Saturday, January 23, 2016

Kemungkinan TH mengalami jangkitan 1MDB?

FRIDAY, JANUARY 22, 2016
Setia Umno: Antara Tersurat dan Tersirat
A Kadir Jasin

IZINKAN saya mengulas dan memberi respons kepada beberapa hujah yang ditimbulkan oleh para pembahas dan berkenaan wujudnya “troll” (pengacau) dalam blog kita ini.

Misalnya pembahas Daniel Noor (11.12PM) yang, antara lain, berkata: “Hanya semalam saja, saya berbicara dgn satu Wakil Rakyat yg bergelar Dato tentang situasi dan kondisi negara dan UMNO khusus nya. Beliau mengakui yg si Najib ini telah menghancurkwn UMNO..org Melayu dan Negara. Beliau minta pendapat saya, siapa yg boleh menerajui jwtn PM ini sekiranya ahli UMNO minta Najib undur.”

Ummu Aiman (5.21PM) pula berkata: “Mohon komen tentang dividend dan bonus Tabung Haji 2015 yang masih tidak diumumkan sehingga hari ini. Penyimpan kecil macam kami tetap bertahan di Tabung Haji demi mencari pelaburan akhirat yang halal.”

Pandangan, pemerhatian dan maklumat saya adalah seperti berikut:

1. Berkenaan kehadiran “troll” dan laskar siber dalam blog kita, saya tidak keberatan memberikan mereka ruang asalkan tidak melampau. Saya tidak mendapat apa-apa pendapatan daripada blog ini tapi ada orang yang mendapat upah untuk berbahas di sini. Jadi secara tidak langsung saya menjana ekonomi. Syukur Alhamdulillah.

2. Saudara Daniel Noor dan saya adalah daripada generasi lama budak-budak “back room” Umno. Kita bermula apabila Ibu Pejabat Umno adalah sebuah bangunan lama di Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada tahun 1970-an. Masa itu ramai masih merujuk kepada Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Batu Road. Di sebelah Bangunan Umno adalah Pustaka Antara milik Allahyarham Datuk Abdul Aziz Ahmad.

3. Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh pemilik sebuah portal berita bebas bahawa peneraju media dan propaganda Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, menganggap saya dan orang lama segenerasi dengan saya sebagai “out of touch with reality.”

4. Saya kenal orang itu kerana 10 atau 15 tahun lalu kami kerap makan di Restoran Raju, Petaling Jaya. Waktu itu saya hormati dia kerana, pada pandangan saya, dia seorang profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun. Kini dia dikatakan amat akrab dengan Mohd Najib dan sangat berkuasa sehingga pengarang media massa arus perdana (MAP) pun melutut kepadanya.

5. Saya dimaklumkan yang dia kini bergabung dengan seorang penulis “mercenary” yang lari ke luar negara dalam percubaan membeli (atau mengawal) portal-portal berita bebas seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today.

6. Pemilik portal berita tersebut memberitahu saya, percubaan membeli (atau mengawal) media atas talian ini adalah sebahagian daripada inisiatif baru kumpulan Mohd Najib untuk memenangi hati dan fikiran rakyat jelata.

7. Khabarnya inisiatif baru ini tercetus setelah diakui bahawa MAP dan media atas talian tajaan Umno, Barisan Nasional, kerajaan dan simpatisan mereka semakin hari semakin menguncup audiensnya.

8. Perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) misalnya mendapati penjualan akhbar Utusan Malaysia merosot daripada 191,302 naskhah antara Januari dan Jun 2013 kepada 163,000 antara Januari dan Jun 2015. Pada tahun 2003/04, jualan Utusan Malaysia mengatasi 300,000 naskhah sehari. (Maklumat lengkap di sini).

9. Walaupun Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi memuji laskar siber (cybertroopers) Umno dan mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) Disember lalu, Umno kini mahu kesampaian (reach) yang lebih luas serta melepasi Umno dan Melayu.

10. Cakap-cakap di kalangan penggiat media bebas atas talian mengatakan salah sebuah portal yang dimiliki oleh seorang tauke Cina telah pun “kow-tow” kepada Ahmad Zahid manakala sebuah lagi telah ditawarkan “bantuan kewangan” yang lumayan tetapi ditolak oleh pemiliknya.

11. Sementara itu, seorang Ketua Bahagian Umno di Wilayah Persekutuan mendakwa kepada saya bahawa beliau kini menjadi sasaran laskar siber pemakan dedak kerana dituduh tidak lagi komited 100 peratus kepada Mohd Najib.

12. Apa yang terserlah daripada perbualan saya dengan orang Umno adalah sikap “depan ampu belakang latu.” Di depan Mohd Najib atau waktu perhimpunan mereka julang beliau melepasi awan. Di belakang mereka cerca beliau lebih teruk daripada haiwan. Malah jauh lebih keras dan kasar daripada yang saya tulis dalam blog ini.

13. Mungkin mereka ini hipokrit kelas dunia. Mereka kutuk beliau di depan saya sebab mereka tahu pendirian saya. Tapi mengapa hendak ambil hati saya dengan mengutuk ketua sendiri. Saya tidak ada kuasa dan tidak mampu beri  mereka kedudukan dan habuan? Yang berikan mereka kuasa dan harta adalah Mohd Najib!

14. Di kalangan yang lebih ikhlas pula, mereka berkata mereka buat kerja di peringkat bahagian untuk selamatkan Umno walaupun mendapat tentangan dan cacian daripada ahli sendiri.

15. Mereka berkata, anggapan bahawa Umno berpengaruh dan mereka bersetuju dengan segala-gala yang dilakukan oleh Mohd Najib serta budak-budaknya adalah silap. Kata mereka, mereka benci kepada “budak-budak” bukan ahli Umno tetapi mendakwa mewakili Mohd Najib dan memandai-mandai dalam urusan parti dan kerajaan.

16. Terima kasih khusus kepada pembahas Rahman JPC atas “cerita” beliau di dalam dan di luar blog ini. Beliau adalah salah seorang “duty officer” di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang menjaga Allahyarham Tun Abdul Razak ketika beliau berubat di ibu negara Inggeris itu dan menguruskan jenazah beliau apabila meninggal dunia. Terima kasih atas anekdot Datuk. Manusia ada dua perwatakan (pesona) - satu yang ditayangkan (projected) kepada khalayak dan satu lagi yang disembunyikan daripada khalayak.

17.Berkenaan pertanyaan pembahas “niesa” (9.05AM) : “Boleh komen sikit pasai UMNO Kedah? Agak2nya angkara sapa ni?” saya tidak hairan sikit pun hal ini akan berlaku. Ini politik. Kalau tidak tegas, tidak “hands-on” dan tidak kenal yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan, kita tanggunglah padahnya. Ledakan (implosion) yang sedang berlaku dalam Umno sekarang tidak memilih mangsa. Pembuat dan peletup bom ada di mana-masa saja asalkan ada dedak.

18. Bersabit “kelewatan” Tabung Haji mengumumkan dividen 2015, saya tidak hairan kalau ia mengalami masalah keuntungan, pengaliran tunai dan perakaunan. TH adalah antara tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terdedah kepada skandal hutang 1MDB. Kemungkinan TH mengalami jangkitan 1MDB tidak dapat dinafikan. Harap-harap tidak.

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 11:26 AM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa