Sunday, June 19, 2016

Yang ni aku setuju: Memang rakyat Malaysia bijak memilih!

Kemenangan bukti rakyat bijak memilih
ATIRAH HASLI - 19 JUN 2016
SHAH ALAM - Kemenangan cemerlang BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam membuktikan rakyat semakin bijak memilih kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said‎ berkata, keputusan semalam bukan sahaja menunjukkan rakyat tidak terpengaruh dengan polemik yang dicetuskan pembangkang, malah ia juga membuktikan rakyat sudah muak dengan propaganda yang dibawakan pembangkang.

"BN sekali lagi mengorak langkah cemerlang selepas mencatat majoriti besar di Sungai Besar (9,191) dan Kuala Kangsar (6,969) semalam. Majoriti berganda ini bukti BN masih relevan di mata rakyat.

"Ini bukti rakyat bijak memilih demi memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dibawa BN dan tidak terpengaruh dengan polemik yang dicetuskan pembangkang. Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ujarnya lagi, kedua-dua PRK sedikit sebanyak menjadi kayu pengukur kepada gerak kerja BN khususnya dibawah kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah Azalina lagi, rakyat semakin bijak menilai antara permata dan kaca apabila memilih rekod cemerlang BN berbanding langkah sumbang Pakatan Harapan yang ibarat retak menanti belah.  

"Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh pucuk pimpinan dan jentera BN yang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan berkembar di kedua-dua PRK ini. Saya percaya, berkat muafakat, kerja kuat dan tiada unsur sabotaj di dalam parti meletakkan BN di landasan yang tepat bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. 

"Saya berbesar hati untuk bersama-sama dua orang rakan ahli Parlimen baru, Budiman Mohd Zohdi (Sungai Besar) dan Datin Mastura Yazid (Kuala Kangsar) dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa