Saturday, February 20, 2016

Pandangan Majlis Raja-Raja Melayu tidak bererti jika........

Kenyataan Media

PANDANGAN MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU TIDAK BERERTI JIKA......

AMPUN TUANKU, MAAFKAN PATIK BERBICARA

1. Pendirian Majlis Raja-Raja Melayu berkaitan dengan akta Majlis keselamatan Negara (MKN)  agar kerajaan memperhalusi semula beberapa peruntukan akta tersebut agak terlambat kerana sudah diluluskan oleh Parlimen. Walaupun ianya masih boleh dipinda tetapi sukar untuk kerajaan mengaku salah menarik balik peruntukan peruntukan yang menjadi pertikaian setelah kerajaan mempertahankan bermati-matian.

2. Sepatutnya Duli Tuanku Majlis Raja-Raja Melayu sedari awal sebelum atau semasa pembentangan dan perbahasan akta tersebut di Parlimen telah mengambil langkah yang drastik untuk menghalang pembentangan dan kelulusan. Majlis Raja-Raja sepatutnya lebih peka akan kepentingan negara dan rakyat agar kerajaan tidak sewenang-wenangnya mewujudkan undang-undang yang bertujuan kepada salahguna kuasa seperti akta MKN.

AMPUN TUANKU DAN TERIMA KASIH TUANKU

3. Walaubagaimanapun, Patik tetap berterima kasih kepada Duli Tuanku Majlis Raja-Raja yang mengambil usaha untuk berbincang dan mendesak kerajaan memperhalusi semula akta MKN tersebut. Namun harapan patik kegelisahan Duli Tuanku Majlis Raja-Raja tidak bererti jika tidak disusuli dengan mengambil langkah yang lebih drastik merentasi akta MKN dengan memastikan Najib yang menjadi punca masaalah segera berundur dan satu pembaharuan politik dengan memperhalusi, merombak dan memansuhkan undang-undang yang mendorong kepada salahguna kuasa seperti akta MKN dan undang-undang yang mengekang hak rakyat.

4. Majlis Raja-Raja juga perlu memastikan pembentukan satu pasukan baru kabinet kerajaan Malaysia yang bebas daripada salahguna kuasa, rasuah dan penyelewengan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan maruah negara di hadapan. Moga Allah merahmati dan memberkati segala keprihatinan dan usaha Duli Tuanku Majlis Raja-Raja.

Ampun Tuanku.

#JanganTakut Pada Orang Salah
#SelamatkanMalaysia

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
20 Februari 2016/11 Jamadilawal 1437H

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa