Friday, February 19, 2016

MARA: Isu hartanah di Australia pula terburai

- Affendi Abas PHR - 011 10909755

Hari ini hari mendedahkan maklumat dan skandal. Ini berkaitan penyelewengan dana MARA dalam pembelian hartanah di Australia. Kenapa Tan Sri Annuar Musa tidak ambil tindakan untuk kutip balik wang rakyat ini pada ketika apa-apa dana boleh membantu pelajar MARA yang belum mendapat pembiayaan. Saya dah sediakan semua dokumen dan bukti yang diperolehi dari Mahkamah Australia, sila jalankan amanah dan kutip balik wang ini. Kecualilah MARA berlengah-lengah kerana ia melibatkan seorang EXCO Pemuda Umno dan keluarga beliau? Sebarkan!

Berita penuh dengan dokumen mahkamah di capaian:

http://rafiziramli.com/2016/02/mara-tidak-mengambil-tindakan-terhadap-individu-individu-yang-mendapat-laba-dari-pembelian-hartanah-di-australia/

16 FEBRUARI 2016

MARA TIDAK MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG MENDAPAT LABA DARI PEMBELIAN HARTANAH DI AUSTRALIA

Saya dan Saudara Akmal Nasir (melalui National Oversight and Whistleblowers) telah mendedahkan skandal pembelian hartanah di Australia oleh MARA yang melibatkan penyelewengan berjumlah RM129 juta pada akhir Jun dan awal Julai 2015 lalu. Sehingga kini, 8 bulan kemudiannya, tidak ada seorang pun yang dihadapkan ke muka pengadilan dan MARA masih belum mendapatkan kembali jumlah “terlebih bayar” walaupun ada bukti-bukti kukuh untuk tindakan diambil.

Dengan permasalahan pembiayaan yang dihadapi oleh ribuan pelajar Melayu/Bumiputra yang terkandas kerana kedudukan kewangan MARA yang tidak mengizinkan, saya tertanya-tanya kenapa tidak ada tindakan diambil untuk mendapatkan kembali dana awam. Jumlah RM129 juta adalah jumlah yang besar dan boleh membiayai pendidikan ribuan pelajar Melayu/Bumiputra.

Oleh kerana kegagalan Tan Sri Annuar Musa bertindak mendapatkan kembali dana ini, saya dengan ini mengemukakan bukti dan dokumen yang menunjukkan perkara-perkara berikut:

1. Individu-individu yang menjadi dalang dan dinamakan di dalam dokumen yang difailkan di mahkamah Australia

2. Cara individu-individu ini menyalurkan dana rakyat dari MARA kepada syarikat-syarikat yang mereka mempunyai kepentingan

3. Hubungkait individu-individu ini dengan EXCO Pemuda Umno

INDIVIDU-INDIVIDU YANG DINAMAKAN DI DALAM DOKUMEN MAHKAMAH AUSTRALIA

 Rujuk dokumen “Statement of Claim” yang difailkan oleh Trubuilt Projects Pty Ltd terhadap Wanissa Properties Pty Ltd yang disertakan bersama

 Dokumen ini memperincikan bagaimana Wanissa Properties Pty Ltd yang mengusahakan Dudley House (iaitu hartanah yang akhirnya dibeli oleh MARA pada harga yang lebih tinggi) di alamat 7-13 Dudley Street, Melbourne telah gagal membayar hutangnya kepada Trubuilt Projects Pty Ltd iaitu kontraktor yang dilantik bagi menyiapkan Dudley House.

 Mukasurat 9 pada perenggan 19(x) memperincikan bagaimana MARA melalui anak syarikatnya Thrushcross Land Holdings Limited telah membeli Dudley House pada harga AUD22.6 juta (iaitu AUD4.75 juta lebih mahal dari harga pasaran yang dilaporkan).

 Mukasurat 9 dan 10 pada perenggan 19(x) memperincikan bagaimana AUD4.75 juta (bersamaan RM14 juta pada kadar tukaran semasa) telah dibayar oleh Wanissa Properties Pty Ltd kepada 3 syarikat iaitu Leuven Capital Sdn Bhd, Optimus Capital Group of Companies Sdn Bhd dan TRR Heritage Sdn Bhd; iaitu syarikat-syarikat yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan Ahmad Nazim Abdul Rahman (CEO Pelaburan MARA Berhad), Mazrul Haizad Marof (dinamakan sebagai kakitangan MARA) dan Izadden Daud (Pengarah Urusan MARA Inc dari tahun 2008 hingga 2010).

 Mukasurat 10 pada perenggan 19(xi) memperincikan hubungan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat itu melalui satu email yang dihantar bertarikh 4 Julai 2013 mengandungi invois dari syarikat-syarikat tersebut.

CARA DANA DISALURKAN DARI MARA KEPADA SYARIKAT-SYARIKAT YANG BERKEPENTINGAN

 Saya sertakan  salinan-salinan invois (yang turut difailkan di Mahkamah Australia) seperti berikut:

TARIKH SYARIKAT/BUTIRAN INVOIS JUMLAH INVOIS
24 Julai 2013 “Letter of Indemnity” dari Mazrul Haizad Marof bagi pihak Leuven Capital, Optimus Capital dan TRR Heritage berkenaan tanggungan cukai kepada pihak berkuasa Australia

AUD3,350,000
17 Januari 2013  TRR Heritage: Khidmat rundingan (TRR/2013-003) AUD700,000
17 Januari 2013 TRR Heritage: Yuran professional (TRR/2013-003) AUD1,090,500
26 April 2013 FRP Prestige: Yuran professional (001042013) AUD1,210,000
5 Februari 2013 TRR Heritage: Komisyen (dudley-feb-01) AUD725,000
26 April 2013 Leuven Capital: Komisyen penjualan Dudley (001042013) AUD1,350,000
31 Mac 2013 Leuven Capital: Yuran rundingan dan nasihat – Dudley (001032013) AUD2,000,000
5 Februari 2013 Optimus Capital: Yuran promosi/iklan (dudley-feb-01) AUD675,000

 Walaupun pelbagai invois yang berlainan dikeluarkan dan bertindih, semakan dengan pihak berkuasa percukaian Australia (seperti yang ditunjukkan di dalam dokumen mahkamah) menunjukkan bahawa jumlah akhir yang dibayar kepada syarikat-syarikat adalah AUD4.75 juta (iaitu jumlah komisyen yang disebut di dalam “Statement of Claim”) seperti berikut:

1. Leuven Capital – AUD3,350,000 seperti surat bertarikh 24 Julai 2013
2. Optimus Capital Group – AUD675,000 invois bertarikh 5 Februari 2013
3. TRR Heritage – AUD725,000 invois bertarikh 17 Januari 2013

 Maka, jumlah yang MARA “terlebih bayar” sebanyak AUD4.75 juta itu kemudiannya dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkait/dikuasai oleh seorang individu bernama Mazrul Haizad Marof.

HUBUNGKAIT DENGAN EXCO PEMUDA UMNO

 Mazrul Haizad Marof adalah abang ipar kepada Dazma Daud, iaitu EXCO Pemuda Umno di bawah YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno.

 Dazma Daud juga pernah terlibat dengan syarikat-syarikat yang dinamakan di dalam dokumen mahkamah ini iaitu Optimus Capital dan Leuven.

 Ahmad Nazim Abdul Rahman sebagai seorang pegawai tinggi MARA bukan sahaja dinamakan di dalam dokumen mahkamah bertanggungjawab menghantar invois-invois ini, beliau juga pernah terlibat di dalam satu syarikat lagi yang berkait dengan urusniaga pembelian Dudley House oleh MARA.

Dokumen-dokumen ini adalah satu maklumat umum yang boleh diperolehi dengan mudah dari mahkamah Australia, seperti mana diperolehi oleh MARA. Bukti keterlibatan individu-individu terbabit juga adalah sangat jelas dan sepatutnya tindakan telah diambil oleh Tan Sri Annuar Musa sejak dari tahun lepas.

Dalam kemelut masalah kewangan MARA sehingga menyebabkan ramai lagi pelajar Melayu/Bumiputra menghadapi kesempitan, jumlah RM14 juta ini sepatutnya dituntut dengan segera dari individu-individu terbabit.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa