Thursday, June 30, 2016

Riaksi Wala'un PAS ke atas kritikan: Koleksi mesej sementara waktu berbuka oleh Dr. Agus Yussoff

SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (7)

Sudah dua hari saya marahkan pentotok tegar PAS. Saya sudah terlalu kasar dan gunakan perkataan ‘saya benci’ dengan puak ini. Itulah gambaran kemarahan saya.
Kenapa marah? Kerana apabila saya menulis meminta kerajaan negeri memperhatikan keselesaan dan keselamatan rakyat sempena Hari Raya, mereka ini menasihati pula saya supaya tidak mengkritik kerajaan negeri.
Saya tidak mengkritik pun, saya cuma menegur dan memperingatkan kerajaan negeri supaya beri perhatian kepada masalah air, jalan dan sampah. Buatkan rakyat negeri bangga dengan negeri dan kerajaan mereka. Tidak ada soal politik pun.
********************************
Malangnya, pentaksub tegar ini menganggap teguran saya kepada kerajaan negeri sebagai satu kesalahan yang bertentangan dengan agama. Mereka mengatakan kerajaan tidak boleh dikritik; kerajaan hanya boleh ditegur secara berhemah. Bagi memperkuatkan hujah, diselitlah hadis-hadis berkaitan.
Saya tanya balik pentotok ini? Apakah kerajaan negeri maksum sehingga tidak boleh dikritik? Jika kerajaan negeri tidak boleh dikritik, apakah PAS tidak mengkritik kerajaan BN semasa kempen PRU 1999, 2008 dan 2013 ketika PAS berada dalam pakatan BA dan PR?
Mereka menjawab pertanyaan saya dengan menyatakan kerajaan negeri tidak boleh dikritik kerana kerajaan negeri adalah kerajaan Islam. Bagi mereka, tidak mempertahankan kerajaan negeri akan menerima balasan Allah nanti.
Inilah yang saya tegur. Apa kaitan mempertahankan kerajaan negeri dengan meminta kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyatnya? Tanpa menjawab pun pertanyaan saya, alih-alih saya pula yang dimarah oleh pentaksub tegar ini.
Mereka dakwa puila saya hanya berani tegur kerajaan negeri. Mengapa tidak kritik kerajaan pusat yang rasuah dan lainnya. Mereka juga suruh saya balik Kelantan dan buat sama baiki air dan kutip sampah. jangan sekadar hanya bercakap dan mengkritik, kata mereka.
Apakah bangangnya pentaksub ini? Saya tegur kerajaan negeri untuk keselesaan rakyat yang hendak beraya, biarlah saya selesaikan hal ini dahulu. Mengapa pula perlu dikaitkan dengan kerajaan pusat? Lain saya tulis, lain mereka bahas.
Inilah yang menyebabkan saya marah dengan pentaksub ini. Bagi saya puak ini adalah perosak agama, imej parti dan pemecah belah masyarakat.
***************************
Saya tidak bermaksud menujukan tulisan ini kepada kawan-kawan saya dalam PAS dan penyokong PAS kerana saya tahu pemikiran kita tidak sebegitu.
Saya menulis ini untuk menunjukkan kemarahan saya kepada pentaksub tegar ini yang sememangnya bangang tahap gaban, tetapi perasan lebai dan cerdik.
Jika saya jumpa pentaksub sebegini, saya akan bawa mereka ke pakar psikiatri untuk mendapat rawatan jiwa sebelum terus merosakkan keharmonian bangsa dan negara ini.
Selamat berbuka.
SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (6)
Petang ini saya menerima panggilan dari wakil kerajaan negeri menjelaskan tiga perkara, iaitu tentang kebersihan, air dan jalan raya.
***********************
Mengikut keperluan, MPKB memerlukan 40 lori untuk mengangkut sampah sehari, malangnya MPKB hanya mempunyai 17 buah lori sahaja. Bagi mengatasi kekurangan ini, MPKB telah menyewa 23 lagi lori mengangkut sampah untuk kebersihan bandar KB.
Bagi PBT lain, kerajaan negeri telah pun mengatasinya dengan melengkapkan bilangan lori dan tong sampah yang diperlukan.
Biarpun kewangannya terhad, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan segera yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini supaya rakyat menyambut hari raya yang selesa tahun ini, dan In Sha Allah tahun-tahun seterusnya.
*********************************
Masalah air keruh berlaku kerana beberapa bulan lepas Jabatan Air Kelantan menukar paip utama. Akibatnya, air menjadi keruh dan kotor. Alhamdulillah, kekeruhan ini semakin berkurangan menjelang Raya.
Dari segi kelajuan, air telah semakin laju dan tidak lagi kering seperti dahulu.
In Sha Allah, perubahan total kepada perkhidmatan air akan berlaku setelah pensrukturan semula air dapat dilakukan. Sekarang ini, kerajaan negeri sedang di peringkat akhir memuktamadkan perundingan ini dengan kerajaan pusat.
****************************
Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang sebelum ini dikenali sebagai lebuh raya rakyat sedang dalam pembinaan.
Jalan Kota Bharu-Machang dibiayai oleh kerajaan pusat dan Jalan Machang-Kuala Krai oleh kerajaan negeri.
Setakat ini status jalan Kota Bharu-Machang adalah seperti berikut. Pelan 1A Kota Bharu-Kadok telah 60% siap dan Plan 1B Kadok-Machang telah 20% siap.
Jalan Kota Bharu-Kadok dijangka siap sepenuhnya pada April 2017, dan Kadok-Machang pada tahun 2018.
Jalan Machang-Kuala Krai baru 10 km siap dan tempoh sebenar siap tidak diketahui. Cumanya bila siap nanti akan diintegrasikan dengan Central Spine di Pahang.
**************************
Begitulah perkembangan yang dapat dilaporkan.
Semoga kerajaan negeri terus mendengar keluhan rakyat dan bertindak cepat untuk mengatasi masalah rakyat.
Kerajaan pusat juga harus bertanggungjawab membantu pembangunan negeri dan memberikan hak kewangan yang menjadi milik negeri sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan.
SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (5)
Petang ini saya tidak mahu mengulas lagi tentang rombakan kabinet. Saya ingin menulis dahulu tentang sikap penyokong totok parti PAS yang tidak dapat menerima kelemahan kerajaan negeri.
Apabila saya menulis tentang air yang kotor, kebersihan bandar dan keselamatan jalan raya di Kelantan, ramai penyokong totok ini yang marah-marah.
Setiap kali saya tegur, mereka berhujah kerajaan negeri tidak ada duit, kerajaan negeri dinafikan wang royalti. Kalau kita berhujah lagi, mereka akan menyuruh kita pula menerima redha Allah. Saya pening dengan kumpulan totok sebegini.
Sementara saya akui prinsip federalisme banyak yang dilanggar, saya selalu tegaskan kerajaan negeri perlu mengatasi masalah rakyat dalam hal yang berkaitan dengan bidang kuasanya. Jika tidak ada duit, cari mekanisme penyelesaiannya.
Jika berterusan memberi alasan dan menyalahkan kerajaan pusat, saya kira ini bukan kecekapan pemerintahan. Kerajaan yang cekap ialah kerajaan yang dapat menjaga keperluan rakyat dengan baik dalam kekurangan yang ada.
**********************************
Saya selalu tekankan dalam tulisan saya supaya kita membezakan kritikan dengan teguran. Saya menegur soal air, kebersihan dan jalan raya kerana saya mahukan kerajaan Kelantan menyediakan kemudahan prasarana yang baik kepada rakyat. Biar rakyat bangga dengan kerajaan mereka dan bangga dengan negeri mereka.
Semoga penyokong totok ini boleh memahami. Jangan melihat setiap teguran kepada kerajaan negeri itu sebagai taboo. Sekali sekala tegurlah juga kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat yang telah memberi amanah kepada mereka.
*************************************
Alhamdulillah, sementara masih ada penyokong buta yang memarahi saya, saya lihat kerajaan Kelantan telah bertindak memperbaiki kekurangan yang ada.
Mungkin kerajaan negeri tidak dapat memulihkan semua kekurangan dalam waktu yang singkat ini, tetapi tindakan proaktif yang diambil untuk mengatasi masalah yang ada sudah cukup menggembirakan saya.
Kepada rakan senegeri saya, semoganya dapat menyambut lebaran nanti dengan hati yang gembira. Kepada penyokong totok, buka sedikit minda itu.
Selamat berbuka.
SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (4)
Pada tahun 1998, setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya dalam kerajaan dan parti, rakyat bangkit mempertahankan beliau dan muncullah gerakan Reformasi.
Pada tahun 2016, setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatannya dalam kerajaan dan parti, tidak pula saya lihat berlaku kebangkitan rakyat.
Petang ini saya termenung, mengapa begitu?
Setelah berfikir panjang, saya harus akui satu perkara: Anwar Ibrahim manusia hebat. Luar biasa!
SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA (2)
Rakan fb menghantar kepada saya tulisan bertajuk Islam versi PAS dan meminta saya mengulasnya. Aduh, saya tidak pandai. Justeru, saya meringkaskan tulisan tersebut untuk kita membincangkannya.
Antara lain, tulisan tersebut membawa maksud seperti berikut:
i. Boleh menghina kawan dan lawan sesama Muslim dengan bahasa kesat seperti jebon, munafik, barua dan lainnya, sedangkan al-Quran di dalam surah al Hujurat melarang kita sesama Muslim melemparkan gelaran dan kata-kata kesat.
ii. Boleh khianat kawan seperti kes Kota Damansara dan beberapa kerusi di Terengganu dalam PRU13 dan beberapa kes lagi, sedangkan Islam melarang perbuatan khianat.
iii. Maslahat rakyat yang diperjuangkan cuma hudud, sedangkan Islam menuntut kerajaan menjaga kesejahteraan hidup rakyat seperti menyediakan prasarana yang baik, peluang pekerjaan dan lainnya.
iv. PAS menyampaikan Islam agak jumud dan kasar, sedangkan Islam menggalakkan dakwah dengan pendekatan terbuka, kasih sayang, tinggi diplomasi dan toleransi, mulia bahasa dan akhlaknya.
v. Angkuh dengan semua pihak, sentiasa mendabik dada parti PAS yang terbaik, jika tidak memilih PAS akidahnya terpesong.
Setelah membaca ringkasan di atas, apa pandangan kawan-kawan semua. Betulkah Islam versi PAS begitu atau hanya sekadar persepsi sahaja?
Moga posting ini tidak mengundang emosi. Selamat berbuka.
SEMENTARA MENUNGGU WAKTU BERBUKA
Saya lama tidak menulis dalam fb. Minggu lepas saya menulis catatan ringkas tentang Kelantan dan juga PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Tentang Kelantan saya sentuh isu keselamatan jalan raya sempena Syawal, isu rakyat mahukan air bersih dan isu kekotoran bandar.
Saya menulis dengan tujuan supaya pihak berkuasa mengambil perhatian kepada isu rakyat ini. Jagailah rakyat. Tidak pun saya menulis ini untuk kepentingan saya. Untuk kepentingan kita semua.
Tetapi reaksi facebookers selalu keluar dari konteks—memaki saya dan mengugut saya melalui inbox. Mengapa? Kerana kita melihat tulisan saya bersifat politik. Maka kitapun mempertahanlah parti yang kita sokong.
Pertahanlah parti yang kita sokong, itu tidak salah. Tetapi pertahanlah secara adab agama kita. Barulah kita dilihat murni.
Selain itu, kita perlu faham bahawa tidak semua isu kesejahteraan rakyat itu adalah isu yang perlu kita politikkan. Jangan terlalu kepartian kita. Bersatu hatilah kita mendesak pihak berkuasa menjaga kesejahteraan rakyat ini. Semoganya dengan cara itu kita juga mendapat redha Allah.
********************************
Setelah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya belum menulis sebarang komen. Tiba-tiba muncul kenyataan yang kononnya dari saya.
Kawan fb meminta saya membuat hebahan bahawa itu bukan dari saya. Bagi saya tidak mengapalah. Saya anggap itu sebagai keghairahan politik.
Kenyataan tersebut tidak pun menghina sesiapa, sekadar pandangan politik kepartian sahaja.
**********************
Saya puas dengan kepekaan kita pada perkembangan politik negara hari ini. Teruskan. Cuma pesan saya, jangan pula kita terlebih peka sehingga semangat itu membuatkan kita mudah beremosi dalam politik.
Nasihat saya, sebagai seorang Muslim, bermainlah politik tanpa memfitnah kawan dan memburukkan pihak yang berbeza pandangan dengan kita. Setiap dari kita ada hak dan kebebasan untuk mempunyai pandangan sendiri.
Semoga kita semua mendapat redha Allah. Salam Ramadan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa