Sunday, January 24, 2016

Haha.......siapa yang merapu meraban ni?

Bersih cabar Ismail Sabri buktikan pembangkang bawa masuk pengundi luar
OLEH DIYANA IBRAHIM
Published: 23 January 2016 3:45 PM
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri tidak boleh hanya melemparkan tuduhan tetapi harus menunjukkan bukti seramai 300 pengundi luar yang dibawa masuk ke dalam kawasan Parlimen Bera seperti didakwanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016.

Kumpulan Reformasi Pilihan Raya Bersih 2.0  hari ini mencabar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri untuk membuktikan tuduhannya parti pembangkang kini sudah mula membawa masuk pengundi luar bagi merampas kerusi Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, Ismail tidak boleh hanya melemparkan tuduhan tetapi harus menunjukkan bukti seramai 300 pengundi luar yang dibawa masuk ke dalam kawasan Parlimen Bera seperti didakwanya.

"Jika beliau punyai bukti jadi tunjukkanlah tidak boleh hanya sebarang buat tuduhan," katanya kepada The Malaysian Insider menerusi aplikasi WhatsApp mengulas tuduhan Ismail yang juga ahli Parlimen Bera yang meminta pemimpin BN untuk lebih berhati-hati dengan strategi pembangkang.

Menurut Ismail, beliau melihat sendiri hasil semakan daftar pemilih di Bera yang menunjukkan terdapat 300 pengundi mempunyai status meragukan.

Selaku pengerusi Bersih yang menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, Maria berkata kalau sekiranya badan itu lebih bertanggungjawab dan bebas isu tersebut mungkin dapat ditangani.

"Ianya berbalik kepada perkara yang sekiranya kita mempunyai SPR sebuah badan pilihan raya yang lebih bertanggungjawab dan bebas, hal tersebut tidak akan berlaku.

"Tetapi selagi SPR bertindak tidak adil dan berat sebelah dan tidak merombak semula undang-undang dan proses pengundian maka selagi itulah kita akan tidak akan mendapat pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.

Sebelum ini bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dikritik kerana  berkata sistem pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilaksanakan di negara ini kerana ia akan memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem pilihan raya di Malaysia.

Beliau menjelaskan menurut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan seseorang yang ingin menjadi pengundi perlu membuat permohonan sebagai pengundi baharu dan ia jelas memberikan hak kepada warganegara untuk mendaftar atau tidak.

"Sehubungan itu, sekiranya saranan untuk mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi secara automatik hendak dibuat, maka pindaan kepada Perkara 119 perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan pindaan kepada akta dan peraturan lain berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan," katanya.

Susulan itu Maria menggesa SPR melaksanakan sistem membolehkan semula parti politik mendaftarkan pengundi baharu melalui penolong pegawai pengurus pilihan raya (RO) memandangkan ia keberatan melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

Beliau berkata, jumlah bersih pengundi berdaftar baharu terbantut sejak 2 tahun lepas selepas SPR menarik balik keistimewaan diberi kepada penolong RO untuk mendaftarkan pengundi.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), penolong RO daripada parti politik, terutamanya pembangkang, mendaftarkan ramai pengundi baru terutamanya melalui pusat perkhidmatan, majlis orang ramai dan inisiatif pendaftaran pengundi di tempat awam.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata sebelum ini, lebih 2 tahun selepas PRU13, jumlah bersih pengundi baharu pada suku tahun ke-2 2015 sekali lagi menunjukkan penurunan keseluruhan.

Beliau juga menyalahkan SPR kerana  tidak melakukan usaha mencukupi untuk mendaftarkan pengundi baru, mendakwa ia dilakukan kerana pengundi muda tidak mungkin mengundi BN.

Sementara itu Maria berkata, Bersih 2.0 akan tetap mengemukakan tuntutan untuk membersihkan proses pengundian sebelum pilihan raya Sarawak bermula kepada pengerusi SPR baharu.

"Kita akan menulis kepada pengerusi SPR baharu meskipun beliau ialah bekas kakitangan kerajaan dan bersama bekas pengerusi SPR yang mana Bersih menuntut peletakan jawatannya," katanya.

Beliau merujuk kepada pelantikan timbalan pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hisham Abdullah menggantikan Tan Sri Abdul Aziz  Mohd Yusof yang bersara.

Maria berkata, desakan akan diteruskan termasuklah membawa isu RO di mana peranannya harus dikembalikan kepada pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik.

"SPR juga perlu  buat semakan sistem pengundian terdahulu dan semua undang- undang pilihan raya bagi menguatkan kembali SPR agar dapat memenangi semula keyakinan rakyat," katanya. – 23 Januari, 2016.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa