Sunday, May 22, 2016

Bintang-Bintang yang 'gagal'

Bintang bola sepak dunia yang 'gagal'
mk - 6 Jan 2016, 4:46 petang
Penyokong Real Madrid tentu ramai yang teruja apabila kelab itu memilih salah seorang pemain terbaik dunia, Zinedine Zidane, menjadi pengendali terbaru menggantikan Rafael Benitez.
Zidane memang diakui mempunyak keunikan dan legasi tersendiri. Bagaimanapun tiada apa dapat menjamin bekas pemain antarabangsa Perancis itu dapat membawa khabar lebih baik buat Madrid.
Salah satu faktornya berkait dengan realiti sejarah. Tidak ramai pemain yang berjaya dan cemerlang pada zaman kegemilangannya tetap berjaya sebagai pengurus selepas bersara.
Berikut adalah antara bekas bintang dunia yang gagal:
Diego Maradona
Siapakah yang tidak kenal dengan pemain bertubuh rendah dari Argentina ini?
Bintang yang terkenal dengan aksi 'tangan tuhan' itu dipilih menjadi pengendali skuad kebangsaan Argentina pada 2008 mengemudi kelab kurang terkenal seperti Mandiyu dan Racing Club pada 1990-an.
Walaupun berjaya membawa Argentika layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, pasukan itu diaibkan Jerman 0 - 4 dalam perlawanan suku akhir.
Selepas meninggalkan kerusi panas di Argentina Maradona berkhidmat dengan Al-Wasl di Emiriah Arab Bersatu dengan matlamat membawa kelab berkenaan menjadi lebih megah.
Kira-kira 14 bulan kemudian Maradona meninggalkan Al-Wasl dan kelab itu berada di tempat kelapan dengan ketinggalan 29 mata daripada pendahulu, Al-Ain.
Paul Gascoigne
Pemain serba boleh di zaman gemilangnya, namun bertukar menjadi individu bermasalah selepas bersara.
Pernah beraksi untuk England sebanyak 57 kali dan bermain dengan Newcastle, Tottenham dan Lazio, Gascoigne menguruskan sebuah kelab tidak ternama, Kettering.
Dia meninggalkan tugas itu 39 hari kemudian. Di bawah Gascoigne Kettering memenangi dua perlawanan, dua seri dan dua kalah.
Kini menetap di Poole, Gascoigne masih bergelut dengan masalah ketagihan arak serta gangguan mental.
Bobby Charlton
Sebagai pemain Charlton memenangi tiga kejuaraan liga Inggeris, satu Piala Eropah dan satu-satunya Piala Dunia pernah dirangkul England.
Sebagai pengurus, Charlton diberi kepercayaan mengendalikan kelab Preston tetapi hanya sempat bertugas selama semusim dengan peratusan rekod kemenangan hanya 33 peratus daripada 99 perlawanan.
Dia juga sempat menjadi pengurus sementara bagi kelab Wigan Athletic pada 1983. Di bawah Charlton, Wigan hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan. Namun dia bernasib baik kerana kemudian dilantik sebagai pengarah kelab berkenaan.
Lothar Matthaus
Seorang lagi pemenang Piala Dunia.
Pemain tengah Jerman ini dikenali sebagai atlet berwibawa dan pernah diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan kebangsaan.
Dari satu sisi, hidupnya agak menarik. Matthaus pernah berkahwin sebanyak lima kali dan pernah membimbing adalah lapan kelab atau pasukan kebangsaan, bermula dengan pasukan Austria, Rapid Wien.
Atletico Paranaense (Brazil) dan Partizan (Serbia) serta pasukan kebangsaan Hungary dan Bulgaria adalah antara koleksi skuad yang penah mendapat bimbingannya.
Hristo Stoichkov
Penjaring terbanyak Piala Dunia 1994 dan pemain terbaik dunia - pada tahun sama - Stoichkov turut dikenang sebagai pengurus yang panas baran.
Sebagai pengurus, Stoichkov selalu berkelahi dengan pemainnya sendiri. Stoichkov pernah mengaku secara terbuka bahawa dia "tidak percaya kepada taktik" untuk mencapai kemenangan.
Membawa imej sebagai pemain terbilang, bekas pemain kebangsaan Bulgaria itu gagal membawa pasukan negaranya layak ke Piala Dunia 2006 dan Piala Eropah 2008 selapa tiga tahun berkhidmat menjadi pengendali.
Ketika berada seketika di Celta Vigo, Stoichkov membawa kelab berkenaan jatuh ke bahagian bawah liga. Dia kemudian menabur khidmat - yang gagal dikenang sesiapa - untuk kelab Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan), Litex Lovech dan CSKA Sofia (kedua-duanya Bulgaria).
Bobby Moore
Diketepikan daripada tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada 1977 dan kelab Watford pada tahun sama, Moore adalah ketua pasukan England yang mencipta sejarah memenangi Piala Dunia.
Dia kemudian bertugas sebagai pengurus kelab Oxford dengan Harry Redknapp sebagai pembantu.
Moore juga pernah bertugas dengan kelab Hong Kong, Team Eastern AA sebelum kembali ke negara asalnya untuk mencuba nasib di kelab Southend United pada 1984.
Pada musim pertama sebagai pengurus, Southend United nyaris hilang kelayakan bertanding kerana dibelenggu masalah kewangan.
Di hujung musim kelab itu akhirnya berada di kedudukan kesembilan liga.
Pemerhati berpendapat legenda West Ham United itu sebebarnya lebih layak menjadi pengarah kelab berbanding pengurus.
Alan Shearer
Digelar "mesin penjaring gol" untuk kelab Blackburn Rovers, Newcastle dan pasukan kebangsaan England, tiada kenangan manis untuk Shearer sebagai pengurus pada musim 2008/09.
Dan Newcastle adalah satu-satunya kelab diuruskan Shearer.
Dia dibawa ke kelab itu kononnya untuk menyelamatkan Newcastle yang berdepan nasib terumbang ambing dalam liga. Namun daripada lapan perlawanan dilaluinya, kelab itu hanya mencatat satu kemenangan.
Newcastle kemudian tersingkir ke liga bawahan.
Paul Ince
Bintang Manchester United dan Inter Milan disegani sebagai pemain. Dia dikenang kerana berjaya menyelamatkan kelab Macclesfield Town daripada tersingkir ke liga rendah dan membawa MK Dons naik ke liga lebih atas, tempoh perkhidmatannya di Blackburn langsung tidak memberangsangkan.
Bersama kelab itu Ince hanya mencipta enam kemenangan daripada 21 perlawanan. Seperti dijangka, dia kemudian dipecat daripada jawatannya.
Dia kembali untuk kali kedua di MK Dons dan gagal lagi. Seterusnya Ince mencuba nasib bersama kelab Notts County.
Ince ditawarkan kontrak setahun bersama Blackpool dan berjaya mengelak kelab itu terperosok ke kelab bawahan pada musim pertama perkhidmatannya.
Namun dia diketepikan kemudian apabila Blackpool memungut hanya dua mata daripada 12 perlawanan pada musim berikutnya.
Tony Adams
Pemain pertahanan kental ini menghabiskan masa selama 22 tahun bersama Arsenal.
Di kelab itu Adam bermain 669 kali dan memenangi 10 kejuaraan utama, termasuk tiga juara liga pada tiga dekad berbeza.
Malangnya kerjaya Adams sebagai pengurus adalah malap.
Khidmatnya bersama Wycombe dan Portsmouth (pada musim 2008/09) gagal meninggalkan kesan ketara.
Dia mengejutkan ramai apabila menerima tawaran menguruskan pasukan kebangsaan Azerbaijan. Selepas 17 bulan, dia kembali ke England.
Bryan Robson
Kapten paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab Manchester United, rekodnya sebagai pengurus tidak secantik sebagai pemain.
Ketika sesetengah pihak menganggap Robson berjasa selama tujuh tahun bersama Middlesbrough - termasuk menjuarai liga bahagian satu, menjadi finalis dua Piala Liga dan satu Piala FA - pemerhati berpendapat sekadar itu sajalah kemampuannya.
Dalam EPL, Robson hanya mampu membawa Middlesbrough ke tempat kesembilan.
Di Bradford, Robson gagal menyelamatkan kelab itu daripada terjatuh ke liga bawahan. Dia hanya berjaya menyelamatkan West Brom daripada tercicir daripada EPL dan meninggalkan kelab itu pada 2006.
Khidmatnya di Sheffield United pula berakhir hanya selepas sembilan bulan kerana gagal menyinar.
Robson kemudian mencuba nasib menjadi pengendali skuad kebangsaan Thailand.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa