Wednesday, January 27, 2016

RM2.6b: AG jadi Hakim?

KENYATAAN MEDIA

PEGUAM NEGARA ‘BERSIHKAN’ PERDANA MENTERI : PEGUAM NEGARA BERTINDAK SEBAGAI HAKIM.

1.Saya telah meneliti sepenuhnya kenyataan bertulis Peguam Negara, Tan Sri Dato Sri Haji Mohamed Apandi Ali bertarikh 26 Januari 2016 yang telah ‘membersihkan’ YAB Perdana Menteri dari segala kesalahan dan pertuduhan jenayah bersabit skandal penyaluran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan juga dakwaan penyaluran wang dari SRC International ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

2.Sebagai individu dan sebagai Ahli Parlimen, secara realistiknya amat sukar untuk saya mempercayai versi cerita yang dijaja oleh Peguam Negara di dalam usaha beliau memberi penjelasan kenapa tiada sebarang pendakwaan di kenakan ke atas Perdana Menteri, terutama apabila beliau mendedahkan kononnya Perdana Menteri telah begitu bermurah hati mengembalikan semula sejumlah RM2.03 bilion kepada penderma dari keluarga diraja Arab Saudi tersebut.

3.Dalam hal ini saya melihat bahawa pengumuman yang dibuat oleh Peguam Negara semalam hanyalah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Peguam Negara menjalankan dan menggunakan sepenuhnya kuasa budibicara yang ada pada beliau. Ianya bukan penentuan muktamad bahawa tiada salahlaku dan pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam kes ini. Kita harus memahami bahawa penyiasatan di dalam kes ini bukanlah dijalankan oleh Peguam Negara, tetapi oleh SPRM.

4.Bidang tugas hakiki Peguam Negara sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan kes jenayah di mahkamah menurut budi bicaranya secara mutlak. Dalam erti kata lain, meskipun contohnya siasatan yang dijalankan SPRM menunjukkan bermacam-macam pelanggaran undang-undang dan salahlaku jenayah dan juga rekomendasi supaya pertuduhan jenayah dikenakan ke atas Perdana Menteri, namun Peguam Negara tidak terikat untuk menuruti hasil siasatan dan rekomendasi yang dibuat SPRM. Peguam Negara berhak untuk menolak pandangan SPRM atas apa jua alasan dan hujah yang difikirkan munasabah oleh Peguam Negara.

5.Memandangkan kes ini membabitkan diri Perdana Menteri sendiri dan telah banyak memberi kesan negatif kepada negara, saya berpendapat sekadar pengumuman yang dibuat oleh Peguam Negara semalam adalah tidak mencukupi untuk membersihkan nama Perdana Menteri dan imej negara ini.

6.Peguam Negara dan SPRM bertanggungjawab besar kepada negara untuk mendedahkan apakah sebenarnya hasil siasatan SPRM dan juga apakah rekomendasi yang dibuat oleh SPRM hasil dari siasatan yang dijalankan sendiri oleh SPRM.

7.Saya juga mendapati bahawa Peguam Negara semalam gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung dengan isu wang berjumlah RM42 juta dari SRC International yang dikatakkan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri melalui syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. Saya dapat mengesan bahawa tidak ada langsung penafian dari Peguam Negara terhadap fakta bawa wang RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

8.Apakah Peguam Negara terpaksa mengakui bahawa memang benar RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri tetapi berlindung di sebalik dalih bahawa ‘tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM mengetahui dan atau bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau’?.Adakah PM telah mengembalikan wang RM42 juta ini.

9.Sesungguhnya penjelasan dan pengumuman yang dibuat Peguam Negara telah membangkitkan lebih banyak keraguan dan pertanyaan.Keputusan yang dibuat olih Peguam Negara semalam telah merampas kuasa mahkamah yang sepatutnya memutuskan sama ada Najib bersalah atau pun tidak bersalah.Pengumuman semalam juga ibarat bermulanya "MAHARAJA LAWAK MEGA MUSIM BARU".Rakyat Malaysia menuntut kejujuran dan sikap terus terang dari Peguam Negara dan SPRM berhubung hal ini.

“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
27 Januari 2016 / 17 RabiulAkhir 1437H

2 comments:

  1. Najib razak sudah jd najib masak nak kena menjawab lg.rasanya cerita belit yg ingin ditamatkan dgn sgt klise itu tak menjadi.penerimaan khalayak negetif hanya mampu menjadi bhn kutuk.

    ReplyDelete
  2. Melihat keadaan politik dan kemelut negara yg diperintah oleh BN, rasa ingin berpindah ke planet lain. Punya teruk nya negara kita dgn puak2 & juak2 penjilat harta benda rakyat.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa