Saturday, February 27, 2016

Catatan Sejarah: Srikandi Melayu yang memenggal kepala Raja Agung Thai

The Patriots
SRIKANDI MELAYU YANG MEMENGGAL KEPALA RAJA AGUNG ORANG THAI

Siapa bilang bahawa gadis Melayu ialah gadis yang lemah dan menurut perintah sahaja? Nah, ini ada sebuah kisah yang bakal membuka mata kalian, tentang satu susuk tubuh yang harus dibanggakan oleh kita seluruh umat Melayu. Adruja Wijayamala Singa namanya, bangsanya Melayu, agamanya Islam.

Adruja itu ialah sebutan yang dipendekkan daripada “aadhi raja” yang bermaksud raja yang besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik dan pemuka pasukan perang; ‘Wijayamala’ pula merujuk kepada sejenis bunga seroja sakti yang dikatakan dapat menghidupkan orang mati; manakala ‘Singa’ pula merupakan satu variasi bagi sebutan “simha” yang bermaksud singa – raja segala haiwan.
Seperti namanya, insan ini seberani singa dan merupakan raja yang mulia. Semangatnya membangkitkan kembali seluruh semangat anak bangsanya. Itulah dia anak kepada Sultan Muhammad atau Raja Sang Tawal yang memerintah sebuah negara kota Melayu bernama Grahi (memerintah pada tahun 1267-1335 Masihi). Lebih dikagumi, banginda ialah keturunan kepada seorang Maharaja Srivijaya daripada dinasti Mauli iaitu Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa. Seperti nenek moyangnya, insan ini juga bakal memahat nama dalam sejarah.
Gadis ini dilahirkan pada zaman Kerajaan Sukothai yang acap kali menyerang negara Kota Grahi. Raja Rama Khamhaeng namanya, raja yang diceritakan sebagai sangat zalim. Berkali-kali raja zalim ini cuba untuk meluaskan jajahannya ke atas tanah Melayu, namun dihalang oleh Raja Aminuddin (1253-1267 Masihi) iaitu nenda kepada Adruja.
[Sedikit Perihal Hidup Adruja Wijayamala Singa]
Sejak kecil lagi, Adruja dikatakan sangat mahir menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Baginda dikatakan sangat lasak dan kasar. Namun disebalik kekasarannya itu, masih terserlah sikap keperempuanannya. Seperti mana bangsa Melayu yang tidak pernah terpisah dengan bunga, begitu juga dengan Adruja Wijayamala Singa. Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur.
Apabila usianya meningkat belasan tahun, maka Adruja dikatakan sering mengikuti ayahnya ke medan perang. Bahkan puteri ini diberi tanggungjawab besar, membawa bendera kerajaan Grahi ketika peperangan ayahnya dengan Sukothai. Dalam peperangan itu juga, Adruja biasanya memainkan peranan dengan memberi rawatan kepada askar-askar ayahnya yang cedera.
Peperangan itu juga membuka mata Adruja yang melihatkan betapa negara kota Grahi selalu berundur dan semangat rakyatnya yang pudar, maka tergeraklah hatinya mahu membuat sesuatu dengan menubuhkan pasukan khas perempuan untuk sama berjuang dengan kaum lelaki di medan perang.

Cadangannya itu dibawa kepada ayahnya, namun pada awalnya ditolak, namun kerana sayangkan anak perempuannya, maka Raja Sang Tawal atau Sultan Muhammad terpaksa memperkenan juga. Pelbagai cara dibuat untuk menyelamatkan Adruja namun ditolak mentah-mentah. Antaranya dengan mengahwinkan puteri ini. Tahu tak para pembaca apa respon puteri raja ini?
“Ayahanda mahu kahwinkan anakanda?
Tidak! Sesiapa yang mahukan anakanda, sila bertarung senjata satu lawan satu. Jika menang, boleh.”
[Pasukan Khas Terdiri Daripada Janda Kehilangan Suami]
Selepas berjaya mendapat perkenan ayahnya, maka Adruja pun berusaha membentuk pasukan ini. Pada asalnya, dia menghampiri anak dara yang belum kahwin, namun semuanya ditolak. Maka datangnya pula para janda muda yang telah kematian suami mereka di medan perang akibat berperang dengan Sukothai, maka mereka semua menolak membuatkan Adruja berang. Ucapannya berbunyi seperti di bawah untuk mereka:
“Cis! Semua kamu nak serahkan kepada lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu? Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan pengemis! Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang. Bahkan lebih berani daripada bapa-bapa dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhothai hingga kecut pelir mereka.”
“Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi. Beta tak dapat memberikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian mati, kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian. Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang.”
Mendengarkan ucapan itu, para janda muda itu seperti tersentak dari lena. Maka mereka bersetuju dan Adruja sendiri yang melatih pada janda muda berperang. Segala bekalan senjata diusahakan oleh Adruja untuk pasukan khas itu. Dari puluhan kud ayang didapati daripada pedagang arab dan turki, sehinggalah ke senjata ringan yang boleh digunakan kaum hawa. Adruja sendiri mempunyai kuda putih, yang diberi nama Halilintar. Nama kumpulan itu diberi nama Seri Wijayamala.
[Jangan perlekehkan kami!]
Selepas merasakan bahawa latihan yang dijalankan ke atas pasukan itu cukup, maka Adruja pun menghadap Raja Sang Tawal yang sedang sibuk bermesyuarat dengan panglima-panglima perang. Lantas ketika itu, Raja Sang Tawal diajak bersama para panglima perangnya ke tingkap istana, untuk memperkenalkan para ahli pasukannya.
“Itulah pasukan khas patik. Hanya 41 orang. Kebanyakannya janda dan hamba abdi serta budak suruhan, untuk berperang bersama ayahanda kelak”.
Setelah melihat pasukan khas tersebut, para panglima bertanya kepada Adruja tentang kemampuan mereka – sama ada mereka mampu memikul tombak serta memanah atau pun tidak. Malah, ada juga di antara mereka yang memperlekehkan kemampuan pasukan khas tersebut dengan tersengih-sengih dan ketawa kecil.
Tindakan para panglima tersebut telah membuatkan dada Adruja membara, lalu ditariknya salah seorang dari kumpulan panglima tersebut dan membawanya ke ruang tingkap. Adruja segera memberi arahan kepada Puspa, salah seorang pengikutnya yang berdiri puluhan ela di bawah istana supaya terus memanah panglima tersebut.
Anak panah yang dilepaskan Puspa berdesing membelah udara lalu melekat pada daun tingkap – hanya sejengkal dari muka panglima tersebut. Adruja lantas berkata kepada para panglima yang memperlekehkan pasukan khasnya:
“Jika itu belum memuaskan kalian, silalah tunggu di tingkap itu untuk perintahku yang kedua”.
[Serangan Sukothai Yang Pertama]
Pasukan Sriwijayamala di bawah Adruja sentiasa berwaspada. Pada suatu malam, diceritakan bahawa salah seorang ahli pasukan itu yang sedang berkawal di dalam kota terlihat sebusur panah berapi yang dilancarkan ke udara. Ini menandakan bahawa sebuah kampung di utara di serang oleh tentera Sukhothai. Maka, Adruja pun mengetuai pasukannya menyerbu keluar menyelamatkan kampung itu. Dilihatnya Sukhothai sedang mengganas. Mereka membakar kampung, membunuh segala lelaki dan mengheret wanita keluar dari kampung itu.
Maka, Adruja menjadi penyelamat pada malam itu. Tentera Sukothai yang membuat kacau itu menjadi mangsa serangan mengejut mereka. Seorang tentera Sukothai yang cuba merogol seorang gadis kampung itu berjaya ditebas kepalanya oleh Adruja oleh senjatanya yang bernama Kilatan.
Pada malam itu, Adruja berjaya menyelamatkan ramai wanita Melayu. Tiada seorang pun tentera Siam Sukhothai yang berjaya pulang ke markas mereka. Adruja dan para pengikutnya pula hanya mengalami luka-luka kecil. Mereka berjaya membuktikan kecekapan mereka di medan perang.
[Dendam Rama Khamhaeng]
Apa yang dilakukan oleh Adruja itu menyebabkan Rama Khamhaeng benar-benar terbakar. Tiada seorang pun askar Sukothai yang dihantar membuat kacau itu pulang. Maka, Rama Khamhaeng pun mengarahkan bala askar dikerahkan ke Kota Grahi dan baginda sendiri yang akan mengetuai bala askar itu.
Maka apabila khabar itu sampai kepada Grahi, maka Raja Sang Tawal pun mengarahkan semua menteri dan panglima perangnya untuk berbincang serangan balas. Dan ketika itu, Adruja diarahkan untuk kekal dalam kota dan tidak menyertai peperangan itu.
Penduduk kota yang mengenali Adruja bertanya mengapakah Adruja tidak turut serta sekali.
“Raja fikir aku perempuan biasa. Layak menunggu di dalam kota sahaja”.
Kata Adruja kepada perempuan tersebut. Lantas perempuan tersebut berkata:
“Tapi… kami dengar cerita dari orang Tuan Puteri sendiri, banyak kampung di utara Grahi telah Tuan Puteri selamatkan”.
Setelah mendengar kata-kata perempuan tersebut, maka tersenyumlah sang puteri seorang diri. Adruja mula menyedari bahawa perihal itu tidak pernah dilaporkan kepada Raja Sang Tawal dan sememangnya ingin dirahsiakan.
[Serangan Kedua Sukothai]
Adruja berasa gelisah kerana sepanjang hari itu, dia tidak boleh turun untuk berperang,. Maka diarahkan Puspa untuk melihat keadaan di luar kota. Dilihatnya bahawa terdapat dua ketumbukan tentera – satu untuk berperang dengan angkatan tentera Grahi, satu lagi untuk menyerang kota secara mengejut.
Puspa segera memaklumkan kepada puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota Seri Wijayamala bertindak. Kehadiran mereka telah mengejutkan pihak musuh.
“Jahanamkan mereka! Bunuh semuanya! Anak haram jadah! Binatang! Cincang habis!”
Jerit Adruja seraya menghayunkan kelewang panjangnya (Kilatan) sambil memecahkan kepala serta memutuskan tubuh-tubuh musuh. Kemudian, arahan diberikan kepada dua orang rakan seperjuangannya yang bernama Seroja dan Sundari:
“Kau Seroja, panah dari atas kota sana. Kau Sundari, suruh para abdi siapkan kuda kita”.
[Lagenda Lelaki Bertongkat Dan Bertasbih]

Pencerobohan itu akhirnya berjaya dihindari dan Kota Grahi terselamat. Namun begitu, itulah pertama kali hati Adruja berasa amat hiba dan remuk-redam kerana perbuatan pihak musuh yang amat zalim terhadap orang-orang yang lemah.
Pasukan Seri Wijayamala menangis teresak-esak, sambil mendakap para wanita dan kanak-kanak yang meraung. Air mata Adruja jatuh berlinangan. Adruja mengetapkan bibirnya. Tiba-tiba, datang seorang lelaki tua bertongkat menuju ke arah puteri tersebut lalu berkata dengan sebaknya:
“Tuan Puteri, hamba sudah tua… Tiada tenaga lagi memerangi musuh kita. Bawalah tasbih hamba ini. Semoga Tuan Puteri mencapai kemenangan yang luar biasa… Insyallah…. Ucaplah, ‘Ya Jabbar Ya Qahhar’…”.
Lelaki tua bertongkat itu mengucup tangan Adruja lalu pergi dari situ. Belum sempat sang puteri mengucapkan terima kasih, para anggota Seri Wijayamala sudah mengerumuninya dan bersiap-sedia. Adruja memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala:
“Wahai pasukanku, Seri Wijayamala… Lilitlah rambutmu dengan kain hijau seperti serban yang dipakai ayahmu, suamimu atau saudaramu yang pergi berjuang demi agama dan tanah air. Aku tahu, tentera ayahanda sedang terpukul teruk. Aku juga tahu, hari ini Rama Khamhaeng turut memimpin tenteranya. Hari ini hari penentuan! Puspa, lilitkan serban kuning ini ke kepalaku.”
Tiba-tiba, kedengaran laungan azan berkumandang di atas kota. Suara seorang tua – dipercayai lelaki tua bertongkat yang memberi tasbih kepada Adruja sebentar tadi. Adruja segera memakai tasbih tersebut di lehernya dan terus menunggang kuda putihnya yang bernama Halilintar.
Adruja memakai tasbih pemberian seorang lelaki tua bertongkat di lehernya. Selesai sahaja azan, Adruja melaungkan ungkapan “Allahuakbar” yang kemudiannya disambut oleh semua yang hadir. Semua wirawati Seri Wijayamala terus memecut kuda yang menderu keluar dari kota bagai angin taufan. Tanpa menoleh ke belakang lagi, pasukan khas tersebut terus memacu kuda di belakang ketua mereka
[Tumbangnya Rama Khamaeng]
Benarlah jangkaan Adruja. Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah.
Lima anggota Seri Wijayamala telah bersiap-sedia dengan tombak bercangkuk. Mereka turut dibantu oleh pasukan berpanah dan pasukan yang memakai kusa – sejenis alat yang ditakuti gajah.
Adruja dengan pantas terus merodok pusat Rama Khamhaeng dengan Kilatan, lalu ditusuknya ke atas hingga ke tenggorok. Pecahlah jantung dan terburailah segala tali perut dengan semburan darah membuak-buak. Kelewang dicabut, lalu leher raja tersebut ditebas hingga terpisahlah kepalanya dari tubuh. Kemudian, Puspa mengambil kepala Rama Khamhaeng dan menancapnya pada hujung tombak lalu diberikan kepada Adruja.
“Heret bedebah ini ke laut! Cincang sesiapa yang cuba menghalang!”
Jerit Adruja kepada pasukan Seri Wijayamala. Dua orang wirawati segera mengangkat kedua-dua belah kaki Raja Siam Sukhothai itu lalu mengheretnya dengan kuda menuju ke pantai.
Perbuatan tersebut telah menyebabkan tentera Siam Sukhothai bersikap seperti orang gila. Mereka cuba untuk mendapatkan kembali kepala Rama Khamhaeng. Adruja dengan segera mencantas dan menebas mereka. Para tentera Siam Sukhothai yang cuba mendapatkan badannya pula terus dipanah oleh pasukan berpanah Seri Wijayamala.
“Seroja, bawa balik kepala ini. Biar beta selesaikan saki-baki anjing-anjing ini.”
Para tentera Siam Sukhothai mula hilang semangat setelah menyaksikan kematian raja mereka. Tiada apa yang boleh mereka lakukan selain berlutut meratap menyembah bumi. Itulah hari bencana besar bagi bangsa Siam (Thai) dari negara Sukhothai kerana tidak menjangka yang mereka akan mati dibunuh oleh seorang puteri raja dengan pasukan khas wanitanya yang bengis.
Adruja mengarahkan semua wirawati supaya mencantas belalai gajah-gajah milik tentera Siam Sukhothai. Pada mulanya, mereka tidak sampai hati hendak membunuh haiwan-haiwan tersebut. Setelah melihat Adruja sendiri mencantas belalai gajah hitam milik Rama Khamhaeng, akhirnya mereka turut berbuat demikian.
Habis semua gajah jatuh merempuh pihak musuh. Barisan hadapan tentera Siam Sukhothai yang berlutut meratapi kehilangan raja mereka turut diranap oleh gajah mereka sendiri. Saki-baki tentera Siam Sukhothai yang lainnya habis dibunuh oleh Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala.
Sementara itu, badan Raja Rama Khamhaeng yang sedang diheret ke pantai pula terus ditombak dan dicincang sepanjang jalan sehingga hanya tinggal rangka dan cebisan daging sahaja. Setelah tiba di tepi pantai, badannya dicampak lalu dihanyutkan ke Laut China Selatan.
Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan tentera Siam Sukhothai yang mengiringi mayat raja mereka. Akibat terlalu takut, maka larilah saki-baki tentera musuh untuk menyelamatkan nyawa mereka. Inilah kata-kata keramat Adruja Wijayamala Singa:
“Dengan tertebasnya kepala si bedebah ini (Raja Rama Khamhaeng), maka ku harap bangsa ini (Siam atau Thai) akan tersekat dan tidak melanda tanah bangsa Melayu (Semenanjung Tanah Melayu) seterusnya, agar kekallah bangsaku (Melayu) dan agamaku (Islam) zaman-berzaman”.
Setelah berakhirnya perang, pasukan khas Seri Wijayamala membantu rakan-rakan mereka yang tercedera dan membawa mereka pulang ke Grahi. Adruja adalah orang terakhir yang meninggalkan medan perang, ketika merah senja mewarnai langit di sebelah barat. Menurut catatan sejarah, peristiwa Adruja memenggal kepala Raja Rama Khamhaeng ini berlaku pada tahun 1317 Masihi.
[Kesultanan Serendah Sekebun Bunga/Kesultanan Kisaran Payung]
Dipendekkan cerita, serangan bertali arus dari pewaris Rama Khamhaeng, iaitu Loethai, maka jatuhlah Kota Grahi dan Raja Sang Tawal pun berundur sehingga ke Sanjura inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota di Langkasuka untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu.
Dan ketika itu, Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta mencantas kepala Raja Rama Khamhaeng. Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung.
Dalam tempoh yang singkat, Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah di bawah pemerintahan Adruja. Baginda juga diberi gelaran ‘Cik Siti Wan Kembang’ oleh rakyat tempatan.
Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi satu gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut. Menurut sumber pensejarahan di negeri Kelantan, Adruja Wijayamala Singa ialah Cik Siti Wan Kembang yang pertama.
[Kesimpulan]
Sesungguhnya semangat perjuangan Adruja Wijayamala Singa adalah patut dikenang oleh kita semua. Baginda tidak pernah gentar dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Biar bergadai nyawa sekalipun, baginda tidak sanggup melihat anak bangsa baginda dijajah oleh bangsa asing. Kita semua haruslah mempunyai semangat itu dalam diri kita. Biar putih tulang, jangan putih mata!
Sumber: 101 Puteri Dunia Melayu terbitan Jabatan Muzium Negara
GAMBAR: Busana Cik Siti Wan Kembang. Busana ini mungkin paling dekat untuk menggambarkan pakaian Adruja Wijayamala Singa.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa