Sunday, June 19, 2016

‘Tuntutan Rakyat’: Minta Najib jawab semua skandal

‘Tuntutan Rakyat’ lanjutkan tekanan ke atas Najib jawab semua skandal kewangan
17 Jun 2016

SEKINCHAN, 17 JUN: Selain merayu pengundi di P.093 Sungai Besar memenangkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang diwakili Ustaz Azhar bin Abdul Shukur, kunjungan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini juga menyaksikan majlis menandatangani Tuntutan Rakyat sebagai tambahan kepada Deklarasi Rakyat.
Tuntutan Rakyat adalah gesaan lanjut terhadap kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ‘derma’ USD1 bilion supaya beliau menjelaskan sikap membisunya berhubung perkara itu selama lebih daripada setahun.
Tuntutan Rakyat tersebut bertanyakan:
  • Siapakah yang akan membayar jika 1MDB tewas dalam kes arbitrasi dengan International Petroleum Investment Corporation Abu Dhabi (IPIC)?
  • Mengapa Kementerian Kewangan belum mengesahkan penemuan Bank Negara yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan bahawa Good Star Limited, syarikat penerima dana USD1.03 bilion daripada 1MDB dimiliki oleh Jho Low?
  • Ke mana hilangnya dana 1MDB bernilai USD940 juta yang dipanggil “unit” di BSI Bank Singapura, memandangkan sekarang bank ini telah ditutup oleh Monetary Authority of Singapore atas kegagalan mematuhi undang-undang pengubahan wang haram?
  • Mengapa Kementerian Kewangan dan Lembaga Pengarah baru yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar membenarkan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk mengambil bahagian dalam kempen Barisan Nasional di pilihan raya kecil Sungai Besar ?
  • Mengapa Datuk Seri Najib Razak memberikan konsesi cukai murah hati secara tidak adil kepada pemaju induk Bandar Malaysia, IWH CREC Sdn Bhd dan anak-anak syarikat miliknya?
  • Mengapa Datuk Seri Najib Razak tidak menjelaskan bagaimana beliau telah membelanjakan derma USD681 juta yang didakwa dari negara Arab ke dalam akaun bank peribadi beliau serta tambahan sebanyak USD300 juta atau lebih yang turut didepositkan ke dalam akaun sama?
Tuntutan tersebut mendesak Perdana Menteri supaya mengarahkan Ketua Audit Negara dan mengarahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk membuka semula siasatan ke atas 1MDB serta memulakan audit dan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd.
Semalam IPIC telah memfailkan tuntutan bernilai USD6.5 bilion terhadap 1MDB dan Kementerian Kewangan di Mahkamah Arbitrasi London.
IPIC turut menuntut bon bernilai USD3.5 bilion ditambah dengan faedah berjumlah USD4.8 bilion, pinjaman USD1.2 bilion dengan faedah, dan kira-kira USD481 juta yang terhutang kepada anak syarikatnya, Aabar Investment PJS.
Tun Mahathir dalam ucapannya kepada hadirin menempelak sikap tidak amanah Najib dalam menguruskan kewangan negara.
Ini termasuk memberi ‘dedak’ kepada siapa sahaja yang lantang mengkritik pentadbirannya.
“Najib sendiri kata ‘cash is king’. Duit boleh beli apa sahaja. Dia anggap duit sudah cukup (untuk buat apa sahaja). Manusia, dia boleh beli bila dia percaya duit adalah raja,” ujarnya.Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa