Thursday, July 21, 2016

Beza pemikiran antara Dalai Lama dan Donald Trump yang melampau

'Jangan salahkan orang Islam, semua agama ada orang jahat' - Dalai Lama 
Agensi | Diterjemahkan olehHamzah Hamid Jun 14, 2016 18:20 MYT


'Jangan salahkan orang Islam, semua agama ada orang jahat' - Dalai Lama
Dalai Lama tidak mahu aktiviti keganasan dikaitkan secara langsung dengan sesuatu agama. - Foto AFP
WASHINGTON: Pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama pada Isnin menyifatkan insiden tembakan rambang di Orlando, Amerika Syarikat yang mengorbankan 50 orang, sebagai tragedi yang serius, namun menegaskan adalah salah untuk menuding jari kepada orang Islam sebagai pengganas.

Dalam sebuah wawancara dengan Reuters, calon Presiden AS dari Parti Republikan Donald Trump menggunakan peristiwa itu untuk sekali lagi mengingatkan tentang cadangannya mengharamkan orang Islam daripada memasuki negara tersebut.

Walaupun Dalai Lama menghormati pendapat Trump itu, beliau membangkitkan pertanyaan: “Apakah alasannya. Berikan perincian.”

Dalai Lama berkata dalam setiap komuniti agama, termasuk Buddha, ‘akan ada orang yang melakukan kejahatan’.

“Anda tidak boleh membuat rumusan berdasarkan satu kejadian. Beberapa orang Islam mungkin melakukan aktiviti keganasan, namun lebih baik kita tidak menyebutnya sebagai ‘pengganas Muslim’. Saya rasa ia salah," ujarnya.

Dilaporkan 50 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan merampas tebusan di sebuah kelab malam gay di Florida, kata polis pada Ahad.

Kejadian itu menjadikannya kes tembakan paling buruk dalam sejarah Amerika.

Trump dan pesaingnya dari parti Demokrat, Hillary Clinton, kini sedang cuba memberi maklum balas mengikut prinsip politik masing-masing tentang serangan itu.

Hillary bagaimanapun, menentang sebarang usaha untuk memburuk-burukkan orang Islam sebaliknya membangkitkan isu kawalan keselamatan senjata api.

Dalam wawancara di Institut Keamanan AS (USIP) itu, Dalai Lama turut mengulas tentang  wanita yang menjadi pemimpin sesebuah negara.
Beliau berkata, secara semula jadi, wanita membawa sifat penyayang dan dunia mungkin akan jadi kurang masalah dan keganasan jika lebih ramai wanita menjadi pemimpin.

“Ya, lelaki juga ada yang penyayang,” ujarnya yang menambah, terserah kepada warga AS sama ada untuk memilih pemimpin wanita pertama sebagai Presiden negara itu.

Dalai Lama turut menyebut beberapa nama pemimpin wanita sebelum ini yang menunjukkan contoh yang baik seperti Indira Gandhi di India, Margaret Thatcher di Britain dan Angela Merkel di Jerman.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa