Sunday, April 24, 2016

Bukankah sikap ini didoktrinkan semasa Mahathir berkuasa dulu?

Ahli Umno bukan bisu, pekak dan buta tetapi totok, Mahathir?
Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Nampaknya Tun Mahathir semakin tertekan dan resah apabila mendapati tidaklah begitu mudah untuk menaikkan shahwat politik rakyat, terutama ahli-ahli Umno supaya melakukan reformasi.

Umumnya, kempen yang digerakkan atas nama Selamatkan Malaysia tidak mendapat reaksi rakyat yang dihajatinya. Meskipun sebelum ini beliau sudah cuba berjinak dengan kempen Bersih 4, namun reaksi rakyat masih agak suram.

Maka beliau pun melampiaskan kekecewaannya terhadap ahli-ahli Umno yang disifatkan buta, pekak dan bisu kerana tidak menyahut gendang perang yang dipalunya untuk bangkit menjatuhkan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keresahan Mahathir terhadap sikap Umno yang tidak peka akan perjuangannya itu mendapat reaksi sinis daripada satu-satunya ahli Umno yang pernah mencabar hegemoni politiknya dalam parti itu – Tengku Razaleigh Hamzah.

Dengan berseloroh Tengku Razalegih menyindir apakah baru sekarang Mahathir sedar bahawa ahli-ahli Umno itu bisu, pekak dan buta?

“Bukan sekarang. Sejak dulu lagi ahli Umno memang bersikap begitu,” katanya dengan bersulam senyum sinis.

Tengku Razaleigh memang arif soal sikap ahli Umno. Pada tahun 1987, beliau mencabar kedudukan Mahathir sebagai presiden Umno. Banyak isu – jambatan Pulau Pinang, Bangunan Dayabumi dan projek Proton – dibangkitkannya.

Projek-projek mewah ini dirumuskan sebagai pembaziran wang rakyat. Natijahnya ramai pula pemimpin kanan Umno menyertai Razaleigh.

Tokoh seperti Musa Hitam, Abdullah Badawi, Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad masuk kem Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Team B ketika itu. Namun dek kerana sikap buta, bisu dan pekak ahli-ahli Umno, Team B gagal.

Sebenarnya istilah yang digunakan oleh Mahathir terhadap apa yang dianggap sikap-sikap negatif ahli Umno itu kurang wajar dan kurang adil. Ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh, Mahathir amat perlukan sokongan ahli Umno.

Mahathir ketika itu tidak pula menganggap ahli Umno seperti Anwar Ibrahim, Najib Razak, Megat Junid Megat Ayob dan ramai lagi pemimpin Umno ketika itu sebagai buta, pekak, dan bisu.

Bagi Mahathir mereka itu adalah pengikut setianya. Dalam menghadapi cabaran beliau amat memerlukan kesetiaan. Beliau sedar bahawa kesetiaan lahir bukan kerana beliau semata-mata sebagai presiden.

Faktor lain seperti sayangkan parti dan perjuangannya, mahu perpecahan itu dihentikan segera dan juga sikap mengutamakan pemimpin atau sedikit fahaman feudal berbaur menjadi benteng pertahanan Mahathir.

Mahathir kini dilanda kifarah 

Kini keadaan sebaliknya berlaku. Mahathir keluar Umno kerana menganggap ia sudah jadi parti Najib. Maka beliau mahu semua ahli Umno yakin kata-katanya bahawa Najib itu berbahaya pada Umno.

Mahathir juga mahu ahli Umno yakin bahawa Umno akan ditimpa mudarat yang besar jika Najib terus memimpin Umno. Sebab itu, agaknya, Mahathir amat kecewa dengan ahli Umno kerana tidak melihat, mendengar dan yakin kata-katanya.

Lantas dirumuskan bahawa ahli Umno itu pekak, bisu dan buta.

Mahathir silap perhitungan. Jika benar apa yang didakwanya bahawa Umno akan rebah jika terus dipimpin oleh Najib, beliau mesti ingat bahawa Umno masih wujud dalam gelanggang politik walaupun beliau pernah meramalkan Umno akan pupus jika terus dipimpin oleh Abdullah Badawi.

Mungkin yang gagal melihat, mendengar dan memahami keadaan ialah Mahathir sendiri. Atau, lebih buruk lagi ialah beliau bersikap demikian kerana semakin lemas ditelan egonya sendiri.

Dalam 22 tahun memerintah negara, Mahathir mungkin berasa beliau tiada berbuat kesalahan besar. Bacaan politiknya baik dan hampir semuanya tepat. Apa yang diajukan kepada ahli Umno diterima dengan senang hati.

Ini membayangkan betapa Mahathir tidak faham pada konsep kesetiaan yang cuba diajukan oleh Timbalan Presiden Umno hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau adalah ahli Umno totok.

Sebagai ahli Umno totok, Muhyiddin mahu buruk-baik Umno diselesaikan dalam Umno. Itulah sebabnya beliau masih keberatan meninggalkan Umno walaupu tidak bersetuju dengan Najib.

Maka salahlah Mahathir bila beliau merumuskan ahli Umno itu buta, pekak dan bisu.

Atau, mungkinkah Mahathir sengaja menyimpulkan demikian kerana mahu mengambil hati kawan-kawan politik barunya. Mungkin pada congakannya parti-parti pembangkang akan gembira jika ahli Umno diremehkan sedemikian.

Sikap sinis Mahathir hanya tingkatkan azam ahli untuk pertahan Umno

Kini beliau bukan ahli Umno. Justeru,  jika sebagai mantan presiden Umno, Mahathir merendah-rendahkan citra ahli Umno, beliau mungkin berkira, itu akan amat menggembirakan rakan-rakan pembangkangnya.

Benarkah demikian? Yang pasti ialah, oleh kerana nafsunya untuk mengkuburkan Umno, Mahathir kini memilih untuk bermulut celupar dan mengenepikan soal kenegarawanannya dan amalan politik budiman.

Semakin kuat beliau mempersendakan Umno dan ahli-ahlinya, semakin marak pula azam parti itu untuk menentangnya. Perkara ini pernah dialami oleh Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Rais Yatim dan mungkin Ibrahim Ali.

Oleh itu, berhentilah Mahathir berpolitik cara perempuan berkelahi dan menghamburkan apa sahaja yang boleh dikira akan menyakitkan hati lawan.

Belajarlah daripada mesej yang baru sahaja disampaikan oleh bekas orang kepercayaan dan yang kini menjadi saingan nombor satunya – Anwar Ibrahim.

Kata Anwar, menjatuhkan Najib bukan anak kunci perubahan kepada kebaikan bagi negara ini. Yang penting usaha reformasi kerajaan dan institusi kehakiman serta memugar institusi lain harus dilipatkan-gandakan.

Apakah Tun tidak faham maksud Anwar yang menegaskan perjuangan sekarang ialah melakukan reformasi untuk Malaysia yang bermula pada tahun 1998 apabila beliau cuba memadamkan kehadiran Anwar dalam politik negara.

Tidak ingatkah Mahathir bahawa ketika itu beliaulah yang bertindak mencemarkan wibawa pelbagai institusi negara kerana “masih bercawat ekor” sebab mahu terus kekal berkuasa.

Kini bila mencabar kuasa dan kepimpinan Najib, Tun Mahathir sebenarnya bukan berhadapan dengan ahli Umno yang lemah, buta, pekak dan bisu tetapi totok. Mereka adalah seberani, sedegil dan sesetia Anwar Ibrahim ketika mempertahankan Tun.

2 comments:

  1. Kalau sebut pasal mahadhir ni naik malas dah nak pikir. Ramai yg senyum2 kambing bila tengok telatah dan keletah orang tua ni. Sebenarnya org tua ni dah bertemu rabu dan khamisnya. Apa yg dia tanam maka itulah juga yg sedang dituainya sekarang. Umno buta tuli pekak bangang bahalul hasil kerja buat sapa kalau bukan kerja buat dia?? Aku kata padan muka hang. Dulu masa hang pm bukan main lagi hang loklak. La ni hang amik pi. Najid jadi pm sapa yg pilih sapa yg sokong?? Bukan ka hang jugak dulu. Apa pasai la ni yg hingaq sangat ni??? nyanyuk apa?? Dah lah tun oii ... lupakan saja beri can org lain la pulak lwn najid hang pi balik rumah duk diam2 dah. Malaysia tonggang langgang pun pasai hang lat jugak. Cuba kalau dulu masa hang pm dan presiden humno dulu ajaq org jadi baik mungkin ari ini org hormat hang.

    ReplyDelete
  2. Mahatir nampak mcm cerdik hakikatnya dia tu bodoh dan apa lagi dengan sombongan, kawan dgn orang kaya aje orang miskin yang kurang cerdik senang diperbodohkan, kesiaan orang miskin yg jadi pengagum si celaka tu kena berdiri bwh panji panji dia diakhirat nanti

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa