Tuesday, July 26, 2016

DoJ tidak menyaman Najib Razak, apa sahaja rujukan ke atas MO1 tidak perlu dibuktikan di mahkamah

Portal pro-Umno: Ya, Mo1 itu Najib tapi...
mk - Hari ini 26 Jul. 2016, 4:02 petang
Sebuah portal Umno hari ini mengakui 'Malaysian Official 1' atau MO1 yang dirujuk dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Jelas MO1 itu merujuk kepada Najib," kata portal MyKMU.net.

Bagaimanapun, portal pro-Umno itu mempersoalkan sama ada semua isu-isu yang dibangkitkan dalam dokumen tersebut adalah benar.

"Persoalannya, adakah semua dalam kertas saman tersebut benar? Ia perlu dibuktikan oleh DOJ di mahkamah.

"Malangnya, kemungkinan besar ia tidak berlaku kerana DOJ tidak menyaman Mohd Najib Razak. Oleh kerana mereka tidak menyaman Najib Razak, maka apa sahaja rujukan ke atas MO1 tidak perlu dibuktikan di mahkamah," kata portal tersebut.

Selain itu, portal itu turut menganggap tindakan DOJ sebagai 'sangat misteri' apabila badan kehakiman tersebut mengaitkan nama 'Malaysian Official 1' dalam saman tersebut tetapi tiada sebarang aset milik pegawai awam yang dirahsiakan namanya itu disita.

"Mengapa DOJ mengaitkan nama MO1 sedangkan tidak ada sebarang aset MO1 yang mahu mereka sita atau rampas sangat misteri.

"Mereka hanya menyaman untuk merampas aset-aset di bawah nama empat orang individu iaitu Jho Low, Riza Aziz, Khadeem Al-Qubaisi dan Mohammed Badawy Al-Husseiny yang pada fikiran mereka mempunyai kaitan dengan pendapatan secara haram dari 1MDB.

"Dalam kes ini juga, DOJ hanya perlu membuktikan keempat-empat mereka ini telah menggunakan wang daripada 1MDB untuk membeli aset-aset yang disenaraikan," kata portal itu lagi.

Justeru, portal berkenaan memberikan cadangan kepada kumpulan anti-Najib supaya memberi tekanan kepada DOJ untuk mempercepatkan kes berkenaan melainkan kumpulan tersebut ingin menangguhkan proses siasatan kerana ingin melaksanakan agenda menjatuhkan perdana menteri.

"Apa yang perlu kumpulan anti-Najib Razak buat ialah mendesak DOJ menyegerakan kes ini. Atau mereka mahu kes ini dilambatkan sekadar untuk melaksanakan agenda menjatuhkan Najib Razak?," kata MykMU.net.

Semalam Najib meminta supaya individu yang disebut dalam saman DOJ perlu membersihkan nama mereka dan kerajaan memandang serius tentang perkara itu.

Minggu lalu, DOJ memfailkan saman sivil yang mendakwa dana 1MDB disalahgunakan untuk menyelesaikan hutang judi, pembelian hartanah, karya seni, kapal layar dan kapal terbang.

Antara nama yang dinamakan dalam saman tersebut ialah anak tiri Najib, Riza Aziz serta Jho Low yang dikenali sebagai ahli perniagaan yang dilaporkan rapat dengan keluarga anggota parlimen Pekan itu.

DOJ juga mendakwa 'Malaysian Official 1' yang disifatkan sebagai seorang pegawai awam berkedudukan tinggi itu turut mempunyai kuasa dalam 1MDB dan telah menerima AS$731 juta dana daripada firma pelaburan itu.

Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Beliau juga menerajui Kementerian Kewangan yang merupakan pemegang saham tunggal firma pelaburan itu.

Presiden Umno itu juga sebelum ini berulang kali menafikan wujudnya penyalahgunaan wang rakyat untuk kepentingan peribadi malah Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali turut membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku ekoran skandal 1MDB.

2 comments:

  1. Kekdg puak umno ini bongok bertingkat2.. misal lah polis malaysia selesaikan kes pencolekkan.. ada 5 org. 4 telah di tangkap.. ketua bebas lah. Apa di herannya ketuanya bebas..kat 4 org tu segala maklumat a-z boleh dpt. Nak terbang bebas pun ketua pencolek tu bebaslah..ketua pencolek takkan tahu apa maklumat 4 org tu bg kat polis..dah dpt segala maklumat.. senang dan mudah tangkap ketua pencolek..ingat fbi tu siasat curi ayam kat kg ke..

    ReplyDelete
  2. US nak jg hubungan diplomatik dgn malaysia. Itu sbb dia tak saman Najib. Dia nak serah kpd rakyat Malaysia sendiri supaya singkirkan Najib. Ikut logik barat, klu dah sah pemimpin terlibat dlm salahlaku spt 1MDB, dia seharusnya letak jawatan; jk tidak parti singkirkan dia. Jk itu pun tak berlaku rakyat harus tendang dia keluar. Tp logik spt ini tak terpakai di negara melayu krn pemimpin parti dah banyak makan dedak dan rakyat dah jd penakut krn asyik sibuk cari makan sj

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa