pak Lah yang menyapu 90% kerusi Parlimen, Kelantan secara rasionalnya dilihat bertukar tangan pada PRU 2004.
Aura Tuan Guru Nik Aziz, dan calon PAS menang 2 undi di DUN Kemuning, dan 34 undi di DUN Kota Lama menyaksikan PAS bertahan dengan 24 kerusi, berbanding 21 untuk Umno. Yang menyelamatkan Kelantan daripada bertukar tangan adalah 36 pengundi!
Tidak lama kemudian, PAS kalah di kerusi Pengkalan Pasir, menjadikan PAS memerintah Kelantan dengan majoriti 1 kerusi. Kelantan terselamat fenomena bertukar kerajaan buat kali kelima. Sehingga saat ini.
Persoalannya, apakah Kelantan bakal menyaksikan pertukaran kerajaan untuk kali kelima dalam sejarah politiknya?
Artikel ini cuba melongkar polemik ini, dan membuat telahan mengambil kira faktor berikut; PRU14, badi 3 penggal; Krisis keyakinan, pusat dan negeri; Anak muda dan pengundi terapung; Amanah, pemain politik baharu.
PRU 2018, badi 3 penggal
PRU14 adalah penggal ketiga selepas PAS melalui saat getir pada PRU11 (2004). Jika PRU diadakan pada 2018, genaplah tempoh 14 tahun, sama kitarannya dengan PRU 1990-2004. Secara logiknya, kemungkinan bertukar kerajaan adalah tinggi.
Krisis keyakinan, pusat dan negeri
Sudah menjadi pengetahuan umum, Dato Seri Najib Razak kini berdepan segala macam persepsi rakyat bukan saja terhadap beliau, malah Umno dan kerajaan BN juga terpalit.
Tetapi, jangan dilupakan, di sebalik krisis keyakinan terhadap Najib dan Umno, kerajaan Kelantan juga berdepan dengan persepsi yang sama, keyakinan rakyat tidak begitu positif.
Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu banjir yang juga dikaitkan dengan isu balak, imej parti yang dilihat tercalar, boleh menjejaskan kedudukan PAS pada PRU14 nanti.
Anak muda dan pengundi terapung
Umum mengetahui, penentu kejayaan (atau kegagalan) kerajaan Kelantan terletak di tangan anak muda, pengundi pertama kali, dan juga pengundi terapung (floaters) yang tidak semestinya penyokong dan pengundi tegar mana-mana parti baik Umno atau PAS.
Rekod menunjukkan, asas pengundi tegar kedua belah parti PAS dan Umno di Kelantan sebenarnya sama kuat, dan sering memberi saingan hebat antara satu sama lain. Pada PRU 2004, beza antara pengundi PAS dan Umno seluruh Kelantan cuma 4,000 orang, kurang 1% daripada jumlah pemilih di Kelantan.
Untuk PRU14, dianggarkan pengundi tegar PAS dan Umno masing-masing 32%. Dan dianggarkan sejumlah 300,000 termasuk dalam kategori pengundi terapung yang belum tentu mengundi PAS atau Umno. Mereka ini terdiri pengundi pertama kali pada PRU14 nanti, serta pengundi pertama kali pada PRU13 lalu, dan sejumlah generasi reformasi, menjadikan mereka 36% daripada pengundi, satu angka yang cukup signifikan, dalam konteks politik Kelantan.
Angka 36% yang bakal memberi impak besar, sama ada kerajaan sedia ada kekal, atau sebaliknya.
Amanah, pemain politik baharu
Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah), hasil serpihan bekas ahli PAS dan gabungan badan atau individu yang tidak terikat dengan mana-mana parti sebelum ini, dilihat membawa sedikit kelainan di arena politik negara, khasnya di Kelantan. Dilihat kepada respons pengundi muda, progresif serta membawa slogan Islam, terutama keahlian terbesar parti setakat ini datangnya dari Kelantan, tidak mustahil parti baru ini akan memberi impak kepada landskap politik Kelantan.
PRU14: PAS 13, Umno 12, Amanah 11, 9 rebutan semua
Kajian awal Strata Centre menggambarkan senario sengit untuk PRU14. Umno dijangka kekal dengan 12 kerusi (hilang 3 kerusi, ditambah 3 kerusi baharu, kekal 12), manakala 13 kerusi PAS adalah selamat daripada rebutan mana-mana parti. Yang selebihnya 20 kerusi akan ditentukan pengundi muda, pengundi pertama kali dan pengundi terapung.
Hasil kajian juga membayangkan tidak mustahil Amanah bakal bertapak di Kelantan dengan 11 kerusi, manakala 9 kerusi selebihnya bakal menyaksikan rebutan 3 penjuru yang sengit.
Jadi, kemungkinan PAS 13 kerusi, Umno 12 kerusi, Amanah 11 kerusi dan 9 kerusi lagi bakal direbut oleh sesiapa saja, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.
Yang pasti, landskap politik Kelantan bakal berubah. Kita tunggu dan lihat. – 23 Disember, 2015.
* Penulis ialah penganalisis politik di Strata Centre.

1 comment:

  1. Pastinya DAP boleh tumpang sekaki kalau PAN dah ada kerusi di Kelantan

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa