Tuesday, March 29, 2016

Kuli...adakah dengan menyokong Najib berupaya membawa perunahan yang anda katakan?

Ku Li konar pula dari isu asal......beliau sokong dan menungkat Najib

Monday, 28 March 2016
PENJELASAN TENGKU RAZALEIGH

Berikutan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib Razak baru-baru ini menjadi perbualan ramai dan tanda tanya masyarakat sehingga Tun Mahathir Mohamad turut memberikan reaksinya,  malah blog ini juga ada membuat ulasan mengenainya,  maka di bawah ini disiarkan sepenuhnya penjelasan Ahli Parlimen Gua Musang itu yang dihantar melalui email kepada saya. (SH 28/03/2016).

MENCETUS PERUBAHAN

Negara kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan. Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan isu hutang negara. Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat. Selama ini saya sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini. Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu.

2. Saya yakin tiada siapa yang dapat menuduh saya tidak konsisten berkenaan pendirian saya terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab awam dan perlunya perubahan. Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987.  Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari sisi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.

3. Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, saya bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan  dan kehendak parti. Yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul.

4. Dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, saya amat peka dan sedar akan masalah yang dihadapi oleh negara dan keadaan kita yang genting; umpaamnya masalah berkaitan dengan hutang negara serta akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata. Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat kepada Ahli-Ahli Parlimen, saya telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang negara ini tidak ditangani  dan diurus dengan penuh tanggungjawab. Maka itu setiap pengamal politik  dan Ahli Parlimen  berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha menangani perubahan yang diperlukan itu.

5. Izinkan saya mengulangi bahawa masalah yang kita hadapi ini meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi kita dan kedudukan antarabangsa negara. Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam masa terdekat.


Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
28 Mac 2016 bersamaan
19 Jamadil Akhir 1437H.

- sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa