Friday, December 25, 2015

Uniknya politik ala Kelantan

25 Disember 2015 | AZMI HASSAN
Fenomena politik ala Kelantan telah merebak ke seluruh negara kerana setiap keputusan yang dibuat mesti diasaskan melalui sudut politik.

Ujud persepsi bahawa kehidupan seharian rakyat Kelantan di selubungi dan di campur aduk dengan senario politik tempatan sehinggakan setiap keputusan yang dibuat tidak kira sama ada ia membabitkan hal ekonomi, pelajaran, kebudayaan malah agama sudah pasti ia melibatkan faktor politik.
Sudah menjadi kelaziman dalam satu keluarga ujud ahli mereka yang berlainan ideologi politik yang agak ekstrim terutama sekali jika ia melibatkan parti politik PAS dan Umno.
Sebab itu ada ungkapan yang menjerumus jika seseorang itu berpolitik setiap masa yakni 24 jam sehari 7 hari seminggu (24/7) maka seseorang itu besar kemungkinan berasal dari Kelantan. Begitulah uniknya politik ala Kelantan.
Kini fenomena politik ala Kelantan telah merebak ke seluruh negara kerana setiap keputusan yang dibuat mesti diasaskan melalui sudut politik walhal kadang kala perkara yang dihadapi itu tiada kena mengena dengan senario politik tempatan.
Jika pada satu ketika dahulu sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mahu langsung mengambil tahu hal selok belok dan permainan ahli politik, tetapi hari ini ianya berubah sehinggakan ada rakyat umum yang lebih berpolitik melebihi dari ahli politik itu sendiri.
Dalam dunia politik, tiada perkara yang dianggap mustahil kerana kawan hari ini boleh bertukar menjadi seteru esok harinya dan begitu juga sebaliknya. Dalam dunia politik juga persepsi adalah realiti walaupun persepsi tersebut hanya bersandarkan kepada maklumat yang tidak sahih. Persepsi adalah segala-galanya dalam dunia politik dan ia sama ada mampu popularkan atau jatuhkan seorang ahli politik.
Oleh kerana begitu taksub dengan berpolitik reaksi rakyat Malaysia terhadap sesuatu perkara kadag kala tidak realistik.
Apabila terpapar gambar beberapa ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang bersama-sama menikmati minuman teh tarik di kafetaria Parlimen sedangkan beberapa minit sebelum ini kumpulan yang sama bertegang urat membahaskan isu sehingga ada mengeluarkan kata kesat dan nista, ramai rakyat Malaysia yang terpegun kerana persepsinya adalah apa yang dipamirkan dalam Dewan Rakyat sepatutnya juga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian ahli politik.
Itulah bahayanya apabila politik telah menjadi terlalu sebati dalam kehidupan seharian rakyat sehingga ada dikalangan mereka yang sudah tidak mampu membezakan antara realiti dan persepsi.
Tetapi satu perkara unik mengenai berpolitik ala Kelantan adalah apabila berhadapan dengan hal bolasepak, politik sudah tidak menjadi hal dan tidak mampu menjadi tembok penghalang.
Jika diteliti penyokong pasukan bolasepak Kelantan yang lebih dikenali sebagai The Red Warrior, sukar untuk menyaksikan ujud perbezaan ideologi politik ketara dikalangan penyokong tersebut walaupun dalam kehidupan seharian mereka di belenggu oleh soal perbezaan ideologi politik.
Lebih menarik lagi apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diterajui oleh ahli politik yang begitu tegar kepada pegangan ideologi parti politik beliau tetapi faktor ini tidak menjadi hal kepada rakyat Kelantan untuk memberi sokongan padu kepada The Red Warrior.
Setakat ini belum ada tanda-tanda yang menjerumus bahawa sukan dan politik di Malaysia telah di campur adukkan tidak kira samada sukan bolasepak dan badminton yang dianggap sukan paling popular rakyat Malaysia.
Tetapi apa yang dikhuatiri adalah mungkin akan ada pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan untuk melangsungkan agenda politik terutama sekali dalam era digital dimana gambar begitu mudah diubah suai mengikut kehendak masing-masing.
Buat ketika ini bidang sukan satu-satunya yang masih belum diresepi oleh unsur politik melampau jika disandarkan senario penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan rakyat Malaysia.
Secara ekstrimnya senario penyokong bolasepak di Mesir yang sudah diresapi oleh ideologi politik seharusnya di hindar kerana kebanyakan penyokong kelab bolasepak disana tidak boleh tergolong dari parti politik berbeza.
Pada 1 Februari 2012 perlawanan bolesepak antara kelab al Masry dan al-Ahly telah bertukar menjadi medan pertempuran antara kedua-dua penyokong bukan sangat kerana keputusan perlawanan tetapi kerana perbezaan ideologi politik penyokong. Penyokong kelab al-Masry yang terdiri dari kumpulan yang bersimpati dengan Presiden Mesir ketika itu iaitu Hosni Mubarak telah bertempur dengan penyokong kelab al-Ahly yang juga merupakan penyokong kuat Mohamed Morsi yang mengakibatkan 74 penonton terbunuh.
Harapannya adalah senario sukan Malaysia terutama sekali yang membabitkan bolasepak atau badminton tidak akan mengikut jejak langkah penyokong bolasepak Mesir. Iktibar politik ala Kelantan sepatutnya digunakan kerana di Kelantan bolasepak dan politik bagaikan minyak dan air.

1 comment:

  1. uniknya manusia kerana ada yang sanggup
    langgar perintah Allah hanyalah kerana sukan
    murah sungguh pegangan Islam mereka

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa