Saturday, April 23, 2016

Sukan mati muda.....

Sayang penggusti umur tak panjang
mk  -  Hari ini, 6:48 petang
Kematian Chyna semalam memang mengejutkan ramai, terutama jika melihat kepada usianya yang belum pun menjangkau 50 tahun.

Dianggap masih 'muda' kematian Chyna, 46, sebenarnya satu lagi siri 'kejutan' dialami dunia sukan gusti.

Pada 8 April tahun lalu James Brian Hellwig menghembus nafas terakhir sebelum sempat meraikan usia ke-55. Hellwig adalah nama sebenar Ultimate Warrior.

Kemudian pada Ogos tiba giliran ajal Rowdy Roddy Piper - atau nama sebenarnya Roderick Toombs,
61.

Jika usia mereka dianggap sudah lanjut, lihat pula kematian dua penggusti ini - Curt Henning atau lebih dikenali sebagai Mr Perfect, dan Andre the Giant (gambar).

Mr Perfect baru berusia 44 tahun ketika meninggal dunia pada 2003, manakala Andre - atau Andre Roussimoff, berusia 46 tahun ketika menemui ajal pada 1993.

Bagi penggusti daripada kelompok WCW pula nasib yang menimpa juga tidak banyak bezanya.

Membelasah, dibelasah

Rick Rude meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika baru berusia 40 tahun; Brian Pillman pula lebih awal iaitu berusia 35 tahun akibat masalah jantung. El Gigante - pemain bola keranjang dari Argentina sebelum menjadi penggusti - meninggal dunia akibat kencing manis ketika berusia 44 tahun.

Sesetengah pihak berpendapat kegagalan jantung dan masalah kesihatan berkaitan sebenarnya disumbangkan oleh pengambilan dadah dan steroid di kalangan penggusti.

Pada masa sama pengambilan alkohol pula sesuatu yang lazim di kalangan mereka.

Dibelasah dan membelasah lawan di gelanggang, persembahan penggusti WWE memang menghiburkan ramai.


Bagi penggusti wanita watak mereka bukan sekadar mempersona sebagai kaki gaduh sebaliknya bagi sesetengah orang mereka adalah 'hiburan dari sisi gelap' - sesuai dengan penampilan mereka dengan pakaian yang minimum.

Chyna kemudian melepasi batasan itu dengan menceburi sektor lakonan filem lucah dan bergambar untuk majalah Playboy.

Sebelum itu WWE membentuk Chyna menjadi watak yang memberi inspirasi kepada ramai wanita.

Realiti di luar gelanggang juga 'ganas'

Dia dibebaskan WWE pada 2001 dan tanpa sokongan kewangan yang kukuh kewujudan Chyna semakin dilupakan.

Malah penggusti yang diberi nama sebenar Joan Marie Laurer itu sendiri mengaku dia tidak dibenarkan memakai nama Chyna atau sebarang watak itu selepas keluar dari WWE.

Sebabnya, WWE memiliki hak ke atas nama berkenaan.

Dalam keadaan begitulah dia akhirnya menjadi pelakon filem lucah.

Ia memang nasib yang malang. Menjadi Chyna sepanjang masa ketika bersama WWE, dia 'kehilangan' dirinya sendiri sekali gus dan sekelip mata.

Sebagai penggusti hidup mereka sebenarnya seganas aksi yang dipamerkan di atas gelanggang.

Selain kesakitan dialami ketika beraksi, penggusti juga terpaksa melalui perjalanan panjang dan kerap untuk mengadakan pertunjukan dari semasa ke semasa.

Tiada siapa peduli

Segalanya dilakukan demi wang. Isunya ialah, tiada mana-mana pihak yang benar-benar menjaga kebajikan mereka. Pada masa sama penggusti juga tidak pasti bilakah bayaran seterusnya akan diterima.

Gusti adalah sukan yang mempunyai cabaran dan persaingan sangat tinggi namun segalanya hampir dimonopoli oleh WWE.

Jika ingin meninggalkan WWE, mereka hampir tiada pilihan lain untuk meneruskan kerjaya sebagai penggusti.


Pada 2003 program Real Sports With Bryant Gumbel mendedahkan sejak 1997 lebih 60 penggusti di seluruh dunia mati pada usia 45 tahun atau kurang daripada itu.

Pada 2014, laman sesawang FiveThirtyEight meneliti siri WrestleMania VI yang diadakan pada 1990.

Daripada 14 siri perlawanan yang diadakan, hanya lima penggusti masih hidup 24 tahun kemudian.

Kes Chris Benoit (gambar) pula mungkin sedikit berbeza apabila kematiannya tidak bersendirian. Benoit, 40, membunuh isteri dan anak lelakinya yang baru berusia tujuh tahun sebelum dia sendiri menggantung dirinya di rumah mereka pada 24 Jun 2007.

Punca Kematian Chyna masih belum didedahkan pihak berkuasa namun setakat ini belum ada sebarang tanda ia berpunca daripada jenayah.


Piper sendiri pernah membangkitkan isu kematian muda penggusti pada 2003.

"Semua orang akan mati tetapi penggusti semuanya mati muda dan tiada siapa peduli. Gusti memusnahkan mereka," katanya.

WWE memecat Piper sejurus selepas kenyataan berkenaan dibuatnya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa