Wednesday, December 30, 2015

Tok Janggut mati dibunuh: Penjajah tertipu atau Penjajah tipu?

Penjajah tertipu, Tok Janggut tak mati dibunuh
Bernama - 
Wan Asrul Wan Hussin, 31, mendedahkan Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Mat Hassan Munas hanya mengalami cedera di bahu kirinya ketika pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.
Cucu sepupu kepada pahlawan terkenal itu berkata, Tok Janggut kemudian disembunyikan pengikutnya di Hulu Kelantan atau kini dikenali Gua Musang untuk menyelamatkan beliau.
"Sesudah sembuh daripada kecederaan di bahunya, Tok Janggut berpindah ke Machang sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu," katanya.
 
Mengulas mengenai kononnya mayat Tok Janggut diarak di sekeliling bandar Kota Bharu dan digantung songsang separuh bogel selama tiga hari, Wan Asrul sekeras-kerasnya menolak dakwaan itu.
Tegasnya, kisah itu adalah semata-mata rekaan serta dibuat atas desakan British yang mahu menakut-nakutkan orang Melayu.
"Kebanyakan orang yang tinggal di Kota Bharu tidak kenal wajah sebenar Tok Janggut dan mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja.
"Dan secara logiknya, jika kita melihat pada faktor fizikal gambar mayat itu, adakah sedemikian rupa seorang Melayu asli? 

Wajarkah Tok Janggut yang mempunyai ilmu agama tinggi diaibkan begitu?," soalnya seperti dilapor Bernama.
Gambar mayat itu diperolehi daripada Perpustakaan Bodleian, Oxford, United Kingdom, England hasil usaha tokoh sejarah Allahyarham Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud ketika melakukan kajian di sana.
Jelas Wan Asrul penampilan fizikal Tok Janggut adalah Melayu Kelantan Asli. Ibunya, Che Mah berasal dari Pattani manakala ayahnya Munas orang Melayu dari Kampung Saring, Pasir Puteh.
"Adik-beradik Tok Janggut termasuk dirinya tiga orang, dua lagi Tahir dan Yah@Sepiah meninggal dunia ketika dilahirkan.
"Tidak ada mana-mana anak-beranak Tok Janggut berwajah Sikh seperti dalam gambar itu. Malah, Tok Samad, iaitu datuk kepada Tok Janggut adalah Melayu Asli dan antara orang yang terawal membuka daerah Pasir Puteh," katanya.
Kenapa tak muncul seperti Mat Kilau?
Timbul persoalan jika Tok Janggut masih hidup selepas peristiwa pertempuran di Pasir Puteh, kenapa beliau tidak mengisytiharkan diri seperti dilakukan pejuang Pahang, Mat Kilau.
Wan Asrul berkata perlu diingat satu ketika Mat Kilau pernah bertemu dengan Tok Janggut di Kedai Lalat, Kota Bharu iaitu pada 1966.
Berlaku perbualan antara mereka berdua: "Abe Mad (Tok Janggut), tidak mahu keluar ke? Orang Putih (British) dah balik ini."
Jawab Tok Janggut; "Puak-puak kamu itu nak pilih orang Putih, biar mereka dah balik pun, biarlah aku hidup macam ini."
Menurut Wan Asrul, keadaan Tok Janggut ketika itu sudah uzur dengan umur dipercayai sekitar 116 tahun dan bagi beliau lebih baik memilih mendiamkan diri.
Ingatkan pesanan guru
Dalam erti kata lain, meskipun Tanah Melayu ketika itu sudah mencapai kemerdekaan, bagi diri Tok Janggut paling utama pesanan yang di bawa daripada gurunya Ahmad al- Fatani, iaitu bebaskan tanahair daripada penjajah sudah tercapai, katanya.
Tiga tahun kemudian pada 1969 Mat Kilau menggemparkan negara dengan mengisytiharkan diri sebenarnya selepas solat Jumaat di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.
Tok Janggut adalah seangkatan dengan pejuang-pejuang lain Tanah Melayu termasuk Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Haji Abdur Rahman Limbong.
Berlaku beberapa siri pertemuan antara kesemua pejuang Melayu itu tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai hasil pertemuan itu.
Salah satu pertemuan itu adalah dengan ulama Terengganu, Tok Ku Paloh pada tahun 1913 yang turut dihadiri kelima-lima pejuang Melayu itu.
Pada pertemuan itu, Tok Ku Paloh berpesan dengan pejuang-pejuang Melayu itu sekiranya beliau meninggal dunia, Tok Janggut adalah penggantinya untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

1 comment:

  1. yang berjuang menentang penajjah britis dianggap musoh
    yang berunding tunduk pada panjajah dikata hiroo
    sebab tu lani jadi hirooo birooo

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa