Sunday, April 24, 2016

Shahrir Samad, DAP dan masa depan UMNO-BN Johor

Shahrir Samad, DAP dan masa depan UMNO-BN Johor
Posted on Saturday, April 23 @ 21:45:39 MYT by paktam
Oleh Mahdzir Ibrahim

Seorang tokoh besar politik Johor, Tan Sri Shahrir Samad, telah mempertikai kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkaitan kemungkinan berlaku satu perubahan besar di Johor pada PRU 14 yang akan datang. Bagi tokoh UMNO Johor itu, apa yang disuarakan Chin Tong itu sekadar andaian semata-mata.

Shahrir menolak spekulasi Chin Tong bahawa Pakatan Harapan boleh memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 11 kerusi Parlimen di Johor pada pilihanraya umum akan datang.


Tokoh UMNO Johor itu juga menambah bahawa andaian Chin Tong ini seolah-olah Barisan Nasional Johor tidak berbuat apa-apa untuk merampas kembali kerusi-kerusi mereka yang tewas pada PRU13 yang lalu.


Dengan kata lain, beliau menyindir Chin Tong, dengan mempersoalkan, apakah BN Johor adalah tunggul mati yang tidak berbuat apa-apa untuk kelangsungan hayatnya? Kelihatan Chin Tong ini naïf sangat di mata Shahrir.


Saya fikir, kenyataan dari kedua-dua tokoh ini, yang tua dan yang muda, harus dibaca dengan hati-hati oleh politikus dan rakyat.


Calon atau parti?


Pertama, mungkin benar kata Shahrir Samad jika 10 peratus undi Melayu beralih arah, Parlimen Johor Bahru (sebagai contoh), masih kekal kepada BN dengan majoriti yang tipis. Tetapi beliau lupa bahawa faktor calon memainkan peranan yang amat penting. Tambahan pula, beliau telah mengumumkan untuk tidak lagi bertanding pada pilihanraya yang akan datang.


Senario ini perlu kita sedar bahawa faktor calon di sebelah BN memainkan peranan yang penting, berbeza di sebelah oposisi yang rata-rata pengundi mengundi untuk parti, baik DAP mahupun PKR dan Amanah, malah PAS.


Shahrir Samad sendiri telah membuktikan bahawa kemenangan beliau melawan BN pada pilihanraya kecil 1988 adalah kerana faktor calon (populariti beliau sendiri), bukan kerana parti. Jadi, adakah calon pengganti beliau di kerusi Parlimen Johor Bahru ini setaraf beliau? Siapa lagi tokoh besar di Johor Bahru yang setara dengan Tan Sri Shahrir?


Berbanding oposisi, rata-rata kerusi yang dimenangi khususnya di Johor bukanlah atas faktor ketokohan calon (kecuali Gelang Patah), sebaliknya atas sokongan kepada parti politik. Berapa banyak kerusi DUN yang dimenangi DAP yang mana calon-calonnya di bawah usia 35 tahun yang tiada pengalaman luas seperti beliau.


Ketika ini juga Barisan Nasional, UMNO khususnya, sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang sangat kritikal. Masalah integriti dan krisis kepercayaan kepada pucuk pimpinan cukup parah. Faktor-faktor ini diselubungi lagi dengan kekacauan berpuak-puak di dalam partinya.


Jadi, yang dikatakan lima atau 10 peratus oleh Chin Tong itu, jumlahnya tidak boleh dikira dengan jari atau kalkulator sahaja kerana ada faktor pembolehubah yang lain yang akan menentukan lima atau 10 peratus itu sebanyak mana. Ini belum termasuk pengundi baru.


Bagaimana dengan PKR, Amanah?


Kedua, hujah Shahrir bahawa kerusi yang ditandingi DAP hanya berbaki satu di Dun Paloh dan satu lagi Parlimen Tanjung Piai – beliau bertanya bagaimana Chin Tong begitu yakin dengan PKR dan Amanah mampu untuk menyumbang sembilan lagi kerusi yang selebihnya.


Ini satu kenyataan yang cukup cekap oleh politikus besar dan berpengalaman seperti Tan Sri Shahrir. Beliau memahami bahawa selain ‘menembak’ BN Johor, Chin Tong juga sedang memberi tekanan kepada rakan parti, iaitu PKR dan Amanah, untuk menyumbang kerusi-kerusi tambahan menerusi sasaran peratusan yang diberinya.


Maka kenyataan Shahrir seakan tersembunyi satu mesej untuk memperlekeh kemampuan PKR dan Amanah Johor untuk menyahut cabaran Chin Tong dalam PRU14 yang akan datang. Dari satu sisi yang lain, ini boleh menjadi satu percubaan oleh veteran UMNO itu untuk melemahkan ikatan Pakatan Harapan di Johor.


BN Johor sememangnya bukan satu saingan yang mudah untuk dijinakkan. Untuk Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Johor sememangnya cukup sukar tetapi kesulitan itu boleh diringankan dengan memulakan langkah awal ke arah menafikan majoriti dua pertiga kuasa BN di Dewan Undangan Negeri Johor terlebih dahulu.


Dilema UMNO-BN Johor


Dilema terbesar BN Johor, khususnya UMNO, ketika ini adalah sama ada untuk mempertahankan parti atau presidennya, atau kedua-duanya sekali. Untuk kedua-duanya sekali amat sukar bagi BN.


Suka atau tidak, faktor Presiden UMNO ini telah memecah-belahkan UMNO dan BN Johor. Jika memilih untuk menyingkirkan Presidennya, mereka harus bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan DAP, Amanah dan PKR.


Tetapi jika UMNO-BN Johor bertekad untuk mempertahankan parti, mereka akan berhadapan dengan kesukaran yang lebih hebat dari PRU 2013. Kerana hari ini isu GST yang meragut ekonomi keluarga dan peribadi, kelesuan ekonomi dan kelemahan kerajaan pimpinan Najib, termasuk skandal dan imej peribadinya, adalah lebih kritikal berbanding isu lembu dan kondo NFC dahulu. Kesemua ini adalah resepi yang mencukupi untuk membuatkan UMNO hilang kuasa bukan setakat di negeri-negeri, malah di Parlimen.


Mungkin sesuatu yang Tan Sri Shahrir perlu fikirkan: Sanggupkah BN Johor menjadi negeri pembangkang di dalam sebuah demokrasi pimpinan kerajaan pusat Pakatan Harapan? –


* Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor. Beliau juga pernah menjadi calon DAP bagi Parlimen Tanjung Piai dalam PRU 2013

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa